AL-KAFI #666 : HUKUM MEMBERI SALAM BERLAINAN JANTINA

Soalan:

Salam. Saya nak tanya hukum berkenaan salam. Ada salam yang kita tak boleh jawab bila orang bujang bagi salam kat anak dara, niat nak ngorat, anak dara pun tidak payah jawab salamny takut fitnah. Bagaimana duda atau janda, atau lelaki yang sudah kahwin bagi salam kepada wanita yang sudah berkahwin? Kalau bagi salam kepada kumpulan wanita? Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Firman Allah Taala:

 

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً ۚ

Maksudnya: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.”

(Surah al-Nur: 61)

Firman Allah Taala:

 

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Nur: 86)

Hukum memberi salam asalnya ialah sunat yang sangat dituntut. Adapun menjawabnya adalah wajib. Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkadah. Berkata ashab mazhab kami, ia adalah sunat kifayah jika sekolompok jamaah lalu di hadapan seorang lelaki atau jamaah lain kemudian salah seorang daripada kelompok pertama memberikan salam maka terhasil hukum sunat. Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah.”

Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/493-494)

Berdasarkan soalan di atas, persoalan ditimbulkan berkenaan hukum lelaki dan wanita yang ajnabi (asing) memberi salam antara satu sama lain.  Perkara ini ada dibincangkan oleh para ulama. Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmu` (4/601-602):

 

“Hukum memberi salam kaum wanita dengan wanita lain adalah sama hukumnya antara lelaki dengan lelaki. Para ashab (ulama) mazhab kita mengatakan, jikalau seorang lelaki memberi salam ke atas seorang perempuan atau perempuan memberi salam kepada lelaki, sekiranya di antara mereka berdua terdapat hubungan mahram atau perkahwinan, atau hamba, maka hukumnya adalah sunat dan menjawabnya adalah wajib. Namun, sekiranya tiada hubungan tersebut, maka tidak wajib menjawabnya. Sekira wanita tersebut sudah tua renta, maka boleh kerana dia keluar daripada punca fitnah.

Berkata al-Mutawalli: “Jika seorang lelaki memberi salam kepada seorang pemudi yang asing tidak boleh baginya untuk menjawabnya. Kalau pemudi itu yang memberi salam, makruh bagi lelaki itu untuk menjawabnya.”

Sekiranya sekelompok wanita memberi salam kepada seorang lelaki atau sekelompok lelaki memberi salam kepada seorang wanita maka hukumnya adalah sunat jika tidak ditakuti bagi kelompok lelaki dan wanitu sebarang fitnah. Ini berdasarkan hadis Asma’ bin Yazid R.anha yang berkata:

 

مَرَّ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نِسْوَةٍ فَسَلَّمَ عَلَيْنَا

Maksudnya: “Nabi SAW berjalan berhampiran kami dan mengucapkan salam kepada kami.”

Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidhi. Kata al-Tirmidhi: “Hadisnya hasan”.

Begitu juga hadis Sahl bin Sa`d RA berkata:

كَانَتْ فِينَا امْرَأَةٌ وَفِي رِوَايَةٍ كَانَتْ لَنَا عَجُوزٌ تَأْخُذُ مِنْ أُصُولِ السَّلْقِ فتطرحه في القدر وتكركر حبات من شعير فَإِذَا صَلَّيْنَا الْجُمُعَةَ انْصَرَفْنَا نُسَلِّمُ عَلَيْهَا فَتُقَدِّمُهُ إلَيْنَا

Maksudnya: “Dalam kalangan kami ada seorang wanita tua yang selalu mencabut pokok Silq daripada akarnya lalu memasukkannya ke dalam periuk dan menambahkan serbuk barli ke dalamnya. Apabila kami selesai solat Jumaat, kami beredar dan memberi salam kepada wanita tersebut dan beliau memberi kami makanan yang dimasaknya.”

Riwayat al-Bukhari

Daripada Umm Hani’ R.Anha berkata:

أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْفَتْحِ وَهُوَ يَغْتَسِلُ وَفَاطِمَةُ تَسْتُرهُ فَسَلَّمْتُ

Maksudnya: “Aku berjumpa Rasulullah SAW pada hari Fath al-Makkah. Ketika itu Baginda sedang mandi dan Fatimah menghadanginya. Lalu aku memberi salam kepada Baginda.”

Riwayat Muslim

Hal ini juga dikuatkan dengan kenyataan Syeikh Zain al-Din al-Malibari dalam Fath al-Muin(ms. 274): “Adapun musytahah (wanita asing) yang tiada bersama dia wanita lain maka haram dia menjawab salam lelaki asing dan memulakan salam. Begitu juga makruh baginya untuk menjawab salam wanita itu dan haram bagi lelaki itu untuk memulakan salam.”

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum memberi salam antara lelaki dan wanita adalah diharuskan dengan syarat yang ditetapkan iaitu, aman daripada fitnah. Syarat ini pula diikat oleh para ulama dengan hubungan mahram.

Namun melihat konteks muamalat pada hari ini, kami cenderung kepada pendapat bahawa situasi aman daripada fitnah itu tidak hanya berlaku dalam hubungan mahram sahaja. Antara bentuk-bentuk memberi salam yang dibenarkan jua ialah apabila berkait dengan keperluan atau hajat yang tidak membawa kepada syahwat. Contohnya, anak murid perempuan memberi salam kepada guru lelaki, ketika di pasar, pekerja di kaunter, meminta fatwa daripada seorang alim dan lain-lain.

Justeru, bagi soalan yang diajukan, adalah menjadi hak saudari yang bertanya untuk tidak menjawab salam tersebut khususnya jika dibimbangi fitnah dan gangguan daripada individu terbabit. Semoga Allah SWT memberikan keselamatan dan kebaikan kepada kita semua. Amin.