Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-698: ADAKAH BOLEH GANTI SOLAT YANG TERTINGGAL SECARA BERJEMAAH ATAU MENGIKUTI IMAM YANG SEDANG SOLAT

IF698

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ingin bertanya, saya telah tertinggal solat Asar secara tidak sengaja. Ketika saya memasuki masjid saya mendapati terdapat jemaah sedang mendirikan solat Maghrib. Adakah saya perlu mengikuti jemaah untuk solat Maghrib tanpa menggantikan solat Asar terlebih dahulu atau saya boleh menyertai solat berjemaah dengan niat solat Asar?.

Sekian terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Solat fardu merupakan satu kewajipan bagi setiap Muslim. Oleh itu, jika seseorang itu tertinggal salah satu solat fardu maka dia wajib menggantikannya. Dia boleh menggantikannya secara berjemaah. Hal ini kerana solat secara berjemaah lebih baik daripada menunaikan solat secara bersendirian. Perbezaan niat antara imam dan makmum tidak menjadi penghalang untuk menggantikan solat secara berjemaah meskipun imam sedang menunaikan solat secara tunai (ada’). Walau bagaimanapun secara praktikalnya menunaikan solat tunai yakni solat secara tunai adalah lebih afdal untuk didahulukan dan kemudiannya menggantikan solat yang tertinggal secara sendirian.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Islam menuntut umatnya agar menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam. Namun sebagai manusia yang diciptakan dengan sifat lupa dan lalai akan tertinggal solat yang difardukan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Oleh itu, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, maka wajib bagi dirinya untuk menggantikan solat tersebut  Hal ini berdasarkan hadis nabi SAW:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ

Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula).

Riwayat al-Bukhari (597)    

Sebagai tambahan, orang yang ingin menggantikan solat boleh dilakukan secara sendirian bahkan lebih baik dilakukan secara berjemaah. Hal ini kerana solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

‌صَلَاةُ ‌الْجَمَاعَةِ ‌أَفْضَلُ ‌مِنْ ‌صَلَاةِ ‌الْفَذِّ ‌بِسَبْعٍ ‌وَعِشْرِينَ ‌دَرَجَةً

Bermaksud: Solat berjemaah dua puluh tujuh kali lebih banyak pahala daripada solat secara individu.

Riwayat Muslim (249)

Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah menggantikan solat secara berjemaah bersama-sama para sahabat Baginda SAW. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

عَرَّسْنَا مَعَ نَبِيِّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ نَسْتَيْقِظْ حَتَّى طَلَعَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «‌لِيَأْخُذْ ‌كُلُّ ‌رَجُلٍ ‌بِرَأْسِ ‌رَاحِلَتِهِ، فَإِنَّ هَذَا مَنْزِلٌ حَضَرَنَا فِيهِ الشَّيْطَانُ»، قَالَ: فَفَعَلْنَا، ثُمَّ دَعَا بِالْمَاءِ فَتَوَضَّأَ، ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ، وَقَالَ يَعْقُوبُ: ثُمَّ صَلَّى سَجْدَتَيْنِ، ثُمَّ أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَصَلَّى الْغَدَاةَ

Bermaksud: Kami singgah (untuk berehat) bersama Nabi SAW lalu kami tidak terjaga sehingga terbit fajar, maka Nabi SAW berkata: (supaya setiap lelaki mengambil kepala binatang tunggangannya (untuk beredar) kerana sesungguhnya ini adalah tempat yang padanya syaitan (maka baginda tidak solat di situ), kami menuruti perintah baginda SAW, kemudian Baginda SAW meminta air untuk berwuduk kemudian baginda SAW sujud sebanyak dua kali dan Yaakob berkata: kemudian Baginda SAW solat dengan bersujud sebanyak dua kali kemudian Baginda SAW mendirikan solat kemudian solat tengah hari (zohor).

Riwayat Muslim (310)

Bahkan, menurut kenyataan Imam al-Nawawi bahawa sunat menggantikan solat secara berjemaah:

أما الْمَقْضِيَّةُ مِنْ الْمَكْتُوبَاتِ ‌فَلَيْسَتْ ‌الْجَمَاعَةُ ‌فِيهَا ‌فَرْضَ ‌عَيْنٍ وَلَا كِفَايَةٍ بِلَا خِلَافٍ وَلَكِنْ يُسْتَحَبُّ الْجَمَاعَةُ فِي الْمَقْضِيَّةِ الَّتِي يَتَّفِقُ الْإِمَامُ وَالْمَأْمُومُ فِيهَا بِأَنْ يَفُوتَهُمَا ظُهْرٌ أَوْ عَصْرٌ

Bermaksud: Berjemaah ketika menggantikan solat fardu bukan suatu kefarduan dan fardu kifayah tanpa ada perselisihan pendapat akan tetapi disunatkan berjemaah ketika menggantikan solat yang sama antara imam dan makmum seperti tertinggal solat Zohor atau Asar.

(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 4/189)

Bahkan perbezaan niat antara imam dan makmum tidak menjadi penghalang untuk menggantikan solat secara berjemaah sama ada imam sedang solat secara tunai (ada’) dan makmum menunaikan solat secara ganti (qada’) ataupun sebaliknya. Hal ini berdasarkan kenyataan Syeikh Ibrahim al-Baijuri:

ولا يضر اختلاف نية الإمام والمأموم فيصح اقتداء المفترض بالمتنفل والمؤدي بالقاضي وفي طويلة بقصيرة كظهر بصبح وبالعكوس

Bermaksud: Tidak menjejaskan perbezaan antara niat imam dan makmum, maka sah orang yang menunaikan solat fardu menjadi makmum kepada orang yang menunaikan solat sunat dan orang yang melakukan solat secara tunai boleh menjadi makmum kepada orang yang melakukan solat secara qada’. Orang yang solat panjang boleh menjadi makmum kepada orang yang melaksanakan solat pendek seperti Zohor dengan Subuh atau sebaliknya.

(Rujuk: Hasyiah al-Bajuri, 379/1)

Adapun bagi kes yang ditanyakan iaitu berjemaah solat qada’ dengan imam yang sedang solat tunai, maka secara praktikalnya adalah lebih afdal seorang itu berjemaah bersama-sama Imam solat tunai tersebut dan kemudian memadai menggantikan solat yang tertinggal secara sendirian.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan dalil dan pandangan ulama di atas, dapat difahami bahawa Seseorang Muslim yang tertinggal solat sama ada dengan sengaja ataupun dengan keuzuran maka dia wajib menggantikannya dengan segera. Selain itu, dia juga boleh menggantikannya secara berjemaah. Hal ini kerana solat secara berjemaah lebih baik daripada menunaikan solat secara bersendirian. Perbezaan niat antara imam dan makmum tidak menjadi penghalang untuk menggantikan solat secara berjemaah meskipun imam sedang menunaikan solat secara tunai (ada’). Walau bagaimanapun secara praktikalnya menunaikan solat tunai yakni solat secara tunai adalah lebih afdal untuk didahulukan dan kemudiannya menggantikan solat yang tertinggal secara sendirian.

 


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+