IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-710 : ADAKAH ISTERI KAHWIN LAGI DIANGGAP CURANG TERHADAP BEKAS SUAMI YANG MENINGGAL DUNIA?

 

 

ADAKAH ISTERI KAHWIN LAGI DIANGGAP CURANG TERHADAP BEKAS SUAMI YANG MENINGGAL DUNIA

 

SOALAN

Salam Dato’. Benarkah kalau saya kahwin lagi setelah kematian suami maka saya dianggap isteri yang curang ? Benarkah saya takkan jumpa lagi bekas suami di akhirat disebabkan telah berkahwin dengan suami baharu?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Isteri diharuskan untuk berkahwin dengan suami baru selepas tamat tempoh idah kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari. Berkenaan berjumpa dengan suami di akhirat terdapat perbezaan kalangan ulama dalam menentukan siapakah yang akan menjadi suaminya ketika di syurga sama ada suami lama atau suami yang baru. Ada pandangan yang mengatakan bahawa isteri berhak untuk memilih dikalangan mereka sebagai suaminya di syurga dan ada yang berpendapat isteri akan bersama suami yang paling baik akhlaknya ketika di dunia, dan sebahagian ulama mengatakan isteri akan bersama suaminya yang terakhir.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Syarak membenarkan isteri berkahwin baru selepas kematian suami dan setelah tamat tempoh idahnya.Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ فَإِذَا بَلَغۡنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ فِيمَا فَعَلۡنَ فِيٓ أَنفُسِهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.”

Surah al-Baqarah (234)

 

Apabila isteri telah tamat tempoh idahnya, syariat mengharuskan untuk menikahi lelaki lain. Oleh yang demikian, tiada istilah isteri curang dalam perkara ini kerana pernikahan ini berlandaskan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT. Hal ini dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya bagi menghuraikan ayat di atas:

فَإِذَا ‌انْقَضَتْ ‌عِدَّتُهَا ‌حَلَّتْ ‌لِلْأَزْوَاجِ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْهَا فِيمَا فَعَلَتْ مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya: “Apabila selesai idahnya (isteri kematian suami) dihalalkan dia berkahwin dan tiada kesalahan ke atasnya (isteri) pada perkara yang demikian (yang dibenarkan oleh syarak).”

(Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, 3/187)

 

Berkenaan dengan berjumpa suami yang lama atau baru di akhirat kelak ada dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa isteri akan diberi pilihan sama ada ingin bersama dengan suami lama atau suami baru di syurga. Hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah:

الْمَرْأَةُ مِنَّا تَتَزَوَّجُ الزَّوْجَيْنِ وَالثَّلَاثَةَ وَالْأَرْبَعَةَ، ثُمَّ تَمُوتُ فَتَدْخُلُ الْجَنَّةَ وَيَدْخُلُونَ مَعَهَا، مَنْ يَكُونُ زَوْجَهَا مِنْهُمْ؟ فَقَالَ: يَا أُمَّ سَلَمَةَ، إِنَّهَا تُخَيَّرُ، فَتَخْتَارُ أَحْسَنَهُمْ خُلُقًا

Maksudnya: “Ada wanita daripada kalangan kami berkahwin dua, tiga dan empat kali. Kemudian dia (wanita) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam syurga dan yang masuk bersamanya adalah para suaminya. Siapakah (daripada kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam syurga)?. Maka nabi SAW bersabda: “Wahai Ummu Salamah, dia (isteri) itu diberi pilihan maka dia akan memilih yang lebih baik akhlaknya.”

Riwayat al-Thabarani (3141)

 

Perkara ini terdapat perbezaan dikalangan para ulama. Sebahagiannya berpendapat bahawa isteri akan bersama dengan suaminya yang terakhir ketika di syurga, dan ada yang mengatakan bahawa isteri akan bersama dengan suaminya yang lebih baik akhlaknya ketika di dunia. Tentang perkara ini kami telah jelaskannya dalam artikel Irsyad al-Hadith siri 351: Siapakah Suami di Syurga?. Untuk mengetahui dengan lebih jelas, boleh klik pada pautan berikut :https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3183-irsyad-al-hadith-siri-ke-351-siapakah-suami-di-syurga.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, isteri tidak dianggap curang terhadap bekas suami yang telah meninggal dunia dengan sebab berkahwin dengan suami baru. Ini kerana Islam membenarkan isteri untuk berkahwin dengan suami baru setelah tamat tempoh idah kematian suami iaitu selama 4 bulan 10 hari bagi isteri yang tidak mengandung.والله أعلم