IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-626: ISU PERJUDIAN BERKAITAN UNKNOWN CASH (UC) PUBG

pubg min

 

Soalan

Assalamualaikum. Tujuan saya mesej SS Mufti adalah untuk memberitahu tentang amalan streamer FB (livestream) di Malaysia yang beragama Islam yang gemar menikam item-item yang luar biasa dalam permainan video seperti Player Unknown's Battle Ground (PUBG), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan sebagainya. Cara mereka menikam item-item tersebut adalah dengan menggunakan Unknown Cash (UC) bagi permainan PUBG dan Diamond bagi permainan MLBB. Bagi mendapatkan UC dan Diamond tersebut, seseorang itu hendaklah menambah nilai menggunakan wang yang sebenar (RM). Apakah hukum melakukan transaksi sedemikian?

Diharapkan pihak SS Mufti dapat meneliti terhadap isu ini yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Terima kasih banyak.

 

Jawapan Ringkas

Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.

Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.

 

Huraian Jawapan

Dalam era globalisasi kini, setiap isu baharu yang muncul perlu difahami gambarannya sebaik mungkin supaya setiap hukum-hakam yang keluar berada di atas landasan yang tepat dan benar bersesuaian dengan prinsip Islam yang menyebut, “Hukum terhadap sesuatu perkara terbina berdasarkan gambaran menyeluruh tentangnya”. Tulisan ini akan memfokuskan jawapan hukum menggunakan duit Unknown Cash (UC) PUBG Mobile untuk tujuan tikaman.

 

Konsep Unknown Cash (UC)

Dalam permainan PUBG, selain daripada aktiviti utama iaitu peperangan dan aksi tembak-menembak sesama pemain, pemain juga disediakan ciri-ciri dan keistimewaan lain untuk menaik taraf penampilan karakter setiap pemain seperti set pakaian yang cantik, aksesori senjata yang unik, hiasan kereta dan motor yang menarik, dan sebagainya. Kesemua perkara tersebut boleh didapati melalui pelbagai medium. Antaranya, melalui shop (kedai barangan), medium Elite Royal Pass, pembukaan crates (peti), menyelesaikan misi-misi yang diberikan dan lain-lain.

Dalam masa yang sama, item dan barangan tersebut boleh diperoleh secara percuma melalui pemberian pihak PUBG sendiri, berbayar mahupun melalui tikaman. Proses bayaran dan tikaman memerlukan setiap akaun pemain mempunyai duit yang mencukupi. Duit tersebut mempunyai beberapa kategori seperti Unknown Cash (UC), Battle Points (BP), Ace Gold (AG) dan Silver. Pembelian secara terus boleh menggunakan kesemua kategori duit tersebut manakala pembelian secara tikaman hanya boleh menggunakan UC dan AG sahaja.

UC boleh dibeli dengan mata wang sebenar secara online dengan harga yang berbeza-beza mengikut penyedia (provider); seperti contoh 600 UC bersamaan RM39.90. Duit UC dan AG yang mencukupi melayakkan pemain untuk melakukan tikaman melalui pembukaan peti-peti istimewa seperti Premium Crate, PUBG Lucky Crate, Classic Crate dan sebagainya. Kos yang dikenakan bagi setiap tikaman pula berbeza-beza mengikut tahap keistimewaan sesebuah peti. Seperti contoh, kos sekali percubaan untuk membuka Premium Crate berharga 120 UC manakala bagi PUBG Lucky Crate berharga 60 UC.

Kebiasaan tikaman dibuat bagi mendapatkan item-item yang istimewa dan langka yang tidak boleh didapati melalui pembelian secara terus. Jadi, perbahasan di bawah akan membincangkan status hukum bagi transaksi tersebut.

 

Analisis hukum

Setelah membuat analisis dan pemerhatian terhadap kaedah transaksi di atas, kami mendapati ia bermasalah kerana beberapa sebab.

Utamanya, pemain hanya bergantung 100% terhadap hasil tikaman yang dibuat. Konsep sebegini dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur perjudian. Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama menyatakan ciri-ciri berikut:

(Lihat Halal Dan Haram Dalam Islam, hlm. 427)      

Kesemua ciri tersebut wujud dalam transaksi di atas. Huraiannya, pembeli atau pemain meletakkan taruhan mereka menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit, dalam masa yang sama pihak PUBG selaku penjual menawarkan item-item yang menarik untuk dimiliki.

Pemilikan hanya sah dengan cara tikaman dibuat. Sekiranya nasib menyebelahi pemain, maka dia akan dapat barang tersebut dengan sekali percubaan membuka peti sahaja. Jika sebaliknya, kemungkinan dia tidak akan dapat barangan tersebut walau berpuluh-puluh kali percubaan dibuat, bahkan beribu-ribu UC habis dilaburkan.

Antara dalil pengharamannya ialah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

Surah al-Ma’idah (90)

Tambahan pula, kaedah tikaman sebegini bergantung kepada nasib semata-mata. Sedangkan permainan yang bersandarkan kepada unsur nasib semata-mata turut dilarang oleh Syarak, apatah lagi disertakan bersama wang taruhan. Ini disebutkan dalam kitab fiqh bahawa:

“Setiap permainan yang berdasarkan nasib seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan sebegini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia.”[1]

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/166)

Seterusnya, menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya. Kami merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) yang menyebut seperti berikut:

“Jual beli yang mengandungi unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak.”[2]

Hal ini jelas kelihatan tatkala pemain ingin menikam barang-barang yang ada dalam peti, contohnya Premium Crate. Pemain perlu membayar sebanyak 120 UC terlebih dahulu sebelum mempunyai peluang untuk menikam barang. Kemudian, berlaku proses pemilihan barang akan berlaku secara rawak. Terdapat kemungkinan pemain ‘dapat dan tidak dapat’ apa yang dimahukan. Jual beli sebegini mirip dengan gambaran jual beli Munabazah dan Mulamasah yang diharamkan oleh Syarak.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الْمُلاَمَسَةُ وَالْمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara sentuh-menyentuh (mulamasah) dan campak-mencampak (munabazah).”

Riwayat al-Bukhari (5482)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) ada dinyatakan:

“Dalam menafsirkan kedua-dua istilah ini, periwayat hadis ini berkata: Mulamasah ialah seorang lelaki menyentuh sehelai pakaian dengan tangan pada waktu malam atau siang dan dia tidak boleh mengambil selain daripada barangan yang disentuhnya. Munabazah pula ialah seorang lelaki mencampakkan bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki pertama, dengan itu berlakulah jual beli tanpa melihat atau saling meredhai.”[3]

 

Alternatif dan Saranan

Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.

Kami sedia maklum bahawa pembelian sebegini tidak membuatkan para pemain mendapat barang-barang yang istimewa dan langka. Namun, prinsip agama menyebut secara jelas bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, bahkan item tersebut bukanlah kategori barang keperluan apatah lagi mendesak.

Dalam artikel kami sebelum ini, kami ada menyebut bahawa permainan PUBG secara umum hukumnya adalah makruh sekiranya tidak mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Syarak. Namun begitu, hukum keharusan tersebut boleh berubah sekiranya terdapat elemen lain yang dilarang Syarak seperti mengabaikan perintah Allah, bermain terlalu lama sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai individu Muslim, mempunyai unsur perjudian, maksiat dan sebagainya.

Sehubungan itu, kami menasihatkan agar para pemain yang terlibat meninggalkan perbuatan menikam barang tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT sama ada perbuatan tersebut dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja. Perkara halal dan haram perlu jelas ditentukan dan unsur-unsur haram perlu disingkirkan sekiranya ada. 

Akhir kata, apabila agama mengharuskan sesuatu perkara, agama juga mengehadkan sesuatu perkara yang lain. Kesemuanya memperlihatkan ciri-ciri agama yang bersifat fleksibel dalam masa yang sama tidak mengenepikan prinsip-prinsip utama. Wallahu a’lam.

 

Rujuk juga artikel lain:

1- Hukum bermain PUBG: https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3992-bayan-linnas-siri-220-pubg-pandangan-dari-sudut-syarak-syarak#_ftnref3
2- Hukum bermain mesin claw: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3294-al-kafi-1210-hukum-bermain-permainan-mesin-claw
3- Hukum pertandingan meneka lembu sado: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2102-irsyad-al-fatwa-ke-160-hukum-pertandingan-meneka-lembu-sado

[1] وكل ما كان قائماً على المصادفة، وإغماض الفكر والعقل، كالنرد، والورق، ونحوهما فهو محرم، وذلك لأن مثل هذه الألعاب يعود النفس على الركون إلي معني المصادفة في تقلبات الأحوال والأمور، ويجعل العقل يتخيل المصادفة هي العامل الأول في الكون وحركته، فهو من اللهو الذي يترك أثراً ضاراً في النفس

[2] البيوع التي فيها معنى المقامرة: وهي بيوع إما فيها جهالة بالمبيع أو خلل في إرادة العاقدين

[3] وقد جاء تفسيرهما عن راوي الحديث إذ قال: (والملامسة: لمس الرجل ثوب الآخر بيده بالليل أو بالنهار، ولا يقلِبُهُ إلا بذلك. المنابذة: أن ينبذ الرجل إلى الرجل بثوبه، وينبذ الآخر إليه ثوبه، ويكون ذلك بيعهما من غير نظر ولا تراضٍ)