Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

fardhu kifayah covid

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

 

Definisi fardhu kifayah dan bezanya dengan fardhu ‘ain

Kata Imam al-Rafi’e, fardhu-fardhu kifayah merupakan perkara-perkara kulliyyah yang berkait dengannya maslahah agama dan duniawi yang dituntut oleh syara’ untuk melaksanakannya. Namun tuntutan tersebut tidak ditujukan kepada seseorang individu secara khusus sepertimana fardhu ‘ain, namun tuntutan dan kewajipan itu ditujukan kepada sekalian orang mukallaf secara umum dan kulliy. (Rujuk Al-Tahbir Syarh al-Tahrir 2/875)

Menurut Imam al-Isnawi pula, dinamakan fardhu kifayah kerana pelaksanaannya oleh sebahagian mukallaf telah mencukupi dalam merealisasikan tuntuan Maqasid Syarak, dan cukup juga untuk membebaskan yang lain daripada bebanan dosa. (Rujuk Al-Tamhid hlm. 73)

Sebahagian ulama seperti Abu Ishaq al-Isfarayini dan Imam al-Haramain al-Juwainiy berpandangan fardhu kifayah lebih besar kelebihannya berbanding fardhu ain. Hal ini kerana pelaksanaan fardhu ain hanya melaksanakan tanggungjawab yang dituntut ke atas diri sendiri, manakala pelaksanaan fardhu kifayah merupakan pelaksanaan tanggungjawab yang dituntut terhadap diri sendiri dan ummah seluruhnya.  (Rujuk Ghiyath al-Umam hlm. 358 dan Al-Tahbir Syarh al-Tahrir 2/882)

 

Lapangan fardhu kifayah

Antara contoh bidang dan lapangan fardhu kifayah ialah kewajipan menuntut ilmu. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Begitu juga dengan solat lima waktu secara berjemaah. Berkata Imam Khatib al-Syirbini : “Hukum solat jemaah ialah fardhu kifayah pada solat-solat maktubah (solat wajib lima waktu) ke atas lelaki merdeka yang bermukim menurut pandangan yang muktamad di sisi Imam Nawawi” (Rujuk: Al-Iqna' fi Halli Alfazi Abi Syuja’, 1/163).

Begitu juga dengan kewajipan pengurusan jenazah oleh ahli masyarakat. Imam al-Syafi’e berkata: Menjadi kewajipan ke atas manusia untuk memandikan mayat, mensolatkannya dan mengebumikannya, tidak boleh mereka meninggalkannya secara kulliyy. Adapun apabila sebahagian masyarakat melaksanakannya, itu sudah cukup bagi mereka, inshaAllah Ta’ala. (Rujuk Al-Umm 1/312)

Kata Imam al-Ghazzali: Sesungguhnya bidang perubatan, matematik, pertanian, penenunan dan politik merupakan sebahagian daripada fardhu-fardhu kifayah, dan hatta pembekaman serta penjahitan juga termasuk fardhu kifayah. (Rujuk Ihyaa’ Ulum al-Din 1/16)

 

Fardhu kifayah dan qa’edah syarak

Selain itu, konsep fardhu kifayah ini boleh difahami menurut kerangka satu qa’idah usuliyyah (qaedah usul fiqh):

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: Jika suatu perkara yang wajib tidak sempurna melainkan satu perkara lain, maka perkara yang lain itu turut menjadi wajib.

Begitu juga dengan satu qaedah fiqh:

للوسائل حكم المقاصد

Maksudnya: Hukum suatu wasilah itu bergantung kepada maqasid (objektif yang ingin dicapai daripadanya).

 

Fardhu kifayah dan kerjasama dalam perkara taqwa

Menurut Syeikh Ahmad al-Raisouni, konsep fardhu kifayah ini sebenarnya diasaskan di atas prinsip ‘al-Ta’awun ‘ala Al-Birr wa al-Taqwa’ iaitu bekerjasama dalam perkara kebaikan dan taqwa. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Surah al-Ma’idah (2)

Secara asasnya, kewajipan-kewajipan fardhu kifayah ini tidak lain tidak bukan melainkan perkara-perkara yang membawa kepada maslahah duniawi dan ukhrawi manusia, dan ia tidak dapat dicapai oleh seorang individu, atau beberapa individu secara berasingan; bahkan fardhu kifayah hanya dapat tertegak melalui kerjasama kolektif dalam sesebuah masyarakat. (Rujuk al-Kulliyyat al-Asasiyyah li al-Syari’ah al-Islamiyyah, hlm. 122-123)

Bertitik-tolak dari asas ini, hukum fardhu kifayah mesti difahami menurut kerangka kerjasama kolektif sesama manusia dalam mencapai maslahah duniawi dan ukhrawi.

 

Fardhu kifayah dan menangani wabak Covid-19

Dalam konteks semasa, kerjasama yang bersepadu secara kolektif adalah amat penting dalam menangani wabak Covid-19 yang kian membimbangkan sekarang. Sudah tentu, petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus menyelesaikan isu ini ialah para doktor, jururawat dan seluruh warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di mana bekerja dalam bidang perubatan merupakan satu tuntutan fardhu kifayah yang amat mulia disisi syarak.

Selain itu, tidak dilupakan petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) yang lain yang bekerja siang dan malam tanpa mengenal erti lelah, antaranya anggota polis yang ditugaskan untuk mengawal pergerakan rakyat di tempat-tempat awam sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan berlangsung.

Namun, kerjasama daripada masyarakat awam adalah diperlukan bagi menjayakan segala polisi dan tugas-tugas merawat serta mencegah penularan wabak ini, dengan mematuhi segala arahan yang ditetapkan, serta tidak mencetuskan panik yang boleh mengganggu keberkesanan tugas petugas-petugas. Tanpa kerjasama daripada masyarakat, segala polisi dan peraturan yang ditetapkan tidak akan berjaya mencapai objektifnya.

Kaedah fiqh menetapkan:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: Polisi dan tindakan pemerintah terhadap rakyat itu hendaklah berdasarkan kepada pertimbangan maslahah (dan mafsadah).

Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi’e: Adalah tidak wajib untuk menuruti arahan pemimpin (al-hakim) yang tidak membawa kepada maslahah ‘ammah. Maka difahami secara mafhum mukhalafah, menurut arahan pemimpin yang mempunyai maslahah ‘ammah ialah wajib. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 3/71)

Semoga penjelasan yang diberikan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan dalam kerangka syariat Islam yang sebenar. Amin.

Wallahu a’lam.