-
TINTA MUFTI BIL. 3/2020: BERSAMA MEMBANGUN NEGARA
Tinta Mufti Bil. 3/2020: Bersama Membangun Negara adalah sepert...
-
-
Amalan di Hari Raya
Amalan di Hari Raya (Bukan Semasa PKP) -
Menghidupkan 10 Malam Terakhir Ramadan
Menghidupkan 10 Malam Terakhir Ramadan -
Kewajipan Menggantikan Puasa
Kewajipan Berpuasa Dan Menggantikan Puasa
- 1
- 2
-
Home
Qalam Mufti #5 : Pemimpin dan Kepimpinan Yang Baik
- Details
- Uploaded by Abdulrahman

Alhamdulillah, pada Qalam Mufti kali ini pasca Pilihanraya ke-14, masih lagi diperkatakan oleh media massa dan masyarakat. Pelbagai isu baharu timbul yang menyebabkan minat masyarakat terhadap politik dan sistem pemerintahan negara diberi kecaknaan dan kepedulian dengan lebih meluas. Kami melihat isu seperti ini boleh memberi kesegaran minda dan keterbukaan idea tetapi harapan kami biarlah ia penuh dengan adab dan tatasusila ketika menegur dan mengkritik bak kata pepatah “seperti menarik rambut dalam tepung.” Semoga budaya ini dapat dikekalkan tanpa emosi amarah yang menguasai seseorang itu.
Dalam ruangan Qalam Mufti kali ini, kami terpanggil untuk menulis tajuk Pemimpin dan Kepimpinan yang Baik. Ini kerana kita sering kali mendengar kebaikan seorang pemimpin itu. Tetapi tidak semestinya pemimpin yang baik mampu membina kepimpinan yang mantap lagi baik.
Baiknya pemimpin boleh jadi terhad kepada peribadinya sahaja tetapi dalam urus tadbir dan pelaksanaan tugas dengan cekap, mantap dan efisien secara profesional bukan semua yang mampu melaksanakan. Justeru sedikit coretan kami secara bersantai untuk sama-sama kita renung dan kita masukkan dalam jiwa kita, bukan semata-mata sebagai pemimpin yang baik tetapi juga mempunyai kepimpinan yang baik dan cemerlang.
Tiga ciri utama dalam kepemimpinan Rasulullah SAW di Kota Suci Madinah ialah mempunyai wawasan, misi dan visi yang jelas, mempunyai nilai serta akhlak yang unggul dan mempunyai daya ketahanan yang kental. Antara cirinya ialah:
- Mereka memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan bagi mencari alternatif serta mampu memperjelas atau memperhalusi sesuatu yang abstrak kepada yang nyata.
- Mereka memupuk nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai integriti dalam diri.
- Mereka mempunyai daya kekuatan hingga mampu menggerakkan semangat orang lain serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental.
Kami nukilkan di sini daripada buku Pemimpin yang Adil: Rahmat untuk Rakyat yang mengisahkan mauqif (pendirian atau prinsip yang dijunjung) oleh Umar bin Abdul Aziz antaranya:
- Menegakkan Keadilan
Hal ini amat jelas dalam pemerintahannya kerana beliau mewarisi sifat tersebut daripada datuknya, Umar Ibn al-Khattab RA. Beliau telah menempa pada matawangnya dengan perkataan “اَمَرَ الله بِالْوَفَاءِ وَالْعَدْلِ” yang bermaksud: “Allah SWT perintahkan dengan bersifat amanah dan berlaku adil.”
Umar Ibn Abdul Aziz pernah menulis surat kepada gabenornya yang bernama al-Jarrah bin Abdullah al-Hakami yang menjadi gabenor di Khurasan dengan berkata: “Hai Ibn Ummi Jarrah, janganlah kamu memukul orang-orang beriman dan kafir mu’ahad (membuat perjanjian dengan orang Islam) dengan menggunakan tongkat atau rotan kecuali pada kebenaran. Awasilah kamu daripada melaksanakan qisas kerana ianya membawa kepada banyaknya khianat dan perkara yang tersembunyi. Baca semua surat dan jangan disembunyikan atau diabaikan kecil atau besar urusan kecuali hendaklah dihitungkannya.”
- Memelihara daripada Pembohongan
Ketegasan Umar bin Abdul Aziz ialah beliau pernah berkata kepada Maimun bin Mihran, antara lain kenyataan seorang berkata: “Aku tidak dapati saksi yang dusta kecuali aku potong lidahnya.” Umar bin Abdul Aziz tidak menyukai perkataan ini kerana berkemungkinan seseorang itu tidak melakukan perbuatan tersebut dan hal ini akan terjerumus kepada pembohongan.
- Menolak daripada Menerima Hadiah
Beliau dengan tegas tidak menerima sebarang bentuk hadiah sekalipun dikatakan Rasulullah SAW menerima hadiah dengan berhujah: “Tetapi bagi kami dan orang selepas kami dianggap sebagai rasuah.” Begitu juga beliau membatalkan pemberian hadiah kepada semua gabenor yang kebiasaannya menerima hadiah tersebut pada setiap kali perayaan Nairuz dan Mahrajan.
- Melarang Pembaziran
Antara tindakannya yang pertama ketika dilantik menjadi khalifah ialah beliau tidak menaiki binatang atau kenderaan yang khusus kepada Khalifah, tetapi mencari baghalnya dan berkata kepada pembantu setianya: “Hai Muzahim, ambillah kenderaan ini dan serahkan kepada Baitulmal.” Begitu juga dengan tempat duduk yang penuh dengan kemewahan dan kerusi yang empuk digantikan dengan tikar.
- Menegah Gabenor dan Pegawai Kerajaan daripada Terlibat dengan Aktiviti Perniagaan
Beliau menghantar surat kepada gabenornya dengan menegaskan bahawa pemimpin, gabenor atau pegawai kerajaan tidak boleh sama sekali melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Ini kerana aktiviti tersebut akan menyebabkan mereka sibuk dengan perniagaan dan akan berlakunya pilih kasih serta mendapat habuan daripada sumber yang kurang elok.
Beliau mengangap hal ini sebagai suatu tindakan yang paling besar dan jika dibiarkan akan boleh membawa kepada rosaknya pentadbiran dan pelbagai implikasi yang malang akan timbul. Hal ini diakui oleh Ibn Khaldun selepas lapan kurun melalui kenyataan yang benar dan hikmah yang tinggi nilainya, iaitu:
إِنَّ التِّجَارَةَ مِنَ السُّلْطَانِ مَضَرَّةٌ بِالرَّعَايَا ، مَعْسَرَةٌ لِلْجَبَايَة
Maksudnya: “Sesungguhnya perniagaan daripada pemerintah boleh membawa mudarat terhadap rakyat dan menyukarkan berkenaan dengan hasil atau percukaian.”
- Membuka talian perhubungan secara langsung antara gabenor dan rakyat
Hal ini jelas menunjukkan betapa prihatinnya Umar bin Abdul Aziz sehingga rakyat merasa terbela dan mudah untuk mengadu segala kelemahan dan kecurangan pemimipin. Beliau juga mengarahkan semua pemimpin dan gabenor supaya mendapat maklumat dan menerima sebarang bentuk aduan daripada rakyat jelata. Inilah dasar Islam yang sebenarnya.
- Mengadakan audit dan muhasabah terhadap gabenor dan mahu supaya kewangan gabenornya disemak
Hal ini supaya tidak berlaku pengambilan wang secara haram yang menjadi hak orang Islam, bahkan beliau pernah mengarahkan supaya menangkap seorang gabenor Khurasan yang bernama Yazid bin Muhallab kerana melakukan penipuan.
Benarlah ungkapan yang bahawa amanah kepimpinan ini sebagai taklif bukan tasyrif.
Dalam memacu kepimpinan yang unggul, perlu wujudnya latihan dan tamrin tarbawi kepada generasi muda untuk menjadi pemimpin unggul pada masa akan datang. Kita perlulah melatih mereka supaya mempunyai nilai dan ciri kepemimpinan yang mampu mengurus diri serta mempengaruhi orang lain di sekelilingnya.
Di samping itu, hendaklah didedahkan kepada mereka sirah Rasulullah SAW supaya menerapkan dalam diri sifat bertanggungjawab, amanah, seperti ditunjukkan oleh Baginda SAW untuk menjadi pemimpin hebat lagi cemerlang di masa depan.
Ramai juga tokoh pemimpin yang unggul dalam kepimpinannya sehingga memahat sejarah sampai sekarang. Antaranya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar, Khalifah Usman dan Khalifah Ali yang digelar sebagai Khulafa’ al-Rasyidin. Begitu juga Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad al-Fateh dan ramai lagi.
Semoga sedikit coretan ini memberi kesedaran kepada kita semua termasuk saya yang amat dhoif ini dengan sama-sama sentiasa membaiki dan mengislahkan diri ke arah yang lebih baik. Benarlah firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Surah al-Ra’d: 13)
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
12 Ramadan 1439 H bersamaan 28 Mei 2018.
Qalam Mufti #4 : Tentang Barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) Yang Baru Dilantik
- Details

Alhamdulillah, pada hari ini tatkala sedang bersantai di kediaman, sempatlah kami melihat perkembangan negara mutakhir ini. Antara yang menarik minat kami ialah berkenaan dengan pembentukan kabinet baharu di Malaysia.
Selepas keluarnya nama-nama barisan kabinet Pakatan Harapan (PH) yang dilantik, maka ada yang bersetuju dan ada yang tidak dengan pelbagai hujah dan alasan. Lantikan tersebut telah dibincang dengan panjang lebar oleh parti-parti yang terlibat dengan mengemukakan calon yang terbaik yang mereka miliki. Berdasarkan pengamatan umum kami, setiap calon mempunyai banyak kelebihan tanpa dinafikan sifat basyari ada kelemahan masing-masing.
Tetapi sekurang-kurangnya memberi sokongan dan dokongan agar pelaksanaan amanah kepimpinan yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan seterbaik mungkin. Melihat kepada wawancara, hasrat dan matlamat yang mengandungi misi dan visi setiap yang dilantik untuk menerajui kementerian utama di Malaysia ini, maka alangkah baiknya kita memberi peluang kepada mereka untuk mentadbir dengan baik.
Justeru pesanan kami, hayatilah ayat akhir daripada surah al-‘Asr iaitu:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “…dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah al-Asr: 3)
Dasar saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: “Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya.”
Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah” (Rujuk Tafsir al-Tabari, 24/590)
Allah SWT berfirman:
إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “…Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”
(Surah al-Baqarah: 153)
Sayyid Qutb berkata dari kata-kata saling berpesan itu, nampaklah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Islam mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Rujuk Tafsir Fi Zilalil Quran, 17/521 )
Kesimpulannya, seluruh manusia ini berada dalam kerugian kecuali mereka yang memiliki empat sifat berikut iaitu beriman, mengerjakan amal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran. Setelah itu, mereka mengamalkan kebaikan itu dan menyerukan agar ia diamalkan. Mereka tidak menguzurkan diri untuk meneruskan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan meskipun terpaksa menghadapi kesulitan dan bala bencana. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 15/7698)
Saya yakin dengan kepandaian ilmu dan hikmah mereka serta barisan pembantu yang baik lagi pintar, maka kabinet yang dilantik akan dapat membina dan memajukan negara ini dengan cemerlang.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan.
3 Ramadhan 1439 H bersamaan 19 Mei 2018 M
Qalam Mufti #3: Surat Terbuka kepada Pemimpin Politik dan Masyarakat
- Details
- Uploaded by Mohamad Razif

Mukadimah
Mutakhir ini, telah sampai ke meja kami pelbagai pertanyaan melalui media baru isu-isu berkaitan politik. Ini termasuklah berkenaan beberapa kenyataan daripada tokoh-tokoh politik. Tidak perlu kami nyatakan siapa dan apa yang dinyatakan. Cukuplah ianya dapat difahami dan menjadi nasihat buat semua pemimpin politik dan anggota masyarakat.
Kehangatan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) yang makin terasa ini jelas bahangnya di media sosial apabila penyokong kem masing-masing tidak henti-henti berbalas idea dan hujah sehinggalah terbawa-bawa kepada fitnah dan buruk sangka. Bahang PRU 14 juga sedikit mencuit emosi beberapa pemimpin politik dari media sosial hingga ke Parlimen. Dari kedai kopi hingga ke pentas ceramah, pelbagai bentuk nada hujahan boleh kita amati. Sayangnya, dari kritikan membina kepada kem lawan, sudah ada yang sampai mengeluarkan kata-kata nista dan keras yang sedikit pun tidak melambangkan akhlak seorang Muslim.
Ada yang bertanya kepada kami, “Tidak adakah surat terbuka kepada pemimpin politik? Takkan hanya artis?” Kami beranggapan mungkin penyoal tidak tahu yang sekitar 4 tahun lepas, kami pernah mengeluarkan sebuah buku berjudul Pemimpin Yang Adil: Rahmat Kepada Rakyat. Boleh rujuk di Wikipedia kami [https://ms.wikipedia.org/wiki/Zulkifli_Mohamad_Al-Bakri]. Sebagai pelengkap kepada buku berkenaan, kami merasa amat perlu untuk mengemukakan surat terbuka kepada para pemimpin politik, pimpinan parti begitu juga kepada masyarakat umum. Tujuannya semata-mata untuk sama-sama kita muhasabah kembali sikap dan tindakan kita agar ia benar-benar selari dengan nilai agama dan insani sehingga apa yang kita hasratkan benar-benar bersih dan tepat dari sebarang bentuk tindakan yang menyeleweng.
Nasihat ini adalah tulus daripada hati kepada seluruh pemimpin politik dan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.
Nasihat Kami
Wahai pemimpin politik dan masyarakat,
- Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang Muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya. Betapa pentingnya persoalan kepemimpinan ini sehingga Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ
Maksudnya: “Jika ada tiga orang dalam permusafiran, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpin.”
(Riwayat Abu Daud, no. 2609)
- Dalam sistem demokrasi, hak bersuara adalah dibenarkan akan tetapi akhlak dan adab perlulah dijunjung. Mengakhlakkan diri dengan peribadi yang unggul lagi luhur adalah satu perjuangan yang amat tinggi nilainya. Apakan tidak, kerana kepimpinan menjadi contoh dan suri teladan terbaik kepada anak buah masing-masing sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun:
الناس على دين ملوكهم
Maksudnya: “Orang ramai mengikut agama pemimpin-pemimpin mereka.”
Mengikut bidalan ini, ia adalah menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah barang tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dan orang bawahannya.
Ketahuilah, kalian begitu juga diri ini akan dipersoalkan tanggungjawab ini di Akhirat kelak. Maka,
- Berkatalah yang baik-baik. Firman Allah SWT:
وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
Maksudnya: “…katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..”
(Surah al-Baqarah: 83)
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim berkata: “Maksudnya ucapkanlah kepada mereka dengan ucapan yang baik dan sikap yang lembut. Termasuk dalam hal itu adalah amar makruf dan nahi munkar (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran). Sebagaimana dikatakan oleh Imam al-Hasan al-Basri mengenai firman-Nya ini: “Termasuk ucapan yang baik adalah menyuruh berbuat baik dan mencegah perbuatan munkar, bersabar, suka memberi maaf, serta berkata kepada manusia dengan ucapan yang baik, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT tadi. Iaitu setiap akhlak baik yang diredai oleh Allah SWT.”
- Cakap hanya yang benar dan baik. Jika tidak, lebih baik diam. Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6475 dan Muslim, no. 47)
Umar al-Khattab R.A berkata: “Siapa yang banyak kalamnya, maka banyak tergelincir dalam tutur katanya. Dan siapa yang banyak ketergelincirannya, maka banyaklah dosa. Dan siapa yang banyak dosanya neraka lebih utama baginya.”
Zaman kini, boleh jadi yang benar dan baik itu tidak “laris” di mata manusia dan dipandang remeh. Namun, ketahuilah bahawa Allah sentiasa bersama mereka yang baik dan membawa panji kebenaran.
Wahai pemimpin politik dan masyarakat Muslim,
- Jauhi daripada melabel-labelkan dan menggelar dengan gelaran yang tidak baik. Firman Allah SWT:
وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ
Maksudnya: “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk...”
(Surah al-Hujurat: 11)
Syeikh al-Maraghi menyatakan: Qatadah dan juga Ikrimah meriwayatkan daripada Abu Jubairah Ibn al-Dahhak yang berkata: Ayat ini turun mengenai Bani Salamah.” Ibn Jarir pula telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas dengan maksud: “Seorang lelaki telah melakukan amalan buruk kemudian dia bertaubat dan kembali kepada kebenaran. Maka Allah SWT telah melarang orang itu dicela dan perbuatannya yang telah lalu.”
Apa yang diucapkan oleh seseorang pemimpin, itulah yang menjadi ikutan kepada penyokong masing-masing. Jika baiklah ucapannya, maka baiklah yang dituturkan oleh penyokongnya. Jika sebaliknya, itulah yang menjadi ‘modal’ bagi penyokongnya untuk melemparkan kata-kata nista kepada lawan.
- Jauhi daripada menghina dan mencaci serta melaknat sesama sendiri. Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ
Maksudnya: “Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”
(Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no. 312; Al-Tirmizi, no. 1977)
Ingatlah, boleh jadi orang yang kita hina itu jauh lebih mulia dan baik daripada kita. Benarlah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;”
(Surah al-Hujurat: 11)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Ini kerana kadang-kadang orang yang dihina lebih baik di sisi Allah daripada orang yang menghina sebagaimana yang disebut di dalam hadis.”
Orang yang dicaci, dihina, difitnah dan dilaknat itu, belum tentu lebih hina daripada yang menyumpah seranah. Apatah lagi jika kedua-duanya masih berpayung di bawah kalimah syahadah yang sama.
Masyarakat telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anda, maka:
- Jauhilah daripada berbohong. Sabda Rasulullah SAW:
يُطْبَعُ الْمُؤْمِنُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ الْخِيَانَةَ وَالْكَذِبَ
Maksudnya: “Orang yang beriman boleh jadi melakukan pelbagai kesalahan kecuali sifat khianat dan dusta.”
Riwayat Imam Ahmad (22170), al-Baihaqi dalam
al-Sunan al-Kubra (21349) dan Syu’ab al-Iman (2809)
Ini kerana, kedua-dua sifat ini adalah amat hina di dalam Islam yang sewajarnya kita menjarakkan dan menjauhinya dalam kamus kehidupan kita. Jika yang disampaikan itu satu penipuan, ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Jika balasan-Nya ditangguhkan di dunia, ketahuilah bahawasanya tiada lagi penangguhan di alam sana. Mahkamah-Nya adalah yang seadil-adilnya dalam menjatuhkan hukuman.
- Elakkan percakapan atau ucapan yang boleh dipertikaikan atau membawa kesamaran. Ini kerana ia membuka ruang kepada ramai orang dan pihak sama ada mengiyakannya atau menentang. Ucapan seperti ini tidak akan menambah kebaikan bahkan boleh mengeruhkan suasana kehidupan. Ini berdasarkan satu kaedah
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah dan salahfaham, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Duhai jiwa yang bakal kembali kepada-Nya,
- Memelihara lidah antara yang penting dalam kehidupan ini. Masakan tidak, Rasulullah SAW bersabda kepada Muaz bin Jabal R.A:
أَلَا أُخْبِرُك بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ فقُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ ! فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْك هَذَا. قُلْت: يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْك أُمُّك وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟!"
Maksudnya: “Mahukah kamu kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara tersebut?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah” Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: “Kamu mesti menjaga ini!” Aku bertanya: “Wahai Nabi Allah! Adakah kita akan dibalas (dipersoalkan) dengan apa yang kita pertuturkan?” Baginda menjawab: “Celakalah kamu! Tidak ada yang menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas muka meraka – dalam riwayat yang lain disebutkan di atas hidung mereka – melainkan hasil tuaian ini adalah ada lidah mereka?”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2619)
Antara mutiara kata Salafussoleh adalah: Ibnu Mas’ud pernah bersumpah dengan nama Allah, lalu mengatakan, “Di muka bumi ini, tidak ada sesuatu yang lebih sesuai menerima lamanya penjara daripada lidah!”. Begitu juga diriwayatkan, bahawa Ibnu Mas’ud berkata, “Jauhilah fudhulul kalam (pembicaraan yang melebihi keperluan). Cukup bagi seseorang berbicara, menyampaikan sesuai keperluannya.”
- Jika perlu berdebat, maka berdebatlah dengan sebaik-baiknya. Allah SWT berfirman:
وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ
Maksudnya: “dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya,”
(Surah al-Nahl: 125)
Dalam perdebatan, nilai intelektual dan ketepatan maklumat serta hujah yang benar lagi sahih dengan dalil naqli dan mantiq aqli perlu dijunjung.
Ketika mengupaskan tentang iklim kehidupan intelektual di Andalusia, Prof. Dr. Wan Mohd Nor menulis: “Ramai di antara kita sentiasa berbangga dengan pencapaian agung umat Islam terdahulu, sama ada di Andalusia atau di tempat-tempat lain, tetapi tidak begitu ramai yang mahu meninjau secara ilmiah akan iklim dan faktor-faktor yang memungkinkan terlahirnya hasil yang sedemikian agung. Jika kita ingin membangunkan sesebuah masyarakat, bangsa dan tamadun yang agung, kita harus jugalah cuba memahami iklim dan mengenal pasti faktor-faktor tersebut, dan berusaha mencipta sebaik mungkin iklim dan faktor-faktor yang serupa, setelah mengambil kira perbezaan tempat dan zaman.” Hal yang sama juga kami nukilkan dalam buku Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur: Negara Sejahtera Rahmat Untuk Semua.
Setiap detik seorang wakil rakyat di Parlimen dan DUN, adalah satu amanah daripada-Nya, begitu juga harapan daripada rakyat yang mengundinya. Berdebatlah untuk manfaat rakyat dengan fakta dan hujah yang lengkap, persediaan yang rapi dan tidak mensia-siakan setiap peluang yang ada. Ini kerana, itulah antara yang akan dipersembahkan dihadapan-Nya nanti.
Inilah Pesanan
Akhir kalam, kami katakan marilah sama-sama kita menginsafi diri dengan merapatkan saf dan membina negara dengan akhlak yang mulia dan keperibadian yang unggul. Jika ini kita dapat pertahankan, negara kita akan tetap harmoni dan dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa. Bangsa apa pun kita dan agama apa pun kita, jika kita warga Malaysia dan tanah air kita adalah bumi bertuah ini, makanya menumpahkan kasih sayang dan taat setia kepada tanah watan adalah wajib untuk kita pertahankannya selama mana nyawa dikandung badan.
Kami nukilkan kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah daripada buku Sirah wa Manaqib 'Umar ibn 'Abdul 'Aziz karya Ibn Al-Jauzi, antara lain katanya: “Fiqh yang terbesar ialah bersifat dengan cukup dengan apa yang ada (qana’ah) dan menahan daripada menyakiti manusia.”
Dengan mengamati dua sifat tersebut iaitu qana’ah dan menahan daripada menyakiti hati manusia, sudah pasti ianya membawa kelebihan kepada seseorang dalam melayari bahtera kehidupan kerana kedua-duanya akan terselamat daripada sifat mazmumah dan disakiti oleh manusia. Marilah sama-sama kita menginsafi diri sebagai umat Islam dan juga rakyat Malaysia yang menjunjung nilai dan budi yang luhur sebagai jati diri kita untuk kekal gah di persada antarabangsa. Benarlah kata pujangga terkemuka, almarhum Ahmad Syauqi,
وإنِّما الأُمَمُ الأخلاقُ ما بَقِيَتْ *** فَإنْ هُمُ ذَهَبَتْ أَخلاقُهُمْ ؛ ذَهَبُوا
“Dan sesungguhnya semua umat kekal selama adanya akhlak. Apabila mereka hilang akhlak, maka lenyaplah umat tersebut.”
Inilah pesanan yang ingin kami sampaikan daripada hati kami yang tulus kepada para pemimpin politk dan seluruh lapisan masyarakat. Pemimpin politik tanpa mengira warna dan logo tetap adalah sahabat-sahabat yang amat kami kasihi. Atas dasar kasih sayang inilah, nasihat dan ingatan disampaikan sempena PRU-14 ini. Kami menyusun sepuluh jari memohon maaf jika bahasa yang dikemukakan terkasar dan tidak sesuai. Semoga Malaysia akan terus aman, damai dan sejahtera di bawah lembayung rahmat-Nya atas kepimpinan negara yang diredhai-Nya.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
QALAM MUFTI #3: MAHKAMAH SYARIAH SARAWAK BOLEH KENDALIKAN KES MURTAD
- Details
- Uploaded by Mohamad Razif

ALHAMDULILLAH…
- Kami memanjatkan pujian dan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah SWT atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Kuching, Sarawak semalam yang memihak kepada pihak-pihak responden daripada Jabatan Agama Islam Sarawak, Majlis Agama Islam Sarawak dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan bersejarah dalam semakan kehakiman yang menolak alasan peguam para perayu bahawa Mahkamah Syariah Sarawak tidak memiliki kuasa untuk mendengar kes permohonan murtad.
- Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dalam penghakimannya di Kuching hari ini berkata Seksyen 68 dan 69 dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 boleh diguna pakai untuk sesi perdengaran kes murtad di Sarawak. Keputusan yang merupakan keputusan sebulat suara bersama empat orang hakim lain iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha menetapkan bahawa permohonan untuk keluar agama Islam oleh empat orang perayu tersebut hanya boleh dimulakan di Mahkamah Syariah, dan bukan Mahkamah Tinggi Sivil. Keputusan ini bagi kami adalah amat penting bagi memperbaiki persepsi dan mengiktiraf kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia yang dianggap oleh sebahagian pihak sebagai lebih rendah daripada Mahkamah Sivil, sedangkan Perlembagaan Persekutuan telah menjamin bidang kuasa ekslusif Mahkamah Syariah yang dilaksanakan mengikut negeri.
- Dengan keputusan ini, kami berharap sebelum pihak-pihak perayu meneruskan hasrat mereka untuk keluar Islam, pihak berkuasa agama Islam dan pihak-pihak terbabit seperti institusi zakat segera mengambil langkah proaktif untuk memahami dan menyelesai masalah sebenar yang dihadapi oleh para perayu sama ada berbentuk pendidikan, psikologi, dan kebajikan. Ini kerana kami yakin sekiranya agama Islam dipersembahkan dengan tepat dan bijaksana, tiada seorang pun yang akan sewenang-wenangnya meninggalkan agama ini. Tanggungjawab ini juga perlu dipikul oleh alim ulama dan para pendakwah untuk memastikan imej Islam sebagai agama rahmah dan mawaddah berjaya direalisasikan pada pandangan orang bukan Islam.
- Sesungguhnya keputusan ini bukanlah satu 'kemenangan' tetapi satu ruang masa yang diberikan-Nya untuk kita lebih menekuni tadbir urus Islam yang diamalkan dan memperkasa usaha dakwah dan penerangan kepada masyarakat Muslim dan juga bukan Muslim.
- Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati netizen dan umat Islam khususnya untuk tidak bersikap provokatif dan emosional dalam mendepani isu ini. Zahirkan akhlak Muslim yang terpuji dan imej yang baik. Contohilah semangat muhibah dan kematangan masyarakat Sarawak yang cukup memelihara semangat perpaduan walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya.
- Kami juga ingin menguar-uarkan program Klinik Hukum dan Fatwa di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang sudah dilancarkan lebih setahun lepas. Kami bersedia mendengar permasalahan atau persoalan berkenaan Islam yang dihadapi oleh masyarakat awam samada Muslim mahupun bukan Muslim. Program diadakan pada setiap hari Jumaat di masjid-masjid seluruh Wilayah Persekutuan, juga pada hari bekerja bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan WP Putrajaya. Sehingga kini, ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada Muslim dan bukan Muslim. Kami berharap usaha ini diterima Allah SWT sebagai bentuk dakwah kami menyebarkan Islam dengan aman dan harmoni di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN : ISU DOBI KHAS KEPADA MUSLIM SAHAJA
- Details
- Uploaded by Umar Mukhtar Mohd Noor
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Berkenaan dengan isu yang tular dalam media sosial seminggu dua ini perihal kewujudan perkhidmatan dobi yang dikhaskan kepada pelanggan yang beragama Islam sahaja, kami memahami hasrat dan matlamat baik yang hendak disampaikan oleh pengusaha dobi berkenaan.
Namun, dalam konteks dan situasi kita di Malaysia yang hidup dengan berbilang bangsa atau masyarakat majmuk, sikap meraikan antara satu sama lain adalah penting dalam fiqh al-ta`ayusy. Bahkan dalam fiqh muamalat itu sendiri, asal suatu hukum itu adalah harus. Justeru, kami memandang tidak sewajarnya wujud bentuk diskriminasi bahkan diizinkan untuk sama menggunakannya. Ini menatijahkan perasaan yang tenang dalam masyarakat dan keharmonian yang hendak dicapai akan terhasil.
Allah SWT memerintahkan di dalam al-Qur’an al-Karim kepada umat Islam supaya melakukan kebaikan kepada orang yang tidak seagama dengan mereka. Yang tidak membawa kepada kehinaan atau peperangan dan juga bencana. Demikian itu, selaras dengan apa yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warganegara daripada semua agama dan juga semua warganegara yang bukan beragama Islam. Ini semua dibenarkan oleh firman Allah SWT:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
(Surah al-Mumtahanah : 8)
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Imam al-Tabari berkata: “Ini menunjukkan bahawa Allah SWT melarang kamu daripada memerangi orang yang tidak memerangi kamu disebabkan agama daripada setiap golongan, aliran dan agama. Dan hendaklah kita berbuat baik kepada mereka, menyambung silahturrahim dan berlaku adil kepada mereka.”
Adapun firman Allah SWT “إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ” bermaksud sesungguhnya Allah SWT kasih golongan yang insaf (adil). Orang yang insaf ini adalah orang yang memberi hak dan keadilan terhadap diri mereka. Mereka juga membuat kebajikan kepada orang yang berbuat kebajikan kepada mereka dan juga berbuat baik kepada sesiapa yang berbuat baik kepada mereka.
Berlaku baik adalah sifat yang tertinggi dalam bermuamalat (bergaul). Allah SWT telah di dalam bab bergaul dengan ibubapa. Nabi SAW telah menjelaskan di dalam sebuah hadith:
Daripada al-Nawwas bin Sim’an RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ
Maksudnya: “Berbuat kebajikan (baik) adalah sebaik-baik akhlak.”
Riwayat Muslim (2553)
Imam al-Qarafi menggambarkan atau memberi contoh berkaitan berbuat kebaikan dan kebajikan yang dilihat daripada ayat al-Qur’an di mana memerintahkan orang beragama Islam agar berlaku baik dan menghukum dengannya juga hubungan orang Islam dengan bukan Islam yang tidak memerangi mereka disebabkan agama dan tanah air. Maka beliau mengatakan:
“Perkataan yang lembut terbina daripada kelembutan dan rahmat (kasih sayang) bukannya terbina daripada ketakutan dan penghinaan.”
Rujuk al-Ta`ayusy Ma`a Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama` al-Muslim oleh Syeikh Munqidh bin Mahmud al-Saqqar
Sesungguhnya dalam menempuh kehidupan, sifat kesatuan perlu diutamakan mengikut dawabit dan prinsip Islam. Kami mencadangkan kepada para pembaca kenyataan kami ini untuk merujuk kepada beberapa artikel kami yang terdahulu yang telah menerangkan isu membersihkan pakaian dengan mesin basuh:
- Al-Kafi #311 : Menyucikan Pakaian Dengan Mesin Basuh (https://goo.gl/oQECdS)
- Al-Kafi #303 : Menggunakan Perkakas Dapur Orang Bukan Islam (https://goo.gl/uG667j)
- Al-Kafi #31 : Mengasingkan Pakaian Bernajis Ketika Membasuh (https://goo.gl/egsj17)
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-200 : Cara Menyucikan Telefon Bimbit Yang Ditimpa Najis (https://goo.gl/7S2UjC)
Semoga kenyataan ini mejadikan kita sentiasa berhemah dalam sebarang tindakan dan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah Taala:
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
(Surah al-Hujurat: 13)
Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.
Rujuk al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil (4/374).
Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan dan bukan hanya pada umat aqidah, sekalipun itu yang paling utama. Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.
Akhukum fillah,
S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan,
Selasa, 3 Oktober 2017M bersamaan 12 Muharram 1439H
Copyright © 2017 Mufti of Federal Territory Office
Best viewed using latest browser for Internet Explorer 10.0 and above,
Mozilla Firefox 3.0 and above & Google Chrome with resolution of 1280 x 800
- Updated Date : 12 June 2021.


















