IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-62: HUKUM MENUNAIKAN BADAL UMRAH UNTUK RAKAN YANG TIDAK ADA KEMAMPUAN

Screenshot 2022 07 08 at 11.20.23 PM

 

Soalan:

Assalamualaikum, saya memiliki seorang kawan yang kurang berkemampuan. Adakah saya boleh menunaikan umrah untuknya?

Ringkasan Jawapan:

Melakukan ibadat haji atau umrah bagi rakan yang berada dalam kemiskinan tidak dibenarkan. Ibadat haji atau umrah tidak boleh dikerjakan oleh orang lain melainkan pada beberapa keadaan:

  1. Seorang yang telah meninggal dunia dan memiliki kewajipan haji yang belum ditunaikan.
  2. Seorang yang lumpuh dan tidak mampu untuk bergerak.
  3. Seorang yang memiliki sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh.

Adapun pada keadaan selain ini tidak dibenarkan orang lain untuk melakukan badal haji atau umrah berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i. 

Huraian Jawapan:

Ibadat umrah wajib untuk dikerjakan sekali seumur hidup bagi orang yang berkemampuan mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi’i[1]. Antara syarat yang mewajibkan seseorang untuk menunaikan haji ialah kemampuan. Kemampuan di sisi mazhab Syafi’i terbahagi kepada dua:

  1. Memiliki kemampuan untuk menunaikan haji dengan diri sendiri.
  2. Memiliki kemampuan untuk mengerjakan haji dengan bantuan orang lain[2].

Mengenai menggantikan haji atau umrah yang fardu bagi orang lain ulama mazhab Syafi’i tidak membenarkan melainkan bagi beberapa golongan:

  1. Seorang yang telah meninggal dunia dan memiliki kewajipan haji yang belum ditunaikan.
  2. Seorang yang lumpuh dan tidak mampu untuk bergerak.
  3. Seorang yang memiliki sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh[3].

Hal ini berdasarkan sebuah hadis:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ مِن خَثْعَمَ عَامَ حَجَّةِ الوَدَاعِ، قالَتْ: يا رَسولَ اللَّهِ إنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ علَى عِبَادِهِ في الحَجِّ أدْرَكَتْ أبِي شيخًا كَبِيرًا لا يَسْتَطِيعُ أنْ يَسْتَوِيَ علَى الرَّاحِلَةِ فَهلْ يَقْضِي عنْه أنْ أحُجَّ عنْه؟ قالَ: نَعَمْ.

Maksudnya: “Seorang wanita dari kabilah Khas’am datang kepada Baginda pada tahun haji wada’ lalu berkata: Ya Rasulullah sesungguhnya ayahku telah diwajibkan untuk mengerjakan haji sedangkan dia dalam keadaan tua dan tidak mampu untuk duduk tegak di atas kenderaannya, bolehkah aku menunaikan haji untuknya? Nabi SAW menjawab: Ya (boleh!)”

(Riwayat al-Bukhari)

Adapun orang yang mampu untuk mengerjakannya sendiri maka tidak boleh dilakukan umrah badal untuknya. Dalam hak ini Imam al-Syirazi menjelaskan:

(فاما) الصحيح الذى يقدر على الثبوت علي الراحلة فلا تجوز النيابة عنه في الحج لان الفرض عليه في بدنه فلا ينتقل الفرض إلى غيره الا في الموضع الذى وردت فيه الرخصة وهو إذا أيس وبقى فيما سواه على الاصل فلا تجوز النيابة عنه فيه

Maksudnya: “Adapun bagi orang yang sihat dan mampu untuk duduk tetap di atas kenderaan maka tidak harus (haram) untuk dia menggantikan orang lain untuk menunaikan haji bagi pihaknya. Hal ini kerana ibadah haji diwajibkan ke atasnya maka tidak boleh kefarduan tersebut berpindah kepada orang lain melainkan pada keadaan yang diberikan rukhsah (keringanan) iaitu ketika dia benar-benar tidak mampu. Adapun keadaan selainnya maka kekal dengan hukum asal iaitu tidak boleh dia menggantikan tempatnya dengan orang lain.[4]

Sekalipun perbincangan di atas menjurus kepada perbincangan mengenai ibadat haji namun ulama fikah ketika membincangkan mengenai perbahasan haji mereka juga memaksudkan dengan ibadat umrah dalam banyak keadaan[5]. Berdasarkan keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa selagi mana seseorang itu mampu untuk melakukan ibadat haji atau umrah dengan sendirinya maka tidak boleh untuk orang lain menggantikan tempatnya

 

[1] Imam al-Nawawi, al-Idoh fi Manasik al-Hajj, Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah (1994), jld.1, hlm. 379.

الْعُمْرَةُ فَرْض عَلَى الْمُسْتَطِيعِ كَالْحَج هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ الصَّحِيحُ مِنْ قَوْلَيْ الشافِعِي رَحِمَهُ الله تَعَالَى وَهُوَ نَصُّهُ في كُتُبِهِ الْجَدِيدةِ وَلاَ تَجِبُ العُمرة إِلا مَرَّةَ وَاحِدةً كَالْحج

[2] Imam al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Beirut: Dar al-Fikr (2005), hlm. 82.

والاستطاعة وهي نوعان أحدهما: استطاعة مباشرة ولها شروط…  النَّوْعُ الثَّانِي: اسْتِطَاعَةُ تَحْصِيلِهِ بِغَيْرِهِ،

[3] Imam al-Nawawi, Raudhah al-Talibin, jld. 3, hlm. 12.

جُوزُ أَنْ يَحُجَّ عَنِ الشَّخْصِ غَيْرُهُ، إِذَا عَجَزَ عَنِ الْحَجِّ، بِمَوْتٍ، أَوْ كَسْرٍ، أَوْ زَمَانَةٍ، أَوْ مَرَضٍ لَا يُرْجَى زَوَالُهُ، أَوْ كَانَ كَبِيرًا لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَثْبُتَ عَلَى الرَّاحِلَةِ أَصْلًا، أَوْ لَا يَثْبُتُ إِلَّا بِمَشَقَّةٍ شَدِيدَةٍ.

[4] Imam al-Nawawi, Imam al-Subki & al-Muti’e, al-Majmu’ Syarh al-Muhazab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 7, hlm. 112.

[5] Ibn Hajar al-Haitami, Hasyiah Ibn Hajar al-Haitami ala al-Idoh, Beirut: Dar al-Hadis (t.t),hlm. 93

(لا يجب الْحَجُّ) والعمرة، وقد يشملها اسم الحج (في العُمْر إلاَّ مرة واحدة)