IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 46 : KUPASAN KAEDAH ‘BUKTI KE ATAS MEREKA YANG MENDAKWA, SUMPAH KE ATAS MEREKA YANG MENGINGKARI’

IUF46 2

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, bolehkah berikan penjelasan berkenaan sebuah kaedah yang menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu membuat sesuatu dakwaan dan tuduhan, maka dia perlu mendatangkan bukti untuk menguatkan tuduhan. Manakala jika seseorang yang dituduh itu ingin menafikan tuduhan ke atas dirinya, maka dia perlulah bersumpah. Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kaedah yang dimaksudkan dalam persoalan di atas hakikatnya bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ وَلَكِنَّ الْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya : Sekiranya diberikan kepada manusia itu semata dengan mengikut dakwaan-dakwaan mereka, nescayalah orang ramai akan mendakwa darah dan harta orang lain (sebagai milik mereka). Akan tetapi sumpah itu adalah ke atas mereka yang dituduh.

Riwayat Muslim (1711)

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Ibn Abbas beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya : Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.

Riwayat Al-Baihaqi dalam Al-Sunan (10/252)

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : Hadis ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syarak. Padanya menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan ia (dakwaan) berhajat kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (4/12).

Imam Al-Tirmizi berkata : Pengamalan berdasarkan hadis ini di sisi para ahli ilmu dari kalangan para sahabat Nabi S.A.W dan selain mereka adalah ‘bukti itu ke atas mereka yang mendakwa (mengeluarkan dakwaan dan tuduhan), dan sumpah itu ke atas mereka yang didakwa’.

Hadis di atas ini secara mafhumnya turut membawa kepada satu lagi konsep yang masyhur disebutkan menerusi sebuah kaedah fekah :

الأصْلُ بَرَاءةُ الذِّمَّة

Maksudnya : Hukum asal bagi seseorang adalah terlepas diri (bersih) dari sebarang tanggungan.

Sebagai contohnya, sekiranya seseorang itu mendakwa bahawa ada seseorang yang telah melakukan kejahatan ke atas dirinya, maka hukum asalnya orang yang dituduh tadi terlepas dari tuduhan tersebut sehinggalah orang yang menuduh itu mendatangkan bukti terhadap kesahihan dakwaan tersebut.

Imam Ibn Al-Munzir dalam ulasan beliau terhadap kaedah di atas menyebutkan :

 أَجْمَعَ أَهْلُ الْعِلْمِ عَلَى أَنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya : Para ahli ilmu telah berijma’ bahawa bukti itu ke atas mereka yang mendakwa, dan sumpah itu ke atas mereka yang didakwa. Rujuk Al-Ijma’, Ibn Al-Munzir (Hlm. 65).

Justeru dapat difahami bahawa sekiranya seseorang itu membuat sesuatu dakwaan, maka hakim tidak boleh terus membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman hanya semata-mata berdasarkan dakwaan tersebut. Bahkan hendaklah pihak dirinya selaku yang mendakwa mendatangkan bukti-bukti yang menguatkan dakwaannya tersebut dan hakim membuat keputusan dengan menilai kepada bukti-bukti ini.

Syeikh Taqiyuddin Al-Hisni dalam menjelaskan kaedah ini beliau berkata :

Para ashab (Al-Syafi’eyyah) berbeza pendapat tentang had (definisi) orang yang mendakwa dan definisi orang yang didakwa. Dan mereka mempunyai pelbagai pernyataan dalam mendefinisikannya dan kesimpulannya kembali kepada dua makna yang diistinbatkan daripada kenyataan Imam Al-Syafi’e.

Pertama : Orang yang mendakwa merupakan mereka yang ucapannya menyelisihi keadaan yang zahir. Manakala orang yang didakwa pula adalah mereka yang ucapannya menepati keadaan yang zahir. Ini adalah pendapat yang dijelaskan oleh Al-Ruyani dan pendapat majoriti ashab menunjukkan kepada makna ini dan ia dirajihkan oleh Al-Rafi’e dan Al-Nawawi.

Kedua : Orang yang mendakwa adalah seseorang yang apabila dia diam maka dia dibiarkan, manakala orang yang didakwa adalah seseorang yang tidak dibiarkan apabila dia diam bahkan dia dituntut untuk menjawab (dakwaan ke atas dirinya).

Rujuk Al-Qawa’id Li Al-Hisni (4/245)

Manakala Syeikh Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan  maksud bagi kaedah tersebut beliau berkata : Bayyinah itu merupakan sesuatu yang menjelaskan serta menzahirkan kebenaran. Ia secara feqhnya merujuk kepada al-syahadah (persaksian) serta dipertanggungjawabkan ke atas orang yang mendakwa. Adapun bersumpah dengan nama Allah pula maka ia berlaku dari pihak yang mengingkari dakwaan ke atas dirinya. Kaedah ini secara nasnya merupakan lafaz dari hadis Nabi yang masyhur seperti yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim, serta ashab al-sunan.

Beliau menambah : Hikmah padanya adalah sudut orang yang mendakwa itu adalah lemah, kerana dia mendakwa sesuatu yang berbeza dengan keadaan zahir, maka hujah yang kuat menjadi wajib ke atas dirinya untuk menguatkan sudut yang lemah tersebut. Dan hujah yang kuat itu adalah merujuk kepada Al-Bayyinah (bukti dakwaan). Manakala sudut orang yang didakwa itu pula adalah kuat, kerana hukum asal adalah dia terlepas dari sebarang tuduhan. Maka memadai dari pihak dirinya untuk menggunakan hujah yang lemah, iaitu bersumpah. Rujuk Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah wa Tathbiqaatuha fil Mazahib al-Fiqhiyyah, Dr. Muhammad Musthafa al-Zuhaili (1/589).

Di dalam Mausu’ah Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah menyebutkan : Sesungguhnya bukti iaitu saksi maka ia hanya wajib ke atas orang yang mendakwa. Manakala sumpah menjadi tuntutan ke atas individu yang didakwa ketika dia mengingkari dakwaan ke atas dirinya dan juga ketika tidak ada bukti yang disertakan dari pihak yang mendakwa dan juga apabila pihak lawan menuntutnya (orang yang dituduh) untuk bersumpah. Sekiranya tidak begini nescaya orang ramai akan mendakwa darah dan harta benda orang lain secara batil. Rujuk Mausu’ah Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah (8/781).

Aplikasi Kaedah

Berikut kami kongsikan beberapa contoh pengaplikasian bagi kaedah tersebut. Antaranya adalah :

 

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa Islam amat menitikberatkan soal jiwa, darah serta harta manusia. Justeru, antara bentuk pemeliharaan kesemuanya ini adalah dengan cara tidak bermudah-mudahan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang hanya semata adanya tuduhan dan dakwaan ke atas dirinya. Sebaliknya Islam menetapkan sebuah kaedah supaya seseorang yang mendakwa sesuatu itu hendaklah mendatangkan bukti yang menguatkan tuduhannya. Manakala jika tidak didatangkan bukti, maka seseorang yang menafikan tuduhan ke atas dirinya hendaklah menguatkan penafian tersebut dengan bersumpah.

Meskipun  begitu, perlu dijelaskan bahawa kaedah di atas ini merupakan satu garis panduan umum yang disediakan oleh Islam yang boleh digunapakai dalam kes-kes yang berbeza. Namun, sekiranya sesebuah kes itu telah melibatkan proses undang-undang yang digunapakai oleh sesuatu tempat, maka proses penghakiman dengan mengikut prosedur-prosedur dan saluran yang betul adalah menjadi keutamaan bagi mendapatkan keadilan dan keputusan yang tuntas.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.