Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #32 : BANTAHAN SEKERASNYA TERHADAP SERANGAN TERBAHARU ISRAEL KEPADA GAZA

Qalam Mufti 32

 

Baru-baru ini pada Selasa 26 Mac 2019 masyarakat dunia secara umumnya dan masyarakat Islam secara khususnya dikejutkan dengan serangan terbaharu pihak Israel terhadap penduduk setempat di Gaza, Palestin.

Ini merupakan suatu tindakan intihak al-hurmah انتهاك الحرمة iaitu perbuatan yang mencemarkan kehormatan dan kemuliaan lebih-lebih lagi ia berlaku pada bulan Rejab yang merupakan salah satu dari empat bulan haram di sisi umat Islam. Allah S.W.T berfirman:

‎إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan-bilangan bulan di sisi Allah adalah sebanyak dua belas bulan seperti yang terdapat di dalam kitab Allah (Luh Mahfuz) pada hari Dia menciptakan langit-langit dan juga bumi. Antaranya adalah empat bulan haram, yang demikian itu adalah agama yang lurus maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam beberapa bulan tersebut.

Surah Al-Taubah (36)

Imam Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menukilkan kata-kata Ibn Abbas R.A yang menyebut: ‘’Kemudian Allah mengkhususkan empat bulan ini dan menjadikan kesemuanya sebagai bulan haram dan dibesarkan kemuliaannya. Serta Allah menjadikan dosa-dosa di dalam bulan bulan tersebut lebih berat manakala amalan soleh dan pahala juga dibesarkan ganjarannya’’. Rujuk Tafsir al-Quran Al-Azhim, Ibn Katsir (4/145).

Kami mendapati bahawa seakan menjadi suatu tradisi tahunan bahawa setiap kali masuknya bulan Rejab, kita pasti akan menyaksikan bumi suci Gaza diserang dan terus diserang. Ini amat-amat mendukacitakan kerana bulan Rejab ini amat sinonim di sisi masyarakat kita dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj yang mana salah satu simbol utama peristiwa tersebut adalah Masjid al-Aqsa itu sendiri.

Kami turut menyokong sepenuhnya kenyataan tegas dari Y.A.B Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilaporkan oleh BERNAMA sebagai berkata:

‘’Malaysia certainly must protest against the terrorist attacks carried out by Israel against Gaza. The retaliation if they (Israel) carry out will certainly be even worse than what had hit Israel. That is the Israeli way, they are even more terror than other terrorists. If they (Israel) are hit, they will take even more violent action. I am certain this will happen, we certainly have to protest such an act, although we ourselves believe that violence will not resolve the problem there’’.

Kami menyatakan bahawa Masjid al-Aqsa dan kaum muslimin di Gaza adalah amat dekat dengan jiwa-jiwa umat Islam yang beriman. Di sanalah tempatnya kiblat pertama umat Islam yang menyatukan jiwa-jiwa umat Islam di zaman awal terdahulu dalam mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.

Demikian juga umat Islam tidak dituntut untuk bersungguh dalam melakukan kembara permusafiran melainkan kepada tiga buah masjid sahaja. Ini seperti yang dinyatakan oleh Nabi S.A.W :

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صلى الله عليه وسلم وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya : Tidaklah dilakukan kembara secara bersungguh-sungguh melainkan untuk menuju ke tiga buah masjid. Masjid al Haram, Masjid aku ini (Masjid al-Nabawi), dan Masjid al-Aqsa.

Riwayat al-Bukhari (1189)

Semoga Allah S.W.T memberikan kesabaran dan ketenangan kepada mangsa-mangsa serangan di Gaza. Kami juga meninggikan pengharapan supaya bertitik tolak dari ujian yang menimpa ini akan menjadikan umat Islam di Gaza khususnya akan sentiasa merapatkan saf dan bersatu padu, mengenepikan sebarang sengketa dan perbezaan yang boleh ditoleransi sehingga menatijahkan kemenangan dan kembalinya Masjid al-Aqsa di bawah cengkaman dan penguasaan umat Islam. Ameen.

Kami akhiri ruangan Qalam Mufti ini dengan sebuah doa yang diambil panduan asalnya dari bacaan Qunut Nazilah oleh baginda Rasulullah S.A.W dengan doa yang diolah agar ia lebih terkhusus kepada saudara mara kita di Gaza dengan menyebut:

اللَّهُمَّ أَنْجِ إخواننا في غزة اللَّهُمَّ أَنْجِ إخواننا في فلسطين اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى الصهاينة المعتدين اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سِنِينَ كَسِنِي يُوسُف

Maksudnya: Ya Allah selamatkanlah saudara-saudara kami di Gaza, Ya Allah selamatkanlah saudara-saudara kami di Palestin , Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang beriman. Ya Allah keraskanlah siksaan-Mu ke atas golongan Zionis yang melampaui batas dan timpakanlah kepada mereka musim kemarau sebagaimana terjadi di zaman Yusuf.

Semoga kabus hitam berarak lalu dan cahaya kebahagiaan menanti kita. Amin.

 

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

28 Mac 2019 bersamaan 21 Rejab 1440 H