IRSYAD AL-FATWA KE-63: HUKUM PENGGUNAAN ROKOK ELEKTRONIK/VAPOR

 

SOALAN

Apakah hukum menghisap rokok elektronik dan vapor?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami seupaya mungkin cuba menekuni isu yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik dan vapor atau vape yang sekarang ini begitu berleluasa digunakan masyarakat termasuk daripada kalangan remaja perempuan dengan pelbagai alasan. Antara alasan paling popular adalah alat ini sebagai pengganti kepada rokok sebenar untuk ditinggalkan dan berhenti secara perlahan-lahan atau tadarruj. Alasan seperti ini seolah-olah menghalalkan cara dan penggunaan rokok elektronik dengan berleluasa. Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini merasa terpanggil untuk membincangkan isu dan hukum berkaitan dengan rokok elektronik ini.

Alhamdulillah, pada tanggal 21 Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape ini adalah haram.

 

Definisi Rokok Elektrik

Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masa kini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor. Perkataan 'vape' berasal daripada perkataan Inggeris daripada perkataan ‘vaporization’ yang membawa maksud proses pengewapan, dan juga merujuk kepada 'vaporizer' iaitu alat yang digunakan untuk menghisap ganja, tembakau dan campuran rokok lain. Kamus Oxford telah menambah perkataan vape sebagai kata nama baru dalam kamus itu pada Ogos 2014.[1] Kamus tersebut mendefinisikan vape sebagai “an act of inhaling and exhaling the vapour produced by an electronic cigarette or similar device” (perbuatan menyedut dan menghembuskan wap yang dihasilkan oleh rokok elektronik atau peranti yang seumpamanya). Perkataan vape juga boleh merujuk kepada alat peranti elektronik yang digunakan.[2]

 

Pendapat Pakar

Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :

Dalil Pengharaman Perkara yang Memudaratkan

Pertama: Firman Allah Ta`ala:

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

(Surah al-Baqarah,  2:195)                                                                                                  

Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infāq fī sabīlillāh tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh al-Shawkani:

وَالحَقُّ أَنَّ الاِعْتِبَارَ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِيْ الدِّيْنِ أَوْ الدُنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيْرِ الطَّبَرِيُّ

Maksudnya: “Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Maka setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dala umum ayat ini. Dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.

Rujuk Fathul Qadir (1/222)

Kedua: Firman Allah Ta`ala:

وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا

Maksudnya: Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.

(Surah al-Nisa’, 4:29)

Menurut al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri. Rujuk Ahkam al-Quran (3/127).

Ketiga: Sabda Rasulullah SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak harus mengenakan kemudaratan (tanpa hak)”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Hadis ini juga menunjukkan pengharaman melakukan kemudaratan secara umum sehingga nas hadis ini dijadikan salah satu kaedah fiqh.

Keempat: Sabda Nabi SAW:

وَمَن تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً فِيْهَا أَبَداً

Maksudnya: “Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambal meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.”

Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)

Hadis ini menjadi ancaman balasan neraka dan siksaan yang dahsyat bagi orang yang melakukan tindakan yang membinasakan diri sendiri. Secara umumnya, dalil tersebut mengharamkan segala bentuk tindakan yang membunuh dirinya.

Hukum

Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah HARAM. Ini kerana seperti yang kami‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan kami nyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:

Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas. Untuk ulasan pengharaman, sila rujuk Bayan Linnas Siri-18.[14]

 

Fatwa Ulama’& Pendapat Ilmuan Islam

Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah HARAM.[15]

Penggunaan Vape daripada Sudut Maslahah Ammah

Pihak berkuasa juga hendaklah mengambil keputusan pengharaman vape jika terdapat maslahah ammah. Ini berdasarkan epada tanggungjawab pemerintah yang terungkap dalam kaedah fiqh:

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah bergantung kepada maslahah.”

Rujuk Bahr al-Muhit fi Usul a-Fiqh (1/309)

Jika sekiranya wujud maslahah ammah yang sebenar dalam pengharaman vape, maka adalah menjadi kewajipan semua rakyat untuk mematuhinya, sebagaimana sesetengah pemerintah pada zaman dahulu pernah membuat larangan rokok berdasarkan kepada maslahah ammah dan ulama mewajibkan rakyat mematuhinya.

Al-Syarwani seorang ulama dalam mazhab Syafie ketika membicarakan berkenaan kewajipan mentaati pemerintah dalam perkara yang melibatkan maslahah ammah telah memberi contoh larangan merokok berdasarkan maslahah ammah, “Jika pemerintah membuat arahan supaya tidak menghisap rokok yang dikenali pada zaman ini, maka wajib ke atas mereka (rakyat) untuk mentaatinya. Pada waktu yang lalu, Timbalan Pemerintah pernah mengeluarkan arahan di Mesir supaya tidak merokok di jalan-jalan dan kafe-kafe, lalu ramai yang menginkarinya, maka mereka adalah pelaku maksiat”. Rujuk Hashiah al-Syarwani (3/69)

Sejarah tersebut menunjukkan bahawa pengharaman rokok berdasarkan kepada maslahah ammah adalah suatu yang pernah berlaku pada masa lalu, dan ulama mengiktiraf ia sebagai larangan yang wajib dipatuhi. Justeru, pengharaman rokok elektronik atau vape boleh dikuatkan dengan kewujuduan elemen maslahah ammah.

Penentuan seseuatu itu sebagai maslahah ammah dalam perkara yang melibatkan hukum-hakam adalah peranan para ulama dan mujtahid, sebagaimana Abdussalam al-`Abbad menjelaskan ketika membicarakan berkenaan maslahah ammah, “kepastian wujudnya syarat-syarat ini pada setiap maslahah secara kes demi kes adalah tugas para mujtahidin yang mempunyai kelayakan berijtihad dan memenuhi syarat-syaratnya” . Rujuk Nas` al-Milkiyyah al-Khassah li al-Manfa`ah al-`Ammah (2/995)

 

Penutup

Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok agar berhenti daripada merokok. Justeru itu, mereka menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan mudarat kepada kesihatan manusia. Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.

 

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

Dikemaskini pada 22 Disember 2015 bersamaan 10 Rabiulawal 1437H

 

Nota hujung:

[1] http://blog.oxforddictionaries.com/2014/11/oxford-dictionaries-word-year-vape/

[2] http://www.oxforddictionaries.com/definition/english/vape

[3] http://www.who.int/mediacentre/news/releases/2008/pr34/en/index.html

[4] Carcinogens merupakan bahan pemangkin berlakunya kanser dalam tubuh manusia

[5] http://www.lung.org/stop-smoking/tobacco-control-advocacy/federal/e-cigarettes.html

[6] http://ukhealthcare.uky.edu/Claims-of-e-cigarette-safety-unproven-at-best-experts-say/

[7] http://www.astroawani.com/gaya-hidup/rokok-elektronik-vapor-dikhuatiri-penyebab-kanser-69773

[8] http://www.bharian.com.my/node/75419

[9] http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kandungan-cecair-vape-bahaya-1.124146

[10] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1181415

[11] Qiyas digunakan kerana terdapat persamaan sebab (ittihad ‘illah) di dalam pengharaman merokok

[12] http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/siasat-seluruh-negara-1.124151

[13] http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penggunaan-dadah-sintetik-meningkat-1.125191

[14] http://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=266

[15] http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=129680

[16] http://islamqa.info/en/201512 & http://islamqa.info/ar/170999

[17] http://www.almanhaj.com/vb/showthread.php?t=23522

Cetak