IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-621 : HUKUM BERKHALWAT DENGAN MAHRAM

 

HUKUM BERKHALWAT DENGAN MAHRAM

SOALAN

Assalamualaikum Dato’. Apa hukum berkhalwat dengan mahram?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Sepakat para ulama fikah bahawa hukum berkhalwat dengan mahram adalah diharuskan, termasuk juga memandang mereka dengan tanpa hajat. Namun sekiranya dengan berdua-duan itu boleh menimbulkan keinginan nafsu, maka hukumnya adalah haram.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Para ulama fikah mendefinisikan Mahram (محرم) adalah seseorang yang diharamkan untuk berkahwin dengannya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Jawi di dalam karyanya:

المحرم من حرم نكاحها، ويكون تحريمها على التأبيد بسبب مباح لا لاحترامها ولا لعارض يزول

Maksudnya: “Mahram adalah seseorang yang diharamkan berkahwin dengannya, dan pengharamannya tersebut adalah dalam sifat kekal (selama-lamanya) dengan sebab yang diharuskan, bukan kerana menghormatinya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang hilang.”

(Rujuk: Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja, hlm 114)

 

Tambahan pula, Imam Al-Mawardi R.H menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e yang menyebut bahawa asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah disebabkan nasab atau keturunan, dan berikutnya dengan sebab pernikahan dan penyusuan.

(Rujuk: Al-Hawi Al-Kabir, 9/196)[1]

 

Implikasi mahram dalam kategori nasab dan juga sebab (perkahwinan dan susuan) yang dapat kita simpulkan di atas adalah seperti berikut :

  • Haram berkahwin dengan mahram.
  • Boleh bersentuhan dengan mahram seperti bersalam.
  • Boleh berdua-duan (berkhalwat) bersamanya.

Merujuk kepada persoalan di atas, para ulama fikah bersepakat bahawa hukum berkhalwat dengan mahram adalah harus. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Jamal di dalam kitabnya:

‌اتِّفَاقِهِمْ ‌فِي ‌الْمَرْأَةِ عَلَى حِلِّ خَلْوَةِ الْمَحْرَمِ بِهَا

Maksudnya: “Sepakat para ulama fikah harus seorang wanita berkhalwat dengan mahramnya.”

(Rujuk: Hasyiah al-Jamal, 4,125)

 

Selain itu juga, khalwat yang diharamkan dari sudut syarak ialah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang ajnabi jauh dari pandangan mata manusia. Hal ini berdasarkan dengan sebuah hadis nabi SAW:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: “Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.”

Riwayat Muslim (3112)

 

Tambahan pula, Imam al-Nawawi dalam mensyarah petikan إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ menyebut bahawa diharuskan duduk berdua-duaan dengan sesama mahram dan dibolehkan juga memandang mereka walaupun tanpa hajat. Namun, haram sekiranya mereka melihat dalam keadaan syahwat (keinginan nafsu).

(Rujuk: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 9/105)[2]

 

KESIMPULAN

Justeru, menurut pandangan dan keterangan di atas, kami membuat kesimpulan bahawa khalwat atau berdua-duan sesama mahram adalah diharuskan dari sudut syarak. Bahkan diharuskan juga untuk memandang mereka tanpa hajat. Namun, sekiranya memandang mahram dan berkhalwat dengannya secara syahwat dan boleh menimbulkan keinginan nafsu terhadapnya, maka hal ini diharamkan.

 

[1] أَصْلُ مَا يَحْرُمُ بِهِ النِّسَاءُ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا بأنسابٍ، وَالْآخَرُ بأسبابٍ مِنْ حَادِثِ نكاحٍ أَوْ رضاعٍ

[2] وَكَذَا ‌يَجُوزُ ‌لِكُلِّ ‌هَؤُلَاءِ ‌الْخَلْوَةُ ‌بِهَا ‌وَالنَّظَرُ ‌إِلَيْهَا ‌مِنْ ‌غَيْرِ ‌حَاجَةٍ ‌وَلَكِنْ ‌لَا ‌يَحِلُّ ‌النَّظَرُ ‌بِشَهْوَةٍ ‌لِأَحَدٍ ‌مِنْهُمْ ‌هَذَا ‌مَذْهَبُ ‌الشَّافِعِيِّ ‌وَالْجُمْهُورِ


Cetak   Emel