IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-689: HUKUM TIDAK MENYEBUT AMIN SETELAH IMAM SELESAI MEMBACA SURAH AL-FATIHAH

IF689

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai solat fardu yang dilakukan secara berjemaah?. Setelah imam membaca surah al-Fatihah adakah wajib makmum menyebut amin? Atau memadai senyap sahaja.

Sekian terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum menyebut amin selepas imam membaca surah al-Fatihah adalah sunat. Oleh itu, sekiranya seseorang terlupa atau sengaja untuk tidak menyebutnya maka tidak menjejaskan solat bahkan tidak membatalkan solatnya. Hukum sunat menyebut amin ini meliputi imam, makmum dan juga sesiapa yang solat secara sendirian. Selain itu, fadilat menyebut amin bertepatan dengan sebutan para malaikat akan mendapat pengampunan dosa-dosanya yang terdahulu.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara asasnya, solat fardu ditaklifkan ke atas setiap Muslim. Ia sebaiknya ditunaikan secara berjemaah. Hal ini kerana solat secara berjemaah adalah lebih baik daripada solat bersendirian. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA:

‌صَلَاةُ ‌الْجَمَاعَةِ ‌أَفْضَلُ ‌مِنْ ‌صَلَاةِ ‌الْفَذِّ ‌بِسَبْعٍ ‌وَعِشْرِينَ ‌دَرَجَةً

Bermaksud: Solat berjemaah dua puluh tujuh kali lebih banyak pahala daripada solat secara sendirian.

Riwayat Muslim (249)

Oleh itu, solat secara berjemaah perlu dilakukan secara sempurna dari sudut perbuatan dan bacaan zikir dalam solat. Berbalik kepada soalan berkenaan bacaan amin setelah imam selesai membaca surah al-Fatihah, maksud perkataan amin adalah

تَفْسِير (‌آمين) قَالَ: هُوَ: اللَّهُمَّ اسْتَجب

Bermaksud: Tafsir (Amin) berkata bermaksud wahai Tuhan kami, perkenankanlah.

(Rujuk: Tahzib al-Lughah, 15/368)

Manakala hukum bacaan amin setelah imam selesai membaca surah al-Fatihah adalah sunat. Oleh itu, sekiranya makmum tidak sempat menyebut amin selepas imam membaca surah al-Fatihah maka solatnya tidak terbatal. Hal ini menurut kenyataan Imam al-Nawawi:

يُسْتَحَبُّ لِكُلِّ مَنْ قَرَأَ الْفَاتِحَةَ فِي الصَّلَاةِ أَوْ خَارِجَ الصَّلَاةِ أَنْ يَقُولَ عَقِبَ فَرَاغِهِ مِنْهَا ‌آمِينَ

Bermaksud: Disunatkan bagi setiap orang yang membaca surah al-Fatihah sama ada dalam ataupun luar solat untuk mengucapkan aamin setelah selesai membacanya.

(Rujuk: Raudah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, 1/247)

Hukum sunat menyebut amin selepas bacaan surah al-Fatihah ini meliputi imam dan juga makmum serta mereka yang solat secara sendirian. Bahkan mereka perlu melantangkan suara ketika menyebutnya selepas bacaan surah al-Fatihah oleh imam. Hal ini menurut kenyataan Imam al-Nawawi:

ويستوي في استحبابها الإمام والمأموم والمنفرد، ويجهر بها الإمام والمنفرد في الصلاة الجهرية تبعا للقراءة، وأما المأموم فالمذهب أنه يجهر

Bermaksud: Hukum (membaca amin) bagi imam, makmum dan orang yang solat bersendirian adalah sama iaitu sunat dan melantangkan bacaan amin bagi imam dan juga orang yang solat bersendirian ketika solat yang jahar mengikut bacaan yang kuat. Manakala makmum maka menurut pendapat mazhab mereka juga menyebutnya dengan suara yang lantang.  

(Rujuk: Raudah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, 1/247)

Manakala fadilat melafazkan amin bersama-sama imam bermakna sebutan itu bertepatan dengan sebutan amin para malaikat yang mana ia menyebabkan dosa-dosa yang terdahulu diampunkan oleh Allah SWT. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ فَأَمِّنُوا، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلَائِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Bermaksud: Sekiranya imam mengucapkan amin maka ucapkanlah amin, maka sesungguhnya ucapan amin sesiapa bersamaan dengan ucapan amin para malaikat maka diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (780)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa hukum menyebut amin selepas imam membaca surah al-Fatihah adalah sunat. Oleh itu, sekiranya seseorang terlupa atau sengaja untuk tidak menyebutnya maka tidak menjejaskan solat bahkan tidak membatalkan solatnya. Hukum sunat menyebut amin ini meliputi imam, makmum dan juga sesiapa yang solat secara sendirian. Selain itu, fadilat menyebut amin bertepatan dengan sebutan para malaikat akan mendapat pengampunan dosa-dosanya yang terdahulu.

Cetak