Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-703: ADAKAH PERSAINGAN HARGA DALAM KALANGAN PENIAGA DIHARUSKAN DALAM ISLAM?

703

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya baru nak bermula berniaga yang diambil daripada pengilang. Produk tersebut turut dijual oleh orang lain juga yang mana mereka mark up mengikut persen tertentu. Maka saya ingin tawarkan harga yang lebih murah berbanding peniaga lain. Soalan saya, adakah bersaing harga dibenarkan dalam Islam?

 

Jawapan Ringkas

Persaingan harga adalah dibenarkan dalam Islam kerana persaingan harga adalah satu norma yang sentiasa berlaku dalam pasaran. Ini juga berdasarkan kaedah asal hukum bagi perkara berkaitan muamalat adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya. Namun begitu, persaingan harga ini mestilah berlaku dalam suasana yang sihat dan tidak akan menzalimi peniaga-peniaga lain dan seterusnya merosakkan pasaran.

 

Huraian Jawapan

Persaingan antara peniaga adalah norma yang tidak dapat dipisahkan dalam pasaran. Ini adalah kerana persaingan adalah asas dalam perniagaan untuk peniaga-peniaga meraih keuntungan dan menawarkan harga atau perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Penawaran harga dalam pasaran sama ada murah atau mahal adalah bergantung hukum penawaran dan permintaan (supply and demand) yang tidak dapat dipisahkan dalam pasaran.

 

Selain itu, Rasulullah SAW juga enggan mengawal harga pasaran ketika diminta oleh para sahabat kerana tidak mahu menzalimi para peniaga. Hal ini menunjukkan bahawa tindakan baginda tersebut mengiktiraf pasaran bebas. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ، وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلَا مَالٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allahlah Penetap harga barang. Dialah yang menahan dan jua melapangkan rezeki. Dialah Maha Pemberi rezeki. Sesungguhnya aku harap untuk bertemu Allah dalam keadaan tiada seorang pun daripada kalangan kamu yang menuntut aku atas kezaliman terhadap darah dan harta.

Riwayat Abu Daud (3451)

 

Sehubungan itu, asal hukum bagi perkara-perkara berkaitan muamalat adalah harus kecuali ada dalil-dalil syarak yang menyatakan perkara itu haram seperti riba, menipu dan lain-lain. Hal ini dapat dilihat melalui kaedah berikut:

الأصل ‌في ‌المعاملات ‌الإباحة حتى يثبت من أدلة الشرع ما يخرجها عن هذا الأصل

Maksudnya: Hukum asal dalam urusan muamalat adalah harus sehinggalah ada dalil syarak yang mengeluarkan ia dari hukum asal (harus). (Rujuk Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami 21/7)

 

Tambahan lagi, konsep ekonomi dalam Islam terbina atas konsep kebebasan. Ini bermakna peniaga ataupun pengguna bebas melakukan apa sahaja (seperti bersaing harga atau tawar menawar) selagi tidak melibatkan unsur-unsur yang diharamkan syarak. Bahkan Imam al-Ghazali juga turut menyatakan bahawa persaingan harga adalah adat kebiasaan yang sihat dalam perniagaan yang menggantikan sifat hasad dengki dan ia dibenarkan oleh syarak. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 4985/7[1]; Ihya’ Ulumuddin 190-192/3[2])

 

Walaupun sudah jelas tentang keharusan persaingan harga. Persaingan harga tersebut mestilah tidak memberi mudarat kepada pihak lain yang boleh merosakkan pasaran. Sebagai contoh, merampas pelanggan peniaga lain, ihtikar (sorok barang), menipu dan perkara-perkara lain yang dilarang syarak. Ini adalah berdasarkan hadis berikut:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Riwayat Ahmad (2865)

 

Oleh itu, persaingan tersebut mestilah berlaku secara sihat yang akan meningkatkan kesungguhan peniaga untuk berusaha lebih keras dan kreatif[3].

 

Kesimpulan

Persaingan harga adalah dibenarkan dalam Islam kerana persaingan harga adalah satu norma yang sentiasa berlaku dalam pasaran. Ini juga berdasarkan kaedah asal hukum bagi perkara berkaitan muamalat adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya. Namun begitu, persaingan harga ini mestilah berlaku dalam suasana yang sihat dan tidak akan menzalimi peniaga-peniaga lain dan seterusnya merosakkan pasaran.

Wallahualam.

 

[1] ولقد نادى ابن خلدون بمبدأ الاقتصاد الحر، وحبَّذ الإسلام نظام ‌المنافسة الكاملة الشريفة الذي يمنع فيه الاحتكار

[2] وأما المنافسة فليست بحرام بل هي إما واجبة وإما مندوبة وإما مباحة وقد يستعمل لفظ الحسد بدل المنافسة والمنافسة بدل الحسد..... «والمنافسة في اللغة مشتقة من النفاسة والذي يدل على إباحة المنافسة قوله تعالى {وفي ذلك فليتنافس المتنافسون} وَقَالَ تَعَالَى {سَابِقُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ}

[3] Amal Ahmad Mahmud al-Haj Hasan. 2012. Al-Munafasah al-Tijariyyah fi al-Fiqh al-Islami wa Atharuha ‘Ala al-Suq (Rujuk Lampiran 1)


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+