IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-177: KELEBIHAN SANAD YANG TINGGI

 

Soalan: Apakah kelebihan sanad yang tinggi?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Ilmu sanad merupakan salah satu ilmu atau tradisi ilmu yang diwarisi oleh umat Islam yang diambil daripada generasi terdahulu. Untuk itu, tradisi ini masih dijaga dan diamalkan sehingga ke masa kini. Selain itu, mencari sanad yang tinggi adalah merupakan sunnah bagi generasi salaf (yang terdahulu). Perkara ini diungkapkan sendiri oleh Imam Ahmad:

 

طَلَبُ الْإِسْنَادِ الْعَالِي سُنَّةٌ عَمَّنْ سَلَفَ

Maksudnya: “Mencari sanad yang tinggi merupakan sunnah orang terdahulu”. [Lihat: Muqaddimah Ibn Solah, 256]

 

Tambahan pula, antara bukti atau kesungguhan yang ditunjukkan oleh para ulama’ terdahulu dalam memelihara tradisi ilmu ini adalah dengan mengembara bagi mencari hadith. Di dalam ilmu hadith terdapat satu bab yang dinamakan “Rehlah Dalam Mencari Hadith”. Pada bab ini dinyatakan antara kisah-kisah menarik yang berlaku kepada generasi terdahulu dalam kesungguhan mereka mencari hadith atau memburu sanad yang tinggi. Perkara ini penting kerana ia boleh menjaga ketulenan atau kesahihan sesebuah hadith.

 

Kisah-Kisah Pengembaraan Para Ulama’ Dalam Mencari Hadith Atau Sanad

Antara kisah-kisah yang menunjukkan kesungguhan para ulama’ dalam mencari hadith atau sanad adalah:

 

 

إِنْ كُنَّا نَسْمَعُ الرِّوَايَةَ بِالْبَصْرَةِ عَنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ نَرْضَ، حَتَّى رَكِبْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ، فَسَمِعْنَاهَا مِنْ أَفْوَاهِهِمْ

Maksudnya: “Kami telah mendengar riwayat daripada sahabat-sahabat Nabi SAW di Basrah, maka kami tidak akan redha sehingga kami pergi ke Madinah untuk mendengar sendiri daripada mulut-mulut mereka (sahabat Nabi SAW)”. [Lihat: Sunan al-Darimi, 464/1]

 

 

إِنْ كُنْتُ لَأَسِيرُ اللَّيَالِيَ وَالْأَيَّامَ فِي طَلَبِ الْحَدِيثِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku akan berjalan bermalam-malam serta berhari-hari demi mencari sebuah hadith sahaja”. [Lihat: Jami’ Bayan al-Ilmi, 396/1]

 

 

أَقَمْتُ بِالْمَدِينَةِ مَا لِي بِهَا حَاجَةٌ إِلَّا رَجُلٌ عِنْدَهُ حَدِيثٌ وَاحِدٌ لِأَسْمَعَهُ مِنْهُ

Maksudnya: “Aku bermuqim di Madinah dengan tiada tujuan melainkan terdapat sorang lelaki yang mempunyai sebuah hadith sahaja dan aku ingin mendengarnya daripadanya”. [Lihat: al-Muhaddith al-Fasil, 223/1]

 

Rentetan daripada ini, maka berlakulah apa yang dinamakan sebagai mencari sanad yang tinggi. Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan adalah supaya sanad yang didapatinya itu lebih hampir kepada Nabi SAW dan terdapat keberkatan padanya. Selain itu juga, tradisi ini dapat menjaga hadith-hadith ini daripada diselewang atau diubah akan keasliannya. Untuk itu, tradisi dan ilmu sanad ini sangat penting dan ia perlu diteruskan dan dikembangkan sehingga ke hari ini.

 

Penutup

Kesimpulannya, mencari sanad yang tinggi merupakan tradisi ulama silam dan tradisi perlu dijaga kerana ia hanya terdapat dalam agama Islam sahaja. Ini kerana, ilmu sanad ini tidak dimiliki oleh agama-agama yang lain. Kami menutup perbahasan ini dengan kata-kata daripada Yahya bin Ma’in ketika beliau sakit dan wafat akibat daripada penyakit itu:

 

مَا تَشْتَهِي؟ قَالَ: بَيْتٌ خَالِي، وَإِسْنَادٌ عَالِي

Maksudnya: “Apa yang kamu harapkan (inginkan)?”. Beliau menjawab: “Rumah lapang (tidak banyak gangguan atau tidak mempunyai harta benda yang banyak) dan juga sanad yang tinggi” . [Lihat: Muqaddimah Ibn Solah, 256]

 

Akhirnya, semoga Allah memberi kita kekuatan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu serta menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan di akhirat.

 

Wallahua’lam