AL-KAFI #773 : PERSOALAN BERKENAAN TALAK KINAYAH

Soalan :

Assalamualaikum ustaz mohon bantuan untuk menyelesaikan kemusykilan yang saya hadapi.baru-baru  ini ada pergaduhan antara saya dan suami.Suami ada menyebut” kita buat haluan masing-masing selepas kamu melahirkan anak ini " dan saya ada beritahu suami “apa maksudnya itu?. Abang jangan main-main jatuh talak nanti.Suami kemudiannya menjawab " Kalau jatuh Alhamdulillah ". Mohon bantuan menyelesaikan kekusutan yang saya hadapi. Saya sedang hamil 5 bulan.

Jawapan :

Waalaikumussalam.Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua.Iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak.

Rujuk al-Fiqh al-Minhaji (4/123)

Dalam persoalan yang Puan kemukakan, lafaz yang disebutkan oleh suami puan bukannya lafaz yang jelas. Ianya dikategorikan sebagai lafaz kinayah. Berkemungkinan jatuh atau tidak adalah bergantung kepada niat si suami.

Ini adalah berdasarkan apa yang berlaku Kaab bin Malik ketika mana beliau tidak menyertai perang Tabuk. Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk menjauhi isterinya. Lalu Ka’ab berkata :

أُطَلِّقُهَا أَمْ مَاذَا أَفْعَلُ

Maksudnya :” Adakah perlu aku menceraikannya atau bagaimana patut aku lakukan?”

Rasulullah saw menjawab :

لَا بَلْ اعْتَزِلْهَا وَلَا تَقْرَبْهَا

Maksudnya :” Tidak perlu sampai begitu, hanya jauhi dia dan jangan dekatinya.”

Lalu Ka’ab mengkhabarkan perkara tersebut kepada sahabatnya yang tidak pergi ke perang Tabuk bersama beliau. Kemudian beliau (Ka’ab) berkata kepada isterinya :

الْحَقِي بِأَهْلِكِ

Maksudnya :”Pergilah ke ahli keluarga engkau.”

Apabila Allah menerima taubatnya, beliau kembali ke isterinya. Tidak pula beliau diperintahkan untuk berakad dengan akad yang baru.

Riwayat al-Bukhari (4419)

Perkataan “Pergilah ke ahli keluarga engkau” menunjukkan bahawa talak tidak akan  jatuh menggunakan lafaz kinayah melainkan dengan niat.

Akan tetapi, kami berpandangan untuk ke merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah  satu usaha untuk membuktikan adakah si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak.

Semoga Allah menunjukkan jalan yang terbaik bagi Puan. Wallahu’alam.