IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-60 : KEADAAN YANG MEMERLUKAN ORANG AWAM ‘BERIJTIHAD’

IUF 60

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Definisi ijtihad

Dari sudut bahasa, ijtihad bermaksud curahan usaha dan dalam melakukan suatu perkara. Manakala dari sudut istilah syara’, ijtihad bermaksud curahan usaha dan tenaga yang bersungguh-sungguh oleh seorang mujtahid untuk mengistinbatkan hukum syar’ie. (Rujuk Al-Luma’ fi Usul al-Fiqh oleh Imam al-Syirazi 1/72 dan Al-Wajiz fi Usul al- Fiqh oleh Dr Abdul Karim Zaidan, hlm. 375)

Maka difahami daripada kedua-dua definisi ini, ijtihad dalam erti kata yang am merujuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh dalam melakukan suatu perkara, dan ia meliputi setiap orang tanpa dikhususkan kepada mana-mana golongan tertentu. Manakala dari sudut istilah syara’ pula ia merujuk kepada usaha dalam mengistinbatkan hukum syarak yang hanya dikhususkan kepada ulama mujtahid, yang perlu memenuhi syarat-syarat yang ketat sebelum layak untuk berijtihad.

 

Keadaan yang memerlukan orang awam berijtihad

Terdapat satu qaedah fiqhiyyah yang masyhur yang berbunyi:

الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد

Maksudnya: Suatu ijtihad itu tidak terbatal dengan ijtihad yang lain.

Menurut Syeikh Muhammad Sidqi al-Borno, istilah ijtihad dalam qaedah ini bukan merujuk kepada definisi khusus iaitu ijtihad dalam mengistinbatkan hukum fiqh daripada dalil syarak, tapi ia merujuk kepada tiga perkara, salah satunya ialah al-taharriy (التحري), iaitu usaha untuk menentukan ketepatan dan kebenaran dalam suatu perkara. (Rujuk Al-Wajiz fi Idhah Qawa’id al-Fiqh al-Kulliyyah hlm. 385-386)

Menurut Imam Jalaluddin al-Suyuti, antara contoh aplikasi bagi qaedah ini ialah ialah jika seseorang itu solat setelah dia berusaha (berijtihad) dalam menentukan arah kiblat berdasarkan ilmu, zhan dan petunjuk, kemudian ternyata ijtihadnya tentang kiblat itu berubah, dia tidak perlu qadha solat tersebut. Bahkan jika seseorang itu solat dengan qiblat yang berbeza bagi setiap rakaat kerana berubahnya ijtihad, maka solat itu tetap sah dan dia tidak perlu mengqadhanya.

Selain itu disebut juga suatu keadaan di mana seseorang itu mempunyai dua bekas air, salah satunya diyakini suci dan salah satunya tidak suci berdasarkan ijtihadnya. Kemudian ijtihadnya berubah dan diyakini pula bekas kedua adalah suci, maka dalam hal ini kedua-dua bekas itu tidak boleh digunakan, dan dia hendaklah membuang kedua-dua bekas air tersebut lalu bertayammum (kerana tidak boleh tayammum dengan adanya air) kerana ijtihadnya yang kedua tidak boleh membatalkan ijtihad pertama. (Rujuk Al-Asybah wa Al-Nazha’ir, hlm. 101-102; Al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Imam al-Zarkasyi 1/95 dan Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah Qism al-‘Ibadat, hlm. 73)

Selain itu, Syeikh Said bin Muhammad al-Kamali pula menyebut:

أنه لا يخلو أحد من اجتهاد، فالمقلد له حظ منه حيث اختار لنفسه من يفتيه

Maksudnya: Sesungguhnya tiada seorangpun yang terlepas daripada kewajipan berijtihad, bagi seorang muqallid itu ada bahagiannya daripada ijtihad, tatkala dia memilih untuk dirinya mufti yang berfatwa kepadanya. (Rujuk Janyu al-Thamarat min Nazm al-Waraqat, hlm. 214)

Dalam hal ini, seseorang itu perlu berusaha untuk mencari mufti, guru atau ilmuan yang untuk meminta suatu fatwa berkenaan hukum, dan berusaha juga mencari dan memilih guru yang mursyid dalam menimba ilmu.

Kesemua keadaan di atas meliputi semua golongan, sama ada mujtahid atau orang awam, alim ataupun tidak yang memerlukan mereka berijtihad (taharriy) dalam menentukan ketepatan dalam suatu perkara.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa terdapatnya beberapa keadaan tertentu yang memerlukan setiap orang, sama ada mujtahid atau orang awam untuk berijtihad dalam erti kata mencari dan menentukan ketepatan dalam suatu perkara. Antara contoh ijtihad tersebut ialah dalam penentuan kiblat untuk solat, penentuan bekas air yang suci untuk berwudhu, pemilihan pakaian yang suci untuk solat serta mencari mufti untuk meminta fatwa dan perkhabaran hukum.

Adapun ijtihad dalam erti kata curahan usaha dan tenaga yang bersungguh-sungguh untuk mengistinbatkan hukum syar’ie, maka ia tetap dikhususkan kepada para mujtahid dan ulama yang berkelayakan sahaja.

Wallahu a’lam.