IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-651: HUKUM MELAKUKAN PENGEWANGAN (MONETIZATION) DARIPADA IKLAN YANG TIDAK PATUH SYARIAH

651

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya nak tanya lah, halal ke pendapatan yang diperoleh kalau kita buat monetization daripada iklan-iklan yang tidak elok seperti judi, pornografi dll? Adakah dikira bersubahat dalam perkara yang mungkar? Mohon pencerahan daripada pejabat mufti.

 

Jawapan Ringkas

Melakukan pengewangan (monetization) daripada iklan-iklan tidak patuh syariah seperti iklan judi, pornografi serta perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak adalah haram kerana dianggap tolong-menolong dalam perkara yang mungkar. Oleh itu, hasil pendapatan yang diperoleh daripada iklan-iklan tidak patuh syariah tersebut adalah haram dan tidak boleh digunakan. Justeru, individu berkaitan dinasihatkan untuk menapis jenis-jenis iklan yang akan disiarkan di laman sosialnya bagi memastikan pendapatan yang diperoleh daripada adalah halal.

 

Huraian Jawapan

Pengewangan (monetization) merujuk kepada proses mengubah item yang tidak menghasilkan pendapatan untuk menjadi wang tunai. Dalam banyak keadaan, pengewangan (monetization) menggunakan kaedah baru untuk menghasilkan pendapatan dari sumber baru seperti memasukkan iklan di dalam klip video media sosial pencipta kandungan (content creator). Kemudiannya, pencipta kandungan akan dibayar hasil daripada iklan-iklan yang ditayangkan di klip video tersebut[1].

 

Oleh itu, keadaan ini sama juga dengan konsep memberi sewa ruangan kepada seseorang untuk beriklan yang mana dalam konteks perbincangan ini ruangan yang disewakan tersebut adalah ruangan digital. Justeru, perkara yang perlu diperhatikan dalam keadaan ini adalah tujuan kegunaan ruang yang disewakan tersebut mestilah tujuan yang baik dan tidak digunakan untuk perkara yang dilarang dan diharamkan oleh syarak.

 

Para ulama berpendapat bahawa tidak boleh untuk seseorang menyewakan sesuatu yang mana perkara yang disewakan itu akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan syarak. Contohnya, menyewakan kedai untuk dibuka kedai arak, premis judi, rumah ibadat bukan Islam dan lain-lain. Oleh itu, haram untuk mengambil atau menerima sebarang upah sewa dalam keadaan tersebut kerana ianya tergolong dalam perbuatan tolong menolong dalam perkara maksiat. (Rujuk Raudhah al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin 194/5[2]; Hilyah al-Ulama fi Ma’rifah Mazahib al-Fuqaha’ 382/5[3]; Mawsu’ah Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 228/8[4])

 

Sehubungan dengan itu, terdapat larangan daripada Allah SWT untuk seseorang melakukan perbuatan yang boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara kemungkaran sama ada secara langsung atau tidak langsung.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya.

Surah Al-Maidah (2)

 

Ayat di atas menerangkan tentang larangan Allah SWT untuk melakukan perkara yang boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara yang kemungkaran seperti meninggalkan suruhan Allah SWT, melakukan perkara yang dilarang serta segala bentuk yang boleh membantu ke arah kemungkaran dan maksiat. Oleh itu, menyewakan ruangan digital untuk iklan-iklan tidak patuh syariah adalah sama seperti tolong-menolong dalam perkara maksiat walaupun bukan secara langsung. (Rujuk Tafsir al-Tabari 490/9[5]; Tafsir al-Baghawi 9/2[6]; Tafsir Ibn Kathir 13-14/2[7])

 

Dalam siri artikel lepas kami, AL-KAFI #1060: HUKUM MENGGUNAKAN GOOGLE ADSENSE DAN GOOGLE ADMOB, kami telah nyatakan garis panduan iklan yang ingin disiarkan mestilah mengikut syarat berikut:

  • Tidak terdapat unsur-unsur yang gharar, riba dan penindasan sebelah pihak seperti mengiklankan permainan judi dan lain-lain
  • Kandungan iklan mestilah tidak mempromosi perkara yang diharamkan syarak seperti iklan arak, pornografi dan lain-lain.

 

Oleh itu, seorang pencipta kandungan yang ingin melakukan pengewangan (monetization) melalui klip-klip video yang dihasilkan mesti memastikan iklan yang akan ditayangkan bebas daripada unsur-unsur yang dilarang syarak. Ini adalah untuk memastikan hasil pendapatan daripada pengewangan tersebut adalah halal dan boleh digunakan.

 

Kesimpulan

Melakukan pengewangan (monetization) daripada iklan-iklan tidak patuh syariah seperti iklan judi, pornografi serta perkara-perkara yang diharamkan syarak adalah haram kerana dianggap tolong-menolong dalam perkara yang mungkar. Oleh itu, hasil pendapatan yang diperoleh daripada iklan-iklan tidak patuh syariah tersebut adalah haram dan tidak boleh digunakan. Justeru, individu berkaitan dinasihatkan untuk menapis jenis-jenis iklan yang akan disiarkan di laman sosialnya bagi memastikan pendapatan yang diperoleh daripada adalah halal.

 

Wallahualam.

[1] https://www.investopedia.com/terms/m/monetize.asp

[2] وَلَا يَجُوزُ لِنَقْلِ الْخَمْرِ مِنْ بَيْتٍ إِلَى بَيْتٍ، وَلَا لِسَائِرِ الْمَنَافِعِ الْمُحَرَّمَةِ، كَالزَّمْرِ وَالنِّيَاحَةِ، وَكَمَا يَحْرُمُ أَخْذُ الْأُجْرَةِ فِي هَذَا، يَحْرُمُ إِعْطَاؤُهَا

[3] ولا يجوز عقد الإِجارة على ‌المنافع ‌المحرمة (2)، (كأن) (3) استأجر بيتًا ليتخذه بيت نار، أو كنيسة، أو ليبيع فيه الخمر، لم تصح الإِجارة

[4] ‌فَلَا ‌يَجُوزُ ‌عِنْدَ ‌جُمْهُورِ ‌الْفُقَهَاءِ ‌إِجَارَةُ ‌الْبَيْتِ ‌لِغَرَضٍ ‌غَيْرِ ‌مَشْرُوعٍ، كَأَنْ يَتَّخِذَهُ الْمُسْتَأْجِرُ مَكَانًا لِشُرْبِ الْخَمْرِ أَوْ لَعِبِ الْقِمَارِ، أَوْ أَنْ يَتَّخِذَهُ كَنِيسَةً أَوْ مَعْبَدًا وَثَنِيًّا. وَيَحْرُمُ حِينَئِذٍ أَخْذُ الأُْجْرَةِ كَمَا يَحْرُمُ إِعْطَاؤُهَا، وَذَلِكَ لِمَا فِيهِ مِنَ الإِعَانَةِ عَلَى الْمَعْصِيَةِ

[5] يعني: ولا يعن بعضكم بعضًا ="على الإثم"، يعني: على ترك ما أمركم الله بفعله ="والعدوان"، يقول: ولا على أن تتجاوزوا ما حدَّ الله لكم في دينكم، وفرض لكم في أنفسكم وفي غيركم

[6] {‌وَلَا ‌تَعَاوَنُوا ‌عَلَى ‌الْإِثْمِ ‌وَالْعُدْوَانِ} قِيلَ: الْإِثْمُ: الْكُفْرُ، وَالْعُدْوَانُ: الظُّلْمُ، وَقِيلَ: الْإِثْمُ: الْمَعْصِيَةُ، والعدوان: البدعة

[7] وَيَنْهَاهُمْ عَنِ التناصر على الباطل. وَالتَّعَاوُنِ عَلَى الْمَآثِمِ وَالْمَحَارِمِ.قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: الْإِثْمُ: تَرْكُ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِفِعْلِهِ، وَالْعُدْوَانُ: مُجَاوَزَةُ مَا حَدَّ اللَّهُ فِي دِينِكُمْ، وَمُجَاوَزَةُ مَا فَرَضَ عَلَيْكُمْ فِي أَنْفُسِكُمْ وَفِي غَيْرِكُمْ


Cetak   Emel