IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-180: HUKUM MENGGUNAKAN VICKS KETIKA BERPUASA

Capture180Soalan:

Assalamualaikum WBT. Apakah hukum seseorang yang menggunakan vicks inhiler ketika berpuasa untuk melegakan hidung yang tersumbat?

 

Ringkasan Jawapan:

Harus tetapi mesti digunakan secara berpada-pada. Makruh sekiranya digunakan tanpa apa-apa tujuan.

 

Huraian Jawapan:

Waalaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

Surah al-Baqarah (187)

Berdasarkan ayat al-Quran yang telah disebutkan sebelum ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. (Rujuk: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)

Oleh yang demikian, sekiranya sampai ain (suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar) kepada rongga dalam daripada saluran yang terbuka maka ia boleh membatalkan puasa.

Berkenaan masalah vicks kebiasaanya seseorang akan menghidu bau (aroma) daripada vicks iaitu seperti aroma mentol atau mint untuk melegakan hidung tersumbat. Oleh itu benda yang masuk melalui hidung adalah (aroma) iaitu angin dan bukanlah ain.

Para ulama membahaskan mengenai hukum memasukkan angin, aroma atau bau melalui saluran yang terbuka sebagaimana ayang dijelaskan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori:

(Hendaklah seseorang) mengelakkan sampainya ain yang bukan angin dan bau yang terzahir daripada saluran yang terbuka. (Rujuk: Fath al-Wahhab, 1/208).

Kata beliau lagi:

Bahawasanya berbuka puasa itu ialah sesuatu yang masuk (ke dalam badan) dan bukanlah sesuatu yang keluar, iaitu mengikut kaedah yang asal, dan terkeluar daripada (maksud) ain ialah kesan (suatu perkara) seperti sampainya angin disebabkan mencium (sesuatu) ke otaknya dan rasa (suatu perkara) dengan merasainya sehingga ke halkumnya. (Rujuk: Asna al-Mathalib, 1/415).

Shaikh Abdul Rahman Ba’lawi menjelaskan hukum menghidu bauan dengan sengaja, kata beliau:

Tidaklah memudaratkan (membatalkan puasa) sampainya bauan dengan menghidu melalui hidung begitu juga mulut, seperti bau asap kemenyan atau seumpamanya ke rongga dalam sekalipun dilakukan dengan sengaja kerana ia bukan kategori ain. (Rujuk: Bughyah al-Mustarsyidin, 1/213).

Berdasarkan beberapa kenyataan para ulama di atas menghidu aroma daripada vicks adalah tidak membatalkan puasa sekalipun dengan sengaja kerana ia bukanlah dalam bentuk jirim yang boleh dilihat dan tidak ada sesuatu yang masuk ke badannya melalui rongga hidung melainkan angin (aroma vicks) tersebut.

Walau bagaimanapun, hukum mencium bau wangi-wangian atau seumpamanya ketika sedang berpuasa adalah makruh. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama, antaranya Shaikh Abu Bakar Syato di dalam karyanya:

Kenyataannya (pengarang kitab): dan menyentuh minyak wangi dan menghidunya, iaitu kedua-duanya harus (hukumnya) yang mana disunatkan menahan diri daripada melakukan kedua-duanya. Dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj (ada menyebut): Bahkan al-Mutawwali menyatakan makruh melihatnya (wangi-wangian). Ulama selain beliau (al-Mutawalli) menegaskan bahawa makruh menghidu apa-apa yang boleh sampai baunya ke dalam otaknya atau pakaiannya. (Rujuk: Hasyiyah I’anah al-Tolibin, 2/281).

Oleh yang demikian, sebaiknya seorang yang berpuasa meninggalkan perbuatan mencium wangi-wangian atau aroma tertentu kerana perbuatan tersebut adalah makruh dan boleh mengurangkan pahala puasa. Namun sekiranya terdapat keperluan atau untuk tujuan kesihatan maka ia diharuskan menurut fuqaha.

KESIMPULAN

Perbuatan menghidu vicks adalah tidak membatalkan puasa kerana tidak ada suatu ain (jirim) yang masuk ke rongga hidung melainkan bau atau angin. Ianya diharuskan untuk tujuan kesihatan seperti melegakan hidung tersumbat tetapi hendaklah digunakan secara berpada-pada. Namun sekiranya seseorang menghidu vicks tanpa apa-apa tujuan maka perbuatan tersebut adalah makruh.

Wallahu a’lam.