IRSYAD HUKUM SIRI KE-250 : HUKUM MENYAMBUNG BULU MATA DENGAN KAEDAH EYELASH EXTENSION

if250 compressed

Soalan                                                                                                                            

Apakah hukum menyambung bulu mata palsu yang kini turut menjadi trend dalam kalangan wanita muslimah?

 

Jawapan

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mukadimah

Eyelash extensions ialah satu kaedah yang digunakan bagi memanjangkan, menebalkan dan memenuhkan bulu mata asli sedia ada.[1] Pemanjangan mungkin dibuat daripada beberapa bahan termasuklah bulu daripada binatang, sintetik atau bulu kuda. Kaedah ini memiliki dua jenis; bulu mata palsu sementara (false temporary eyelash) yang boleh ditanggal dan bulu mata separa kekal (semi-permanent eyelash). Kaedah utama pemanjangan adalah dengan menggunakan glu pelekat untuk melekatkan bulu tersebut satu persatu secara berasingan pada bulu mata asli. Ini bagi mengelakkan bulu-bulu mata tersebut daripada melekat antara satu sama lain.[2]

Penambahan bulu mata palsu oleh wanita biasanya bertujuan menjadikan bulu mata tampak lebih lentik, lebat atau penuh, supaya mereka tampil kelihatan lebih cantik. Fenomena ini didapati semakin berleluasa dewasa ini khususnya dengan penglibatan selebriti-selebriti tempatan. Justeru, bagi menjawab persoalan di atas terdapat beberapa asas yang perlu diambilkira.

 

Islam Tidak Melarang Kecantikan

Pada asasnya, Islam tidak melarang umatnya daripada mencantikkan diri. Bahkan Islam menganjurkan umatnya untuk tampil kemas dan kelihatan cantik dengan cara sederhana dan sesuai. Dalam sebuah hadis menyebut:

إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan.”

Riwayat Muslim (275)

Berkata Imam al-Munawi: “Dia sukakan keindahan” ertinya orang yang mempercantikkan diri daripada kalangan kamu pada keadaan dirinya…” Rujuk Faidh al-Qodir (2/224)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hlm. 202-203) berkata:

“Dalam satu peristiwa seorang lelaki telah datang kepada Baginda SAW yang memakai pakaian yang lusuh, lantas Baginda SAW bersabda kepadanya:

أَلَكَ مَالٌ؟ قَالَ: نَعَم. قَالَ: مِن أَيِّ المالِ؟ قَالَ: مِن كُلِّ المالِ قَد أَعطَانِيَ اللهُ تَعَالَى. قَالَ: فَإِذَا آتَاكَ اللهُ مَالاً فَليُرَ أَثَرُ نِعمَةِ اللهِ عَلَيكَ وَكَرَامَتِهِ

Maksudnya: “Apakah kamu mempunyai harta? Orang itu menjawab: Ya. Nabi SAW bertanya lagi: Harta yang macam mana? Jawab lelaki itu: Dari macam-macam harta yang diberikan Allah SWT kepadaku. Baginda SAW bersabda: Jika Dia telah memberikanmu harta, bukankah bagus sekali ditunjukkan kesan nikmat Allah SWT kepadamu serta kemuliaan-Nya kepadamu?”

Riwayat Abu Daud (4065)

Islam juga menguatkan semangat kebersihan pada tempat-tempat berkumpulnya umat Islam seperti pada hari Jumaat dan kedua-dua hari raya.

Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَلَى أَحَدِكُمْ إِنْ وَجَدَ سَعَةً أَن يَتَّخِذَ ثَوبَيْنِ لِيَوْمِ الجُمُعَةِ غَيْرَ ثَوبَي مِهْنَتِهِ

Maksudnya: “Tidak salah seseorang kamu, apabila mempunyai kelebihan rezeki, menyediakan dua pakaian khusus untuk hari Jumaat selain dari dua pakaian biasa untuk bekerja.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (22/287)

Galakan ini tidak terhad kepada lelaki tetapi juga merangkumi wanita. Firman Allah Taala:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur:31)

Meskipun begitu, perbuatan tersebut hendaklah dilakukan keadaan sederhana. Islam melarang umatnya daripada sikap keterlaluan, keangkuhan dan penipuan.

 

Asas Larangan Menyambung Rambut Dalam Islam

Antara perbuatan yang dianggap melampau dan dilarang dalam Islam ialah perbuatan menyambung rambut atau dinamakan sebagai ‘al-wasl’ dalam Bahasa Arab. Orang yang menyambung rambut pula disebut al-wasilah.

Al-wasilah ialah wanita yang menyambung rambut dengan rambut wanita lain agar rambutnya kelihatan panjang dan menyebabkan orang lain menyangka rambut al-wasl (sambungan) tersebut adalah rambut asal. Ia dilakukan oleh wanita yang rambut nipis atau wanita berambut perang yang menyambung rambutnya dengan rambut hitam. (Lihat Ma’alim al-Sunan oleh al-Khattabi, 4/256)

Larangan tersebut adalah berdasarkan hadis daripada Asma’ bint Abi Bakr R.Anhuma, bahawa seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW lalu mengadu kepadanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru menikah. Dia telah terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah saya menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu Baginda SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ

Maksudnya: “Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).”

Riwayat Muslim (5687)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, seorang gadis Ansar baru berkahwin. Dia telah jatuh sakit menyebabkan rambutnya banyak yang gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut tersebut (dengan rambut palsu). Mereka kemudian bertanya kepada Nabi SAW lalu Baginda bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ

Maksudnya: Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya.

Riwayat al-Bukhari (5934)

Imam al-Nawawi berkata, hadis ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut, dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak. Inilah pendapat yang kuat. (Lihat Syarh Sahih Muslim al-Nawawi, 14/103)

Imam al-Son’ani berkata: Al-wasilah (الْوَاصِلَة) ialah perempuan yang menyambung rambutnya dengan rambut selainnya (rambut palsu), sama ada dia melakukan aktiviti menyambung rambut tersebut untuk dirinya mahupun orang lain. Sedangkan mustausilah (المُسْتَوْصِلَة) adalah orang yang minta disambungkan rambut. (Lihat Subul al-Salam, 5/49)

Dalam kitab Nail al-Autor (6/22), Imam al-Syaukani menyebut:

“Menyambung rambut itu diharamkan kerana laknat itu tidak dikenakan pada yang tidak diharamkan.”

Lalu dia menyebut huraian Imam al-Nawawi:

“Inilah hukum yang zahir dan terpilih. Para Ashab kami telah menjelaskannya:

Kedua hal ini sama sahaja hukumnya baik bagi yang sudah berkahwin atau tidak, baik lelaki mahupun perempuan. Adapun rambut yang suci yang bukan dari manusia, sekiranya perempuan itu tidak mempunyai suami atau tuan maka hukumnya juga haram. Sekiranya ada, maka terdapat tiga pendapat;

Pendapat ketiga ini adalah pendapat yang paling sahih bagi mereka.

Keterangan yang hampir sama disebut oleh Imam al-Ghazali ketika menganalisis isu ini dalam kitabnya al-Wasit (2/17) dengan kenyataan berikut:

“Adapun menyambung rambut itu;

Kedua-dua ini kerana pendapat mazhab bahawa haram melihat kepada anggota yang terputus.

Rujuk al-Wasit (2/168-170)

Fatwa-Fatwa dan Pandangan Ulama’

Tidak mengapa memakai wig di dalam rumah jika suami mengizinkan bagi mereka yang mengidap penyakit kanser lalu menyebabkan keguguran rambut. Namun hendaklah tidak memperlihatkannya kepada orang luar kerana ia sebahagian daripada perhiasan. Kebolehan itu juga dengan syarat hendaklah wig itu bukan diperbuat daripada rambut manusia dan bukan daripada bulu yang najis. [3]

Tidak diharuskan penggunaan kuku palsu, bulu mata palsu (buatan) dan kanta (lens) berwarna warni kerana memberi kemudaratan pada tempat tersebut. Begitu juga kerana terdapat penipuan dalam perkara ini. Ia juga mengubah ciptaan Allah.[4]

Adapun bulu mata buatan dan bahan-bahan yang melapisi bulu mata asal, sebahagian pakar-pakar perubatan berkata bahawa ia terbuat daripada garam-garam nikel atau daripada pelbagai jenis getah tiruan Kedua-duanya merupakan boleh menyebabkan radang kelopak mata dan keguguran bulu mata.[5]

 

Kesimpulan

Dalam isu pemakaian bulu mata palsu ini juga, kami berpandangan perlulah dilihat daripada beberapa sudut:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

مَنْ تَرَكَ مَوْضِعَ شَعْرَةٍ مِنْ جَنَابَةٍ لَمْ يَغْسِلْهَا فُعِلَ بِهِ كَذَا وَكَذَا مِنَ النَّارِ. قَالَ عَلِىٌّ فَمِنْ ثَمَّ عَادَيْتُ شَعْرِي

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan pangkal rambut daripada terkena air ketika mandi janabah walaupun sehelai, Allah akan melakukan begini-begini dengan api neraka.” Ali berkata: Sejak itu aku tidak menyukai rambutku.

Riwayat Abu Daud (249).

Adapun bulu mata yang ditanam ke dalam kulit, maka ia tidak menghalang sahnya wuduk.

Berdasarkan kesimpulan di atas, kami menyeru agar mereka yang memakai bulu mata palsu yang diharamkan Hukum Syarak meninggalkan perbuatan berkenaan dan bertaubat kepada Allah SWT dan melakukan perkara-perkara berikut:

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang jelas kepada kita semua yang bahawa isu halal dan haram dirujuk kepada nas dan para ulama’ agar segala tindakan kita berbetulan dengan neraca Syarak. Kami nasihatkan kepada semua pihak khususnya para wanita agar berhias dan mencantikkan diri dengan kadar yang sederhana, tidak menunjuk-nunjuk, dan tidak mengubah ciptaan Allah seperti mana yang dilakukan oleh kaum Jahiliyyah.

Wallahua’lam.

 

Nota hujung:

[1] Lihat Ocular Discomforts Following Eyelash Extension oleh Koffuor, G. A., et al. Journal of Medical and Biomedical Sciences 1.3 (2012): 55-61.

[2] https://en.wikipedia.org/wiki/Eyelash_extensions

[3] http://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2864#.W76jd2gzaM8

[4] http://www.alifta.net/fatawa/fatawaDetails.aspx?languagename=ar&BookID=3&View=Page&PageNo=4&PageID=6423

[5] http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=144397