IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-49 : HUKUM ORANG TIDAK BERKEMAMPUAN INGIN MELAKSANAKAN KORBAN

ifhk49

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan korban dengan cara menjual harta-benda yang menjadi keperluan miliknya seperti motorsikal, perabot dan seumpamanya, semata-mata ingin berkorban? Adakah patut mereka melakukan sedemikian demi mendapat fadhilat melaksanakan korban?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Perintah untuk melaksanakan ibadah korban ialah kepada orang Islam, merdeka, baligh, berakal dan berkemampuan. Seseorang itu dikira berkemampuan apabila dia mempunyai lebihan harta daripada keperluan diri dan tanggungannya bagi Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Maksudnya, harta yang dimilikinya melebihi keperluan harian diri dan tanggungannya bagi hari-hari yang telah disebutkan di atas dan lebihan itu mencukupi untuk dia melaksanakan korban dengan hartanya itu. Oleh yang demikian, dia termasuk dalam golongan yang berkemampuan dan digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban.

Adapun jika tidak mempunyai keperluan yang cukup bagi hari-hari yang disebutkan, maka dia dikira tidak berkemampuan dan tidak diperintahkan untuk melaksanakan korban yang sunat tersebut. Oleh itu, dia tidak dituntut untuk menjual hartanya yang dikategorikan sebagai keperluan hidup seperti rumah untuk tempat berteduh, kenderaan untuk memudahkan urusan sehariannya dan seumpamanya.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Terdapat banyak fadilat dan kelebihan bagi orang yang melaksanakan korban. Oleh itu, orang-orang yang beriman pasti akan berebut-rebut untuk mendapatkan fadilat tersebut. Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).

Riwayat al-Tirmidzi: 1493

Para ulama telah menjelaskan bahawa perintah untuk berkorban pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq ialah bagi golongan yang berkemampuan. Imam al-Khatib al-Syarbini menjelaskan hal ini dengan berkata bahawa:

وَالْمُخَاطَبُ بِهَا الْمُسْلِمُ الْحُرُّ الْبَالِغُ الْعَاقِلُ الْمُسْتَطِيعُ

Maksudnya: Golongan yang ditujukan perintah untuk melaksanakan korban itu ialah orang Islam, merdeka, baligh, berakal dan berkemampuan.[1] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 6:123)

Kemudian, Imam al-Zarkasyi menerangkan lagi tentang makna berkemampuan bermaksud hendaklah seseorang itu mempunyai lebihan keperluan bagi diri dan tanggungannya pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq kerana waktu itu merupakan waktu ibadah korban dilaksanakan. Ia sama seperti syarat sedekah sunat yang ingin diberikan bahawa hendaklah ia lebihan daripada keperluan harian diri dan tanggungan seseorang.

Hal ini sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, di dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj bahawa:

قَالَ الزَّرْكَشِيُّ وَلَا بُدَّ أَنْ تَكُونَ فَاضِلَةً عَنْ حَاجَتِهِ وَحَاجَةِ مَنْ يُمَوِّنُهُ عَلَى مَا سَبَقَ فِي صَدَقَةِ التَّطَوُّعِ لِأَنَّهَا نَوْعُ صَدَقَةٍ انْتَهَى وَظَاهِرُ هَذَا أَنَّهُ يَكْفِي أَنْ تَكُونَ فَاضِلَةً عَمَّا يَحْتَاجُهُ فِي يَوْمِهِ وَلَيْلَتِهِ وَكِسْوَةِ فَصْلِهِ كَمَا مَرَّ وَيَنْبَغِي أَنْ تَكُونَ فَاضِلَةً عَنْ يَوْمِ الْعِيدِ وَأَيَّامِ التَّشْرِيقِ فَإِنَّهَا وَقْتَهَا كَمَا أَنَّ يَوْمَ الْعِيدِ وَلَيْلَةَ الْعِيدِ وَقْتُ زَكَاةِ الْفِطْرِ وَاشْتَرَطُوا فِيهَا أَنْ تَكُونَ فَاضِلَةً عَنْ ذَلِكَ اهـ

Maksudnya: Imam al-Zarkasyi berkata mestilah orang yang ingin melakukan korban itu mempunyai lebihan bagi keperluan diri dan tanggungannya sepertimana syarat yang telah disebutkan dalam sedekah sunat kerana ia juga dikira sebagai sedekah. Apa yang zahir daripada pandangan ini ialah cukup bagi seseorang itu mempunyai lebihan bagi keperluannya sehari semalam dan pakaiannya mengikut musim sepertimana yang telah disebutkan. Begitu juga hendaklah mempunyai lebihan daripada keperluannya pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq ini kerana itulah waktu untuk berkorban. Hal ini sama keadaan seperti siang dan malam Hari Raya Aidilfitri yang menjadi waktu diwajibkan menunaikan zakat fitrah dan para ulama mensyaratkan wujudnya lebihan daripada keperluan mereka pada waktu tersebut.[2] (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 9:334)

Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang mempunyai lebihan keperluan bagi diri dan ahli keluarganya pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah), maka dia termasuk golongan yang berkemampuan dan disunatkan untuk melaksanakan korban daripada harta yang dimilikinya itu. Adapun jika tidak mempunyai keperluan yang cukup bagi hari-hari yang disebutkan, maka dia dikira tidak berkemampuan dan tidak disunatkan untuk melaksanakan korban yang sunat tersebut.

Justeru itu, jika seseorang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban, maka dia tidak dituntut untuk menjual hartanya yang dikategorikan sebagai keperluan hidup seperti rumah untuk tempat berteduh, kenderaan untuk memudahkan urusan sehariannya dan seumpamanya.

WaAllahu a’lam.

RUJUKAN

[1] Al-Syarbini, al-Khartib, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Maani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 6, hlmn. 123.

[2] Al-Haitami, Ibn Hajar, 1983, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, jld. 9, hlmn. 334.