IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-52: TANGGUH SOLAT JUMAAT, ADAKAH DIKIRA MENDAHULUKAN NYAWA BERBANDING AGAMA?

TANGGUH JUMAAT

Soalan:

Saya ada dengar dan membaca pandangan beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan dan jabatan agama untuk menangguhkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara. Antara hujah mereka ialah ketetapan Maqasid Syariah yang jelas meletakkan penjagaan agama (hifz al-din) sebagai keutamaan pertama berbanding penjagaan nyawa (hifz al-nafs).

Saya mohon penjelasan berkenaan perkara ini, terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

 

Maqasid Syariah serta pemeliharaan agama dan nyawa

Secara umumnya, Maqasid Syari’ah boleh ditakrifkan sebagai:

“Tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh Syari’at Islam dalam hukum-hakam yang disyariatkan serta rahsia disebaliknya dengan tujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia”.

Pembahagian Maqasid Syari’ah dari sudut kepentingannya kepada maslahah manusia terbahagi kepada tiga, iaitu al-Dharuriyyat, al-Hajiyyat dan al-Tahsiniyyat.[1]

Pertama: Al-Dharuriyat

Ia merupakan perkara yang mana kehidupan manusia memerlukannya dan bergantung kepadanya. Jika sekiranya perkara tersebut tiada, manusia akan mengalami kesukaran dalam kehidupannya di dunia mahupun akhirat.

Al-daruriyat terbahagi kepada lima asas utama (al-dharuriyyat al-khams), iaitu: memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta benda. Setiap urusan agama dibina atas perkara-perkara ini mengikut keutamaan yang telah ditetapkan oleh para ulama’.

Kedua: Al-Hajiyyat

Al-hajiyyat ialah perkara yang diperlukan oleh manusia bagi memberikan kemudahan kepadanya dan menghilangkan kesukaran. Ketiadaan perkara-perkara al-hajiyyat tidak membawa kepada kepincangan dalam hidup manusia sebagaimana ketiadaannya perkara-perkara al-dharuriyyat, namun ia akan membawa kepada kesukaran dalam kehidupan manusia.

Ketiga: Al-Tahsiniyyat

Al-tahsiniyyat ialah merupakan perkara-perkara yang menyempurnakan dan mencantikkan urusan manusia. Ketiadaan perkara-perkara al-tahsiniyyat tidak membawa kepada kesukaran dalam hidup manusia seperti mana ketiadaannya perkara-perkara al-dharuriyyat dan al-hajiyyat, tetapi keberadaannya akan membawa kepada kehidupan yang lebih sempurna buat manusia.

 

Memelihara agama dan nyawa

Prinsip utama Maqasid Syariah adalah untuk memelihara lima perkara; iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Mengambil kira ruang yang terbatas, kami bataskan perbahasan kepada memelihara agama dan nyawa:

Hifz al-Din ditakrifkan sebagai satu kaedah umum (kulliy) yang merangkumi penetapan rukun-rukun dan hukum-hakam agama dalam kehidupan dan kewujudan manusia, dan segala usaha ke arah menyanggahi segala perkara yang bertentangan dengan agama Allah SWT seperti kekufuran, bidaah dan sebagainya. Hifz al-din dianggap sebagai dharuriyyat yang paling penting antara dharuriyyat yang lima. (Rujuk Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, ‘Ilm al-Maqasid al-Syar’iyyah, hlm. 81)

Secara umumnya, konsep hifz al-din merangkumi dua dimensi, iaitu dimensi al-wujud (positif) dan dimensi al-‘adam (negatif). Antara contoh bagi dimensi al-wujud ialah pensyariatan iman, ibadah-ibadah rukun seperti solat, haji, puasa dan zakat. Manakala contoh bagi dimensi al-‘adam pula seperti pensyariatan hukum hudud ke atas orang yang murtad dan hukuman ta’zir ke atas penyebar ajaran sesat dan menyeleweng. (Rujuk Al-Muwafaqat, 2/18-19)

Konsep hifz al-nafs pula ialah pemeliharaan terhadap nyawa, yang merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Contohnya, Islam melarang perbuatan membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau manusia lain bagi memelihara nyawa. Hukuman qisas, diyat atau kaffarah dikenakan bagi mereka yang telah melakukan pembunuhan terhadap manusia lain sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

 

Tangguh solat Jumaat dan solat berjemaah, adakah dikira mengutamakan nyawa berbanding agama?

Dr. Syeikh Ahmad bin ‘Abd al-Salam al-Raisouni – ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia – telah menolak dakwaan bahawa penangguhan solat Jumaat dan solat berjemaah sebagai mendahulukan hifz al-nafs berbanding hifz al-din.

Menurut beliau, tujuan asal (maqasid asliy) kepada hifz al-din ialah pelaksanaan solat itu sendiri yang berada pada kedudukan dharuriy yang tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa jua keadaan. Adapun solat Jumaat, ia merupakan satu kefardhuan bagi setiap lelaki mukallaf yang bermuqim, namun ia berada pada kedudukan hajiyyat atau tahsiniyyat, bukannya dharuriyyat.

Manakala solat berjemaah – tanpa menafikan keutamaan dan kepentingannya – ia hanya merupakan sekadar pelengkap (mukammil) kepada konsep hifz al-din. Maka selagi mana kita masih mengerjakan solat, maka hifz al-din itu tetap terlaksana dan berdiri teguh, meskipun solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid ditangguhkan seketika.

Adapun wabak Covid-19 yang kita hadapi sekarang merupakan satu ancaman yang boleh membawa kepada maut, maka sebarang polisi dan tindakan bagi menjauhi wabak ini merupakan pemeliharaan hakiki terhadap nyawa itu sendiri, bukan sekadar pelengkap kepada konsep hifz al-nafs. Sebarang penangguhan terhadap polisi menyekat wabak ini akan mengakibatkan kematian.[2]

Begitu juga dibenarkan bagi umat Islam untuk mengungkap kalimah kufur dalam keadaan terpaksa bagi menjaga nyawa. Firman Allah SWT:

مَن كَفَرَ بِاللَّـهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman;

Surah al-Nahl (106)

Tsabit juga daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya : Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.

Sunan Ibn Majah (793)

Menurut hadith di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran? Maka Rasulullah SAW menjawab :

خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya : Perasaan takut ataupun sakit.

Sunan Abi Dawud (551)

Maka jelas daripada kedua-dua hadith ini, tidak melaksanakan solat berjemaah atas faktor sakit atau takut bukanlah bermaksud mengutamakan nyawa berbanding agama, namun ia perlu dilihat dari sudut maslahah dan fiqh awlawiyyat (fiqh keutamaan).

Bahkan memelihara nyawa itu sendiri sebenarnya merupakan prasyarat penting dalam memelihara agama, kerana  tanpa keberadaan umat Islam yang sihat dan kuat, nescaya Islam tidak dapat diamalkan dan disebarkan. Nabi SAW sendiri pernah berdoa merintih kepada Allah SWT ketika perang Badar:

اللَّهُمَّ إِنْ تَهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدْ فِي الأَرْضِ

Maksudnya: Ya Allah! Jika Kau binasakan kumpulan ini, nescaya Kau tidak akan disembah lagi di dunia ini.

Sahih Muslim (1763)

Kesimpulan

Tuntasnya kami nyatakan bahawa penangguhan solat Jumaat dan solat berjemaah di surau-surau dan masjid-masjid tidak sama sekali membawa maksud mengutamakan pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs) berbanding pemeliharaan agama (hifz al-din). Hal ini kerana majoriti ulama Usul Fiqh dan Maqasid menetapkan bahawa hifz al-din tetap berada pada kedudukan yang tertinggi berbanding dharuriyyat yang lain.

Namun dalam situasi sekarang, wabak Covid-19 yang kita hadapi merupakan satu ancaman yang hakiki terhadap nyawa manusia dan merupakan tujuan asal (maqasid asliy) kepada hifz al-nafs itu sendiri, sedangkan pelaksanaan solat Jumaat dan berjemaah berada pada martabat pelengkap kepada hifz al-din. Maka apabila bertembung antara dua perkara, perkara yang darjat dan keutamaanya lebih tinggi diutamakan berbanding yang lebih rendah.

Wallahu a’lam.

[1] Untuk penjelasan lanjut berkenaan konsep Maqasid Syariah dan al-Dharuriyyat al-Khams, sila rujuk artikel-artikel berikut:

[2] Rancangan temubual Liqaa’ al-Yaum terbitan Stesyen Al-Jazeera, yang boleh ditonton pada pautan: https://www.youtube.com/watch?v=IZK2LhD8H9U