IRSYAD HUKUM KE-141 : AURAT ANTARA MUSLIMAH DAN WANITA BUKAN MUSLIM

Soalan:

Boleh jelaskan berkenaan berkenaan aurat muslimah dengan perempuan yang bukan Islam?

Jawapan:

Sebelum dibahaskan dengan lebih lanjut berkenaan isu tersebut, dikemukakan di sini beberapa takrifan berkenaan aurat.

Definisi Aurat

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj: 1/185)

Pandangan Ulama

Ulama fiqh berbeza pandangan berkenaan aurat perempun muslimah pada pandangan perempuan kafirah, sehinggakan ulama didalam mazhab syafie sendiri juga mempunyai beberapa pandangan.

  1. Menurut pandangan majoriti ulama fiqh bahawasanya aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah seperti aurat perempuan pada pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 1/47)
  1. Sebahagian ulama mazhab syafei berpandangan bahawasanya aurat muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah seluruh tubuh yang selain daripda kepala, tangan dan kaki.

 

Kesimpulan

Aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah menurut pandangan majoriti ulama fiqh adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Manakala menurut pandangan sebahagian ulama mazhab syafie, termasuk sebahagian ulama mutaakkhirin mazhab syafie bahawa aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah selain kepala, tangan dan kaki.

Kami berpendapat dalam isu seperti ini, pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama perempuan sekalipun perempuan bukan Islam maka ia adalah harus dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita muslimah. Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini begitu berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlulah diambilkira.