Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

RESELL BARANG

SOALAN

Assalamualaikum.

Apakah hukum reselll barang tanpa pengetahuan seller?

Terima kasih.

JAWAPAN RINGKAS

Hukum menjual kembali barang tanpa pengetahuan penjual asal adalah harus jika sudah berlaku pemilikan penuh manakala jika tidak ada pemilikan penuh hukumnya haram.

LATAR BELAKANG MASALAH

Resell adalah istilah menjual semula barang yang dipasarkan oleh penjual tertentu sebagai orang yang kedua selepas penjual utama. Situasi ini biasanya berlaku apabila pengasas mengeluarkan sesuatu produk pada harga yang tertentu dengan jumlah yang terhad, pihak ketiga mengambil peluang dengan membeli produk tersebut dengan kuantiti yang banyak dan menjualnya kembali dengan harga yang mahal. Pada umumnya, pengasas akan mengawal harga pasaran yang dijual dengan menetapkan harga siling bagi penjualan produk bagi mengelakkan eskpoitasi harga daripada pihak ketiga. Secara amnya, hukum sitausi ini boleh dinilai daripada beberapa sudut pandang seperti hukum ihtikar dan hukum menjual barang yang tidak dimiliki.

HUJAH DAN ANALISIS

Hukum Ihtikar

Ihtikar merupakan salah satu perbuatan menyembunyikan barang tertentu. Maksud ihtikar dari sudut Bahasa ialah menahan makanan sehingga berlaku kenaikan harga barang, manakala dari segi istilah, mazhab syafie mendefinisikan ihtikar sebagai membeli barang asasi pada waktu krisis dan menahannya sehingga tempoh masa tertentu dan menjualnya dengan harga yang mahal kerana kekurangan barang tersebut di pasaran (Lihat Nihayatul Muhtaj 3/456).

Hukum asal ihtikar adalah haram seperti mana hadis Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Mua`mmar al-Adawi:

لَا يَحْتَكِرُ إِلَّا خَاطِئٌ

Maksudnya: “Seseorang itu tidak melakukan ihtikar melainkan seorang pesalah”

Riwayat Muslim (1605)

Ihtikar boleh difahami dengan menyorok barang dan menjual kembali ketika permintaanya semakin naik dengan harga yang mahal. Imam al-Ramli menyatakan di dalam kitabnya:

بِأَنْ يَشْتَرِيَهُ وَقْتَ الْغَلَاءِ: أَيْ عُرْفًا لِيُمْسِكَهُ وَيَبِيعَهُ بَعْدَ ذَلِكَ بِأَكْثَرَ مِنْ ثَمَنِهِ لِلتَّضْيِيقِ حِينَئِذٍ،

Maksudnya: “Dengan membeli (barang) pada waktu yang ghala’(harga melambung) dimana kebiasaannya dia menyimpannya dan menjualnya kembali dengan harga yang lebih tinggi kerana kekurangan sumber pada Ketika itu.”

(Lihat Nihayatul al-Muhtaj 3/472)

Al-Qadhi al-Ruyani menyatakan di dalam kitabnya Bahr al Mazhab fi Furu’ Mazhab al Syaf’ie:

‌الاحتكار محرم في الجملة لما روي عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه نهى عن احتكار الطعام.

Maksudnya: “Ihtikar secara umumnya haram seperti mana diriwayatkan oleh Nabi Muhammad SAW yang mana baginda melarang ihtikar makanan”

(Lihat  Bahr al-Mazhab fi Furu’ Mazhab al-Syafi’I 5/177)

Ihtikar hanya berlaku pada barang asas sahaja yang melibatkan makanan pada waktu di mana kekurangan sumber. Perkara ini dinyatakan oleh al-Syarbini:

وَيَخْتَصُّ تَحْرِيمُ ‌الِاحْتِكَارِ بِالْأَقْوَاتِ،

Maksudnya: “Dikhususkan pengharaman ihtikar pada perkara makanan asas”

(Lihat Mughni al-Muhtaj 2/392)

Menjual Barang Yang Tidak Dimiliki

Menjual barang yang tidak dimiliki adalah bertentangan dengan syarak dimana transaksi tersebut boleh membawa kepada beberapa perkara yang haram seperti perjudian dan ketidak jelasan. Hal ini kerana, penjual tidak boleh memberi jaminan untuk menghantar barang tersebut kepada pembeli kerana penjual tidak mempunyai pemilikan penuh terhadap barang tersebut. Seterusnya, ini kerana di antara syarat jual beli, orang yang melakukan akad adalah sebagai pemilik barang atau alat tukar, atau bertindak sebagai wakil seperti dinyatakan oleh Imam Ramli di dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj Ila Syarhi Minhaj. Jual beli barang yang bukan miliknya telah termaktub dalam beberapa hadis tentang larangan jual beli tersebut.

Hakim bin Hizam pernah bertanya pada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ يَأْتِينِي الرَّجُلُ فَيَسْأَلُنِي الْبَيْعَ لَيْسَ عِنْدِي أَبِيعُهُ مِنْهُ ثُمَّ أَبْتَاعُهُ لَهُ مِنْ السُّوقِ قَالَ لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ada seseorang yang mendatangiku lalu ia meminta agar aku menjual kepadanya barang yang belum aku miliki, dengan terlebih dahulu aku membelinya untuk mereka dari pasar?” Rasulullah SAW menjawab, “Janganlah engkau menjual sesuatu yang tidak ada padamu.”

Riwayat Abu Daud (3503), al-Nasaie (4613), al-Tirmidzi (1232) dan Ibn Majah (2187).

Imam al-Muzani menyatakan di dalam kitabnya Mukhtasar al-Muzani dimana juala beli yang belum menjadi milik kita ialah, penjualan produk yang belum sepenuhnya berlaku penyerahan dan penerimaan kepada kita, walaupun produk tersebut kita telah beli, dan mungkin pembayaran telah selesai. Larangan ini berdasarkan hadis Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda:

مَنِ ابْتَاعَ طَعَامًا فَلاَ يَبِعْهُ حَتَّى يَسْتَوْفِيَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membeli bahan makanan, maka janganlah ia menjualnya kembali sehingga dia selesai menerimanya.”

Ibn ‘Abbas mengatakan:

وَأَحْسِبُ كُلَّ شَىْءٍ مِثْلَهُ

Maksudnya: “Aku berpendapat bahawa segala sesuatu hukumnya sama dengan bahan makanan.”

Riwayat al-Bukhari (2136) dan Muslim (1525)

Ibn Umar mengatakan,

وَكُنَّا نَشْتَرِى الطَّعَامَ مِنَ الرُّكْبَانِ جِزَافًا فَنَهَانَا رَسُولُ اللَّهِ أَنْ نَبِيعَهُ حَتَّى نَنْقُلَهُ مِنْ مَكَانِهِ.

Maksudnya: “Kami biasa membeli bahan makanan dari orang yang berkendaraan tanpa diketahui ukurannya. Kemudian Rasulullah SAW melarang kami menjual barang tersebut sehingga barang tersebut dipindahkan dari tempatnya.”

Riwayat Muslim (1527)

Dalam riwayat lain, Ibn Umar juga mengatakan,

كُنَّا فِى زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ نَبْتَاعُ الطَّعَامَ فَيَبْعَثُ عَلَيْنَا مَنْ يَأْمُرُنَا بِانْتِقَالِهِ مِنَ الْمَكَانِ الَّذِى ابْتَعْنَاهُ فِيهِ إِلَى مَكَانٍ سِوَاهُ قَبْلَ أَنْ نَبِيعَهُ.

Maksudnya: “Kami dahulu di zaman Rasulullah SAW membeli bahan makanan. Lalu seseorang diutus kepada kami. Dia disuruh untuk memerintahkan kami agar memindahkan bahan makanan yang sudah dibeli tadi ke tempat yang lain, sebelum kami menjualnya kembali.”

Riwayat Muslim (1527)

Ulama Mazhab Syafie menkategorikan penjualan barang yang tidak dimiliki termasuk dalam kategori jual beli gharar. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Muzani:

وَلَا يَجُوزُ بِحَالٍ وَمِنْ بُيُوعِ الْغَرَرِ عِنْدَنَا ‌بَيْعُ ‌مَا ‌لَيْسَ ‌عِنْدَك

Maksudnya: “Tidak boleh (jual beli gharar) dalam apa keadaan sekalipun dan antara jual beli gharar menurut kami ialah jualan sesuatu yang tidak kamu miliki”

(Lihat Mukhtashar al-Muzani 8/185)

Menjual Barang Yang Dimiliki Sepenuhnya

Hukum asal jual beli adalah harus selagi mana tidak ada unsur yang haram di dalamnya. Menjual barang yang telah dimiliki sepenuhnya dengan cara yang halal adalah harus selagi mana barang yang dijual tersebut adalah barang yang halal disisi syarak. Firman Allah S.W.T:

{ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا}

Maksudnya: “Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Seterusnya, jika penjualan itu mencapai tahap keredhaan di antara penjual dan pembeli maka hukumnya adalah harus. Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”

(Surah al-Nisa, 4:29)

KESIMPULAN

Setelah meneliti hujah di atas, kami simpulkan bahawa, hukum menjual kembali barang/produk tanpa pengetahuan pengasas(penjual utama) adalah seperti berikut:

  • Jika pihak ketiga telah membeli barang tersebut dan mempunyai pemilikan penuh pada barang tersebut, maka hukumnya harus baginya untuk menjual kembali walau tanpa pengetahuan pengasas utama.
  • Jika pihak ketiga tersebut masih belum memiliki barang tersebut maka hukumnya haram baginya untuk menjual kembali kerana tidak ada pemilikan penuh. Perkara ini termasuk di dalam jual beli barang yang tidak dimiliki.
  • Jika barang tersebut adalah barang asasi seperti makanan, dan pihak ketiga tersebut membeli kesemua stok dipasaran dan menyoroknya, kemudian, sampai kepada satu tempoh tertentu dia menjualnya kembali dengan harga yang mahal, maka hukumnya haram kerana termasuk dalam kategori ihtikar yang dilarang oleh Nabi.

Namun begitu, janganlah kita mengambil kesempatan di atas kesempitan pihak lain kerana ianya termasuk dalam memakan harta secara batil.