Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF431.PNG

SOALAN

Assalamualaikum tuan mufti. Saya ingin bertanya. Apakah hukum seorang tukang masak Muslim mengendalikan atau memasak daging khinzir di kedai bukan Islam tetapi kemudian melakukan sertu bagi menyucikan dirinya? Adakah tindakan ini dibolehkan dalam Islam?

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrt. wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Ulama telah bersepakat berkaitan pengharaman memakan daging khinzir. Pengharaman tersebut adalah jelas berdasarkan kepada nas-nas al-Quran berikut. Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Maidah: 3)

Demikian juga dalam firman Allah SWT yang lain:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-An’am: 145)

Syeikh al-Maraghi menyebut daging babi ini mengandungi bahaya kotoran kerana tabiat babi yang suka tinggal di tempat kotor. Bahaya daging babi ini telah dibuktikan oleh pakar-pakar perubatan moden. Mereka telah membuktikan bahawa babi sememangnya mengandungi bahaya yang timbul daripada kegemarannya memakan kotoran. Memakan daging babi akan menimbulkan cacing pita atau cacing kremi akibat daripada memakan bangkai tikus. Daging babi sangat sukar dicerna oleh perut besar kerana ia mengandungi banyak lemak. Bahan minyak yang mengandungi banyak lemak pula sukar dicernakan oleh usus besardan membuatkan usus besar susah bekerja sehingga perut terasa berat atau jantung sering berdebar. Sekiranya isi perut seperti ini dimuntahkan, sakitnya menjadi kurang dan jika tidak dikeluarkan, perut akan memulas dan cirit-birit. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1477)

Menjawab kepada persoalan di atas, perbuatan memasak daging khinzir itu sendiri adalah haram dan dilarang sekalipun bertujuan untuk disajikan kepada bukan Islam. Perbuatan memasak itu dikira sebagai bersubahat atau pemudah cara dalam melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Maidah: 2)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengharamkan apa sahaja bantuan serta pertolongan ke arah perkara-perkara maksiat dan juga perkara yang melampaui batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Selain itu juga, khinzir ini termasuk dalam kategori najis mughallazah (berat). Perbuatan memasak daging khinzir ini dapat digambarkan bahawa seseorang itu perlu untuk membasuh dan memotong dimana ianya bermaksud seseorang itu perlu untuk memegang daging khinzir tersebut dalam melaksanakan perkerjaan tersebut. Walhal, umat Islam itu sendiri dilarang untuk menyentuh daging khinzir dengan sengaja kerana perbuatan tersebut membawa kepada menajiskan diri tanpa sebarang tujuan munasabah yang dibolehkan oleh syarak dan ianya adalah haram di sisi Islam. Hal ini ada dinyatakan seperti berikut:

التضمخ بالنجاسة إنما يحرم

Maksudnya: “Menyentuh najis secara sengaja ia adalah haram.” (Lihat Hasyiah Bujairami ‘ala Syarah Manhaj al-Tullab, hlm. 105 dan Hawasyi Tuhfah al-Manhaj bi Syarah al-Manhaj, hlm. 174)

Walaupun syarak meletakkan kaedah serta garis panduan dalam menyucikan diri daripada najis mughallazah, namun kaedah sertu tersebut bukanlah satu kebenaran atau permit kepada orang Islam bagi menyentuh najis mughallazah dengan sengaja.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami cenderung mengatakan bahawa pekerjaan sebagai tukang masak daging khinzir adalah haram dan dilarang di dalam Islam sekalipun disajikan hanya kepada bukan Islam. Perbuatan memasak daging khinzir ini dilihat sebagai perkara yang menolong dalam melakukan maksiat kepada Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam kaedah:

الْوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام الْمَقَاصِد

Maksudnya: “Wasilah-wasilah mempunyai hukum yang sama dengan tujuan.”

Menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah dengan cara menyentuh ketika memasak sebagai tukang masak adalah dilarang dalam agama. Perbutan tersebut dilihat seperti menghina kemuliaan agama Islam itu sendiri. 

Akhir sekali, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam mengamalkan agama Islam menurut syarak. Amin.