IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-209: PERLUKAH BERPUASA RAMADAN MELEBIHI 31 HARI JIKA BERMUSAFIR KE NEGARA YANG LEWAT MENYAMBUT AIDILFITRI

Capture.JPG

Soalan

Assalamualaikum wrt.wbt.. Baru-baru ini saya menunaikan umrah dan telah direzekikan berpuasa di sana. Namun saya ada sedikit kekeliruan, saya berpuasa awal sehari di mekah kemudian pulang ke Malaysia. Namun sekiranya Malaysia menyambut hari raya lewat maka puasa saya akan menjadi 31 hari dan melebihi 30 hari. Apakah yang patut saya lakukan adakah saya perlu berpuasa pada hari ke 31 atau saya tidakk dibenarkann berpuasa pada hari tersebut. Mohon pencerahan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Menurut pandangan yang paling sahih di dalam mazhab syafi’i, mereka yang mula berpuasa di sesuatu negara kemudian bermusafir ke negara lain yang lewat sehari berpuasa, maka hendaklah dia berpuasa mengikut penduduk negara di mana dia berada walaupun dia sudah lengkap berpuasa genap 30 hari dan menjadikan puasanya 31 hari.

Huraian jawapan

Kaedah penetapan dan penentuan bulan Ramadan adalah berdasarkan salah satu daripada dua cara iaitu dengan melihat anak bulan atau dengan mencukupkan bilangan 30 hari bulan Syaaban sekiranya anak bulan tidak kelihatan[1]. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعَدَدَ

Maksudnya: Berpuasalah sekiranya kamu melihatnya (anak bulan) dan berbukalah Berhari raya) sekiranya kamu melihatnya (anak bulan). Sekiranya cuaca mendung, maka sempurnakanlah bilangan harinya (tiga puluh hari).

Riwayat Muslim (1081)

Setiap tempat mungkin berbeza penampakan anak bulan, hal ini kerana sesuatu negara itu berbeza tempat matla’ atau tempat terbitnya anak bulan. Oleh itu, berkemungkinan sesuatu negara itu berbeza penampakan anak bulan berbanding negara lain yang lebih jauh daripadanya.[2] Perkara ini juga sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Kuraib:

أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ، بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ قَالَ فَقَدِمْتُ الشَّامَ فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتُهِلَّ عَلَىَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلاَلَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ - رضى الله عنهما - ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلاَلَ فَقَالَ مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلاَلَ فَقُلْتُ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ‏.‏ فَقَالَ أَنْتَ رَأَيْتَهُ فَقُلْتُ نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ ‏.‏ فَقَالَ لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلاَ نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلاَثِينَ أَوْ نَرَاهُ ‏.‏ فَقُلْتُ أَوَلاَ تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ فَقَالَ لاَ هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Sesungguhnya Ummu al-Fadl binti al-Harith mengutuskannya menghadap Muawiyyah di Syam. Kuraib berkata, setelah aku tiba di Syam lalu aku menunaikan hajatnya (Ummu Fadl) dan pada saat itu bulan Ramadan tiba, aku masih lagi berada di Syam dan aku melihat anak bulan pada malam Jumaat. Setelah itu, aku kembali ke madinah pada akhir bulan Ramadan kemudian aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas R.Anhuma tentang anak bulan. Ibnu Abbas bertanya kepadaku: Adakah kamu melihatnya, aku menjawab: aku melihatnya pada malam Jumaat. Beliau bertanya: Adakah kamu melihatnya, aku menjawab: Ya aku melihatnya bersama penduduk-penduduk yang lain, mereka berpuasa dan Muawiyyah juga berpuasa. Kemudian beliau berkata: Akan tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu, kemudian kami berpuasa sehingga genap tiga puluh hari atau kami melihatnya. Lalu aku bertanya: Tidak cukupkah sekadar dengan melihat anak bulan dan berpuasa Muawiyyah?. Beliau menjawab: Tidak, beginilah perintah Rasulullah SAW kepada kami.”

Riwayat Muslim (1087)

Berkaitan isu seseorang itu melihat anak bulan di suatu negeri dan memulakan puasanya di negeri tersebut, kemudian dia bermusafir ke negeri yang lain yang tidak kelihatan anak bulan. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa:

وَإِذَا لَمْ نُوجِبْ عَلَى الْبَلَدَ الْآخَرِ فَسَافَرَ إلَيْهِ مِنْ بَلَدِ الرُّؤْيَةِ فَالْأَصَحُّ أَنَّهُ يُوَافِقُهُمْ فِي الصَّوْمِ آخِرًا، وَمَنْ سَافَرَ مِنْ الْبَلَدِ الْآخَرِ إلَى بَلَدِ الرُّؤْيَةِ عَيَّدَ مَعَهُمْ وَقَضَى يَوْمًا.

Maksudnya: “Sekiranya sesuatu negara yang tidak kami wajibkan berpuasa (kerana tidak melihat anak bulan), lalu seseorang musafir yang datang daripada negara yang melihat anak bulan (seseorang yang berpuasa) ke negara tersebut, maka menurut pendapat yang sahih, hendaklah dia mengikut penduduk negeri tersebut berpuasa pada hari terakhir. Begitu juga seseorang yang bermusafir dari negara yang lewat berpuasa ke negara yang berpuasa awal, maka dia hendaklah berhari raya bersama penduduk negara tersebut (iaitu tidak boleh berpuasa walaupun belum mencukupi 29 hari berpuasa) dan kemudian dia hendaklah menggantikan puasanya satu hari (bagi mencukupi jumlah minima sebulan berpuasa iaitu 29 hari).[3]

Manakala menurut Imam al-Syirbini tentang permasalahan jika seseorang yang telah berpuasa selama 30 hari di negara lain, kemudian pada hari ke-31 dia berada di negara lain yang rakyatnya masih lagi berpuasa, kata beliau:

 (فِي الصَّوْمِ آخِرًا) وَإِنْ كَانَ قَدْ أَتَمَّ ثَلَاثِينَ؛ لِأَنَّهُ بِالِانْتِقَالِ إلَى بَلَدِهِمْ صَارَ وَاحِدًا مِنْهُمْ فَيَلْزَمُهُ حُكْمُهُمْ

Maksudnya: “(Pada hari terakhir) walaupun sudah lengkap (puasanya) tiga puluh hari, kerana ia telah berpindah ke negara mereka, maka dia telah menjadi sebahagian daripada mereka. Oleh itu hendaklah dia mengikuti hukum mereka”.[4]

Berbalik kepada persoalan di atas, dapat disimpulkan bahawa, mereka yang mula berpuasa di sesuatu negara kemudian bermusafir ke negara lain yang lewat sehari berpuasa, maka hendaklah dia berpuasa mengikut penduduk negara di mana dia berada walaupun dia sudah lengkap berpuasa genap 30 hari dan menjadikan puasanya 31 hari.

Wallahu’alam

 

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, ‘Ali Al-Syarbaji, Al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’e, (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Taizi’, 1413H) 2/77

يثبت دخول شهر رمضان بأحد أمرين: الأول: رؤية الهلال، ليلة الثلاثين من شعبان، وذلك بأن يشهد أمام القاضي شاهد عدل أنه قد رأى الهلال. الثاني: إكمال شعبان ثلاثين يوماً: وذلك فيما إذا تعسرت رؤية الهلال بسبب غيوم، أو إذا لم يتقدم شاهد عدل يشهد بأنه قد رأى الهلال، فيتمم شهر شعبان ثلاثين يوماً، إذ هو الأصل ما لم يعارضه شيء.

[2] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini,  Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 2/144-145

(إذَا رُئِيَ بِبَلَدٍ لَزِمَ حُكْمُهُ الْبَلَدَ الْقَرِيبَ) مِنْهُ قَطْعًا كَبَغْدَادَ وَالْكُوفَةِ؛ لِأَنَّهُمَا كَبَلَدٍ وَاحِدَةٍ كَمَا فِي حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ (دُونَ الْبَعِيدِ فِي الْأَصَحِّ) كَالْحِجَازِ وَالْعِرَاقِ. وَالثَّانِي: يَلْزَمُ فِي الْبَعِيدِ أَيْضًا (وَالْبَعِيدُ مَسَافَةُ الْقَصْرِ) وَصَحَّحَهُ الْمُصَنِّفُ فِي شَرْحِ مُسْلِمٍ؛ لِأَنَّ الشَّرْعَ عَلَّقَ بِهَا كَثِيرًا مِنْ الْأَحْكَامِ (وَقِيلَ بِاخْتِلَافِ الْمَطَالِعِ. قُلْتُ: هَذَا أَصَحُّ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ)

[3] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, (Dar al-Fikr, 1425H) hlm. 74

[4] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini,  Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 2/145