IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 552 : HADIS 'SESIAPA YANG MENGISLAMKAN SESEORANG, WAJIB BAGINYA MENDAPAT SYURGA'

ih551

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Apa khabar? Ustaz saya ada terbaca seorang ‘Da’i‘ yang tulis sebuah hadis di media sosial. Dia tulis Nabi SAW bersabda sesiapa yang mengislamkan seseorang, wajib syurga baginya. Apa pandangan ustaz tentang hadis ini? Mohon penjelasan ustaz.

Ringkasan jawapan:

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis, antaranya al-Mu’jam al-Ṣaghīr, al-Mu’jam al-Awṣaṭ dan al-Mu’jam al-Kabīr oleh Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī (m. 360 H). Hadis ini turut dinukilkan oleh al-Shihāb al-Quḍā’ī (m. 454 H) di dalam kitab Musnad beliau. Al-Khaṭīb al-Baghdādī (m. 463 H) juga menukilkan hadis ini di dalam Tarikh Baghdād dengan sanad yang sama seperti yang dinukilkan oleh al-Ṭabarānī

Hadis ini terlalu lemah kerana jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah al-Nisāburī. Beliau adalah seorang perawi yang tidak thiqah dan periwayatan beliau sering ditinggalkan oleh ulama hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau digelar oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai pendusta. Namun begitu, jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah disokong oleh jalur riwayat Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair yang lebih sahih.

Dari sudut teks, terdapat hadis lebih sahih yang menyebutkan kelebihan orang yang mengislamkan seseorang antaranya hadis yang diriwayatkan di dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī.

Huraian jawapan:

Terdapat sebuah teks (matan) yang sama dengan persoalan yang dikemukakan. Teks hadis tersebut ialah:

‌مَنْ ‌أَسْلَمَ ‌عَلَى ‌يَدَيْهِ ‌رَجُلٌ ‌وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Sesiapa yang memeluk islam di tangannya (yakni melalui usahanya) seorang individu yang lain, wajib syurga baginya.”

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis, antaranya al-Mu’jam al-Ṣaghīr oleh Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī (m. 360 H).[1] Beliau menukilkan sanad seperti berikut:

حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ عَمْرٍو الْعُكْبَرِيُّ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُعَاوِيَةَ النَّيْسَابُورِيُّ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ أَبِي الْخَيْرِ مَرْثَدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْيَزَنِيِّ , عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهَنِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ

“Khalf bin ‘Amr al-‘Ukbarī telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Muhammad bin Mu‘āwiyah al-Nisabūrī telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: al-Laith bin Sa’ad telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Yazīd bin Abī Habīb daripada Abu al-Khayr Marthad bin Abd Allah al-Yazanī daripada ‘Uqbah bin ‘Āmir al-Juhanī, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda…”

Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī turut meriwayatkan hadis ini di dalam al-Mu’jam al-Kabīr[2] dan al-Mu’jam al-Awṣaṭ[3] dengan sanad yang sama. Hadis ini turut dinukilkan oleh al-Shihāb al-Quḍā’ī (m. 454 H) di dalam kitab Musnad beliau. Beliau menukilkan sanad seperti berikut:

أَخْبَرَنَا أَبُو مُحَمَّدٍ التُّجِيبِيُّ، أبنا يَحْيَى بْنُ الرَّبِيعِ الْعَبْدِيُّ، ثنا عَبْدُ السَّلَامِ بْنُ مُحَمَّدٍ الْأُمَوِيُّ، ثنا سَعِيدُ بْنُ كَثِيرِ بْنِ عُفَيْرٍ، ثنا اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ أَبِي الْخَيْرِ , عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Abu Muhammad al-Tujaibī telah memberitahu kepada kami, beliau berkata: Yahyā bin al-Rabī’ al-‘Abdī, beliau berkata: Abd al-Salām bin Muhammad al-Amawī telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: al-Laith bin Sa’d telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada abu al-Khair daripada ‘Uqbah bin ‘Āmir, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda…”[4]

Al-Khaṭīb al-Baghdādī (m. 463 H) juga menukilkan hadis ini di dalam Tarikh Baghdād dengan sanad yang sama seperti yang dinukilkan oleh al-Ṭabarānī.[5] Jika dilihat sanad hadis tertumpu kepada al-Laith bin Sa’d dan terdapat dua orang perawi yang meriwayatkan daripada beliau iaitu Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair dan Muhammad  bin Mu’awiyah al-Naysaburī. Rajah berikut menjelaskan perkara ini.

 

ss 1                

Muhammad bin Mu’āwiyah Abu ‘Ali al-Nisāburī adalah seorang perawi yang tidak thiqah (dipercayai kredibilitinya) bahkan periwayatan beliau ditinggalkan oleh ulama hadis (matrūk al-hadīth). Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nasaiī (m. 303 H)[6]. Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan bahawa Muhammad bin Mu’awiyah adalah seorang pendusta[7] bahkan Imam Ahmad menyebut :

رأيت احاديثه أحاديث موضوعة

“Saya melihat hadis-hadis beliau adalah hadis-hadis yang palsu”[8]

Ibn Hatim juga turut mengkritik kredibiliti beliau dalam periwayatan hadis. Beliau menjelaskan bahawa Muhammad bin Mu’awiyah banyak meriwayatkan hadis yang tidak boleh dijadikan sokongan.[9]

Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair adalah seorang perawi yang thiqah. Hal ini dijelaskan oleh Ibn Hibban di dalam kitab al-Thiqāt.[10] Imam al-Nasaiī menyebut beliau adalah seorang yang Ṣaliḥ.[11]

Al-Laith bin Sa’ad adalah seorang tokoh terkenal di Mesir. Imam Ahmad menyebut bahawa beliau adalah seorang yang banyak meriwayatkan hadis dan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau ialah hadis yang sahih.[12] Yahyā bin Ma’in dan Ali bin al-Madīnī turut menilai beliau sebagai seorang perawi yang thiqah dan kuat hafalan.[13]

Yazīd bin Abī Ḥabīb ialah Yazid bin Suwaid, seorang ahli hadis yang berasal daripada Mesir. Abu Zur’ah mengatakan beliau seorang perawi yang thiqah.[14] Beliau banyak meriwayatkan hadis dan ketokohan beliau diiktiraf.[15]

Justeru hadis ini terlalu lemah kerana jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah al-Nisāburī. Beliau adalah seorang perawi yang tidak thiqah dan periwayatan beliau sering ditinggalkan oleh ulama hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau digelar oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai pendusta. Namun begitu, jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah disokong oleh jalur riwayat Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair yang lebih sahih.

Dari sudut teks, terdapat hadis lebih sahih yang menyebutkan kelebihan orang yang mengislamkan seseorang. Sahl bin Sa’ad meriwayatkan:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَوْمَ خَيْبَرَ: لَأُعْطِيَنَّ هَذِهِ الرَّايَةَ غَدًا رَجُلًا يَفْتَحُ اللهُ عَلَى يَدَيْهِ، يُحِبُّ اللهَ وَرَسُولَهُ وَيُحِبُّهُ اللهُ وَرَسُولُهُ. قَالَ: فَبَاتَ النَّاسُ يَدُوكُونَ لَيْلَتَهُمْ أَيُّهُمْ يُعْطَاهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ النَّاسُ غَدَوْا عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّهُمْ يَرْجُو أَنْ يُعْطَاهَا، فَقَالَ: أَيْنَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ فَقِيلَ: هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ، يَشْتَكِي عَيْنَيْهِ، قَالَ: فَأَرْسِلُوا إِلَيْهِ. فَأُتِيَ بِهِ فَبَصَقَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي عَيْنَيْهِ وَدَعَا لَهُ، فَبَرَأَ حَتَّى كَأَنْ لَمْ يَكُنْ بِهِ وَجَعٌ، فَأَعْطَاهُ الرَّايَةَ، فَقَالَ عَلِيٌّ: يَا رَسُولَ اللهِ، أُقَاتِلُهُمْ حَتَّى يَكُونُوا مِثْلَنَا؟ فَقَالَ: انْفُذْ عَلَى رِسْلِكَ حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحَتِهِمْ، ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ مِنْ حَقِّ اللهِ فِيهِ، فَوَاللهِ ‌لَأَنْ ‌يَهْدِيَ ‌اللهُ ‌بِكَ ‌رَجُلًا ‌وَاحِدًا، خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda pada hari peperangan Khaibar: Saya akan memberikan panji ini esok kepada seorang lelaki yang mana Allah memberikan kemenangan di tangannya, dia sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya begitu Allah dan Rasul-Nya sangat mencintainya. Sahl berkata: Para sahabat mula berselisih pandangan pada waktu malam siapakah antara mereka yang akan diberikan panji tersebut. Apabila tiba waktu pagi, kesemua sahabat pergi bertemu Rasulullah sambil berharap mereka akan diberikan panji itu. Kemudian Nabi SAW bersabda: Di manakah Ali bin Abi Ṭalib, ada yang? Lalu dikatakan kepada Nabi: Wahai Rasulullah, beliau mengadu sakit mata. Rasulullah SAW bersabda: Pergi panggil beliau. Lalu Ali dibawa menghadap Nabi kemudian Nabi ludah ke mata beliau sambil berdoa. Lantas mata Ali menjadi sembuh seakan-akan beliau tidak pernah sakit. Kemudian Nabi memberikan panji kepada Ali, beliau berkata: Wahai Rasulullah, adakah saya perangi mereka sehingga mereka jadi seperti kita? Baginda bersabda: Perlahan-lahan sehinga kamu tiba di kawasan mereka kemudian seru mereka dan jelaskan kewajipan dan hak Allah yang perlu ditunaikan. Demi Allah, seorang lelaki yang diberikan hidayah oleh Allah kerana kamu lebih baik daripada kamu memiliki unta merah.“[16]

Menurut Al-Mulā Ali al-Qarī hadis di atas merupakan satu pendekatan bagi memahami kelebihan mengajak orang lain memeluk islam. Nabi bersumpah dengan nama Allah sebagai satu penegasan bahawa sebelum berperang, perkara pertama ialah mengajak terlebih dahulu orang bukan Islam memeluk islam. Boleh jadi itu adalah sebab mereka tertarik untuk beriman. Mengajak seorang lelaki memeluk Islam lebih baik dari memerangi seribu orang kafir.[17]

Kesimpulannya, hadis ini terlalu lemah kerana jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah al-Nisāburī. Beliau adalah seorang perawi yang tidak thiqah dan periwayatan beliau sering ditinggalkan oleh ulama hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau digelar oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai pendusta. Namun begitu, jalur riwayat Muhammad bin Mu’awiyah disokong oleh jalur riwayat Sa’īd bin Kathīr bin ‘Ufair yang lebih sahih.

Dari sudut teks, terdapat hadis lebih sahih yang menyebutkan kelebihan orang yang mengislamkan seseorang antaranya hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari.

NOTA HUJUNG :

[1] No. 439, Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī, Sulaiman bin Ahmad (1985), al-Mu’jam al-Ṣaghīr, ed. Muhammad Shakur Mahmud al-Haj, Beirut: al-Maktab al-Islamī, Amman: Dar ‘Ammar, j.1 h.267.

[2] No. 786, , Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī, Sulaiman bin Ahmad (1994), al-Mujam al-Kabīr, ed. Hamdī bin Abd al-Majīd, Kaherah: Maktabah Ibn al-Taimīyah, j.17 h.285.

[3] No. 3546, Abu al-Qāsim al-Ṭabarānī, Sulaiman bin Ahmad (1995), al-Mu’jam al-Awṣaṭ, ed. Ṭāriq bin Iwaḍullah, Abd al-Muḥsin al-Husainī, Kaherah: Dar al-Haramain, j.4 h.36.

[4] Abu Abdullah, Muhammad bin Salāmah (1986), Musnad al-Shihāb, ed. Hamdī bin Abd al-Majīd, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.1 h.288.

[5] Abu Bakar, Ahmad bin ‘Ali (2002), Tarīkh Baghdād, ed. Dr Bashar ‘Awwad Ma’ruf, Beirut: Dar al-Gharb al-Islamī, j.4 h.439. أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَحْمَدَ بْنِ شَهْرَيَارَ الأَصْبَهَانِيُّ قَالَ: أَخْبَرَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ أَحْمَدَ الطَّبَرَانِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ عَمْرٍو الْعُكْبَرِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُعَاوِيَةَ النَّيْسَابُورِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا اللَّيْثُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ أَبِي الْخَيْرِ مَرْثَدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْيَزَنِيِّ عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهَنِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

[6] Abu Abd al-Raḥman, Ahmad bin Shu’aib, al-Ḍu’afā wa al-Matrukīn, ed. Mahmud Ibrahim Zayid, Aleppo: Dar al-Wa’ī, h.93. Beliau berkata: ‌مُحَمَّد ‌بن ‌مُعَاوِيَة ‌النَّيْسَابُورِي لَيْسَ بِثِقَة مَتْرُوك الحَدِيث

[7] Abu Ja’far, Muhammad bin ‘Amr (1984), al-Ḍu’afā al-Kabir, ed. Abd al-Mu‘ṭī Qal’ajī, Beirut: Dar al-Maktabah al-Ilmiyah, j.4 h.144. Al-Uqailī berkata : حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ يَعْقُوبَ قَالَ: سَمِعْتُ أَحْمَدَ بْنَ حَنْبَلٍ، وَسُئِلَ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ مُعَاوِيَةَ أَبِي عَلِيٍّ النَّيْسَابُورِيِّ، فَقَالَ: هُوَ كَذَّابٌ

[8] Ibn Abi Ḥātim, Abd al-Raḥman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dīl, Beirut: Dar Ihyā al-Turath al-Arabī, j.8 h.103.

[9] Ibid. Abu Hātīm menyebut : روى احاديث لم يتابع عليها، احاديث منكرة فتغير حاله عند اهل الحديث

[10] Ibn Hibban, Muhammad bin HIbban (1973), al-Thiqāt, ed. Muhammad Abd al-Mu’īd Khān, India: Dairah al-Ma’arif al-Uthmāniyah, j.8 h.266.

[11] Antara lafaz yang digunakan untuk menunjukkan kredibiliti beliau dalam periwayatan. Abu Abd al-Raḥman al-Sulamī, Muhammad bin al-Husain (2006), Suālāt al-Sulamī li al-Daruqutnī, ed. Sa’ad, bin Abdullah Humaid,Khalid bin Abd al-Raḥman al-Jarisī, Riyadh, h.186. al-Sulamī berkata: سمعتُ أبا عبدِالرحمنِ النَّسائيَّ يقولُ سَعيدُ بن عُفَيرٍ : صالحٌ

[12] Abu Muhammad, Abd al-Ghanī bin Abd al-Wāhid (2016), al-Kamāl fī Asmā al-Rijal, ed. Shadī bin Muhammad Āli Nu’mān, Kuwait: Sharikat Ghurās li al-Di’ayah wa al-‘Ilan wa al-Nashr wa al-Tauzī’, j.8 h.263. Abd al-Ghanī al-Maqdisī berkata: وقال أحمد بن حنبل: الليث كثير العلم صحيح الحديث ما في هؤلاء المصريين أكتب منه ما أصح حديثه

[13] Ibid. وقال يحيى بن معين: ثقة وقال ابن المديني: ثبت

[14] Ibid., j.9 h.267. Ibn Abi Ḥatim menukilkan: نا عبد الرحمن قال سئل أبو زرعة عن ‌يزيد ‌بن ‌أبي ‌حبيب فقال مصرى ثقة

[15] Ibid., j.9 h.387. Abd al-Ghanī al-Maqdisī menukilkan : وقال محمد بن سعد: هو مولًى لبني عامر بن لؤي من قُرَيش وكان ثقةً كثيرَ الحديث

[16] Riwayat al-Bukhari no. 3701, 4210, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2001), Ṣaḥīḥ al-Bukharī, Beirut: Dar Ṭuq al-Najah, j.5 h.18, 134.

[17] Nur al-Dīn, Ali bin Sultan Muhammad (2002), Mirqāh al-Mafātīh Syarh Mishkāh al-Maṣābīh, Beirut: Dar al-Fikr, j.9 h.3933. Beliau berkata : يُرَادُ بِهِ حُمْرُ الْإِبِلِ وَهِيَ أَعَزُّهَا وَأَنْفَسُهَا، وَيَضْرِبُونَ بِهَا الْمَثَلَ فِي نَفَاسَةِ الشَّيْءِ، وَإِنَّهُ لَيْسَ هُنَاكَ أَعْظَمُ مِنْهُ قَالَ النَّوَوِيُّ: تَشْبِيهُ أُمُورِ الْآخِرَةِ بِأَعْرَاضِ الدُّنْيَا إِنَّمَا هُوَ التَّقْرِيبُ لِلْأَفْهَامِ وَإِلَّا فَقَدْرٌ يَسِيرٌ مِنَ الْآخِرَةِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا بِأَسْرِهَا وَأَمْثَالِهَا مَعَهُ أَقُولُ: وَالظَّاهِرُ أَنَّ قَوْلَ: فَوَاللَّهِ. . إِلَخْ تَأْكِيدٌ لِمَا أَرْشَدَهُ مِنْ دُعَائِهِمْ إِلَى الْإِسْلَامِ أَوَّلًا، فَإِنَّهُ رُبَّمَا يَكُونُ سَبَبًا لِإِيمَانِهِمْ مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ إِلَى قِتَالِهِمُ الْمُتَفَرِّعِ عَلَيْهِ حُصُولُ الْغَنَائِمِ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ وَغَيْرِهَا، فَإِنَّ إِيجَادَ مُؤْمِنٍ وَاحِدٍ خَيْرٌ مِنْ إِعْدَامِ أَلْفِ كَافِرٍ