IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-86: HADITH KELEBIHAN SOLAT SUNAT TARAWIH SETIAP MALAM

 

Soalan:

Apakah status hadith kelebihan solat sunat tarawih setiap malam?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kita dituntut untuk melaksanakan solat sunat Tarawih yang tidak ada dalam bulan-nulan yang lain secara berjemaah atau bersendirian. Hukum solat sunat tarawih adalah sunnah muakkad (sunat yang dituntut). Disebabkan itu, kita sering mendengar akan hadith-hadith berkaitan kelebihan solat sunat tarawih. Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cube menerangkan berkaitan status hadith ini.

 

Matan Hadith

Hadith berkaitan kelebihan solat tarawih setiap malam ini diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA:

 

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ditanya akan kelebihan solat tarawih dalam bulan Ramadhan, lalu dikatakan baginda SAW bersabda:

 

Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

 

Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

 

 

Para malaikat di bawah Arash menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

 

Orang-orang yang mengerjakan solat tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.

 

Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram, Masjid al-Madinah dan Masjid al-Aqsa.

 

Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Bait al-Ma’mur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih  pada malam itu.

 

Seolah-olah dia dapat bertemu dengan Nabi Musa AS serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

 

Allah SWT mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim AS.

 

Allah SWT akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.

 

Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

Dia meninggal dunia dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

 

Dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya seperti bulan.

 

Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang kejahatan dan keburukan.

 

Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat tarawih serta Allah SWT tidak akan menghisab mereka.

 

Semua malaikat yang memikul Arash dan Kursi akan berselawat serta mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

 

Allah SWT menuliskan baginya dalam kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

 

Allah SWT menuliskan baginya pahala pada malam ini seperti pahala Nabi-Nabi.

 

Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah! sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

 

Allah SWT akan meninggikan darjatnya.

 

Allah SWT mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

 

Allah SWT akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat daripada cahaya.

 

Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang dukacita dan kesedihan pada hari tersebut.

 

Allah SWT akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga.

 

Allah SWT akan memberinya dua puluh empat permintaan yang mustajab.

 

Allah SWT akan mengangkat seksa kubur daripadanya.

 

Allah SWT akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat tarawih pada malam tersebut.

 

Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

 

Allah SWT akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di syurga.

 

Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

 

Allah SWT akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam air yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama al-Kauthar.

 

Aku Tuhanmu dan engkau adalah hambaku”.

 

Sumber Hadith

Hadith ini terdapat di dalam kitab Durrah al-Nasihin pada halaman ke 19.

 

Hukum Hadith

Hadith ini adalah paslu lagi dusta di atas nama Nabi SAW dan juga sahabat baginda SAW iaitu Ali bin Thalib. Di samping itu, haram bagi kita menyebarkannya kepada orang lain. Ini kerana, telah jelas tanda-tanda atau ciri-ciri kepalsuan hadith tersebut seperti yang telah digariskan oleh para ulama’. Antara ciri-ciri hadith paslu adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Qayyim di dalam karyanya:

 

“Hadith palsu itu antara cirinya ialah padanya terdapat unsur berlebih-lebihan dalam menetapkan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah”. [Lihat: al-Manar al-Munif, 51]

 

Berdasarkan pernyataan Ibn Qayyim ini, kita dapat melihat di dalam hadith ini bahawa ganjaran yang ditetapkan bagi sesiapa yang melaksanakan solat tarawih padanya ciri tersebut iaitu berlebihan dalam penetapan ganjaran bagi amalan tersebut. Selain itu juga, hadith ini dikatakan bercampur dengan hadith-hadith yang lain.

 

Penutup

Kesimpulannya, hendaklah kita mengenalpasti akan kesahihan sesebuah hadith sebelum ia disebarkan kepada orang lain. Ini kerana, ancaman Nabi SAW terhadap orang yang berdusta di atas nama baginda SAW adalah amat berat iaitu neraka. Untuk menceritakan akan kelebihan kita berqiyam di malam Ramadhan, di sana terdapat sebuah hadith yang sahih sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RA di dalam kitabnya:

 

 

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ ، إيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan karena keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 36]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melakukan amal dan ibadah kepada-Nya serta memelihara kita daripada melakukan pendustaan di atas nama Rasulullah SAW. Amin.