BAYAN LINNAS #148: POLEMIK SEBATAN SYARIAH DI TERENGGANU

 

BAYAN LINNAS SIRI KE-148: POLEMIK SEBATAN SYARIAH DI TERENGGANU

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan Bayan Linnas pada kali ini dengan mengajak untuk kita menadah tangan dan munajat kepada Tuhan agar kita sentiasa dipandu dengan kebenaran dan diilhamkan dengan petunjuk daripada-Nya.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنا وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنفُسِنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Ilhamkan kami kepada petunjuk dan selamatlah kami dari kejahatan jiwa kami.”

Sepertimana yang kami nyatakan pada 7 September 2018, bahawa kami akan memberi penjelasan dalam isu ini dengan lebih tuntas, maka kami mulakan pada petang ini, 9 September 2018, sebagai salah satu daripada mukadimah dan bahth ilmi untuk menyiapkannya dengan berdoa dan mengharapkan petunjuk dan ilham daripada Tuhan bersama-sama muzakarah dan muraja’ah kepada kitab-kitab serta pertukaran idea dan hiwar yang panjang dengan para masyayikh, rakan-rakan, pengamal undang-undang agar jawapan kepada isu ini menatijahkan satu solusi yang terbaik mengikut neraca Syariat yang sebenarnya. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan dengan: Polemik Sebatan Syariah Di Terengganu.

Kami mengharapkan agar Bayan Linnas pada kali ini telah memberi sejumlah jawapan dan penyelesaian dari sudut agama dan juga pelbagai disiplin ilmu yang dapat kita kutip dari sebuah perbincangan ini. Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama untuk kita beramal dan mengikutnya dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Amin.

 

Memahami Realiti Dalam Masyarakat

Dalam membahaskan sesuatu isu hukum, memahami hakikat dan realiti semasa sesuatu yang ingin dihukumkan itu adalah amat penting. Kaedah fiqh menyebutkan:

الحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/498)

Ertinya, mana-mana pihak tidak boleh menjatuhkan hukum terhadap suatu perkara melainkan setelah pihak tersebut memahami gambaran sebenar akan perkara yang dibincangkan itu. Kaedah ini difahami daripada nas-nas al-Qur’an, antaranya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti Rahimahullah menjelaskan bahawa dalam ayat ini Allah SWT menegah manusia daripada mengikuti sesuatu tanpa ilmu. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/145). Syeikh Abdurrahman al-Sa’di Rahimahullah pula mengatakan ia bermaksud supaya manusia tidak melakukan sesuatu tanpa ilmu, bahkan perlu memastikan kebenaran setiap apa yang dikata dan dilakukan. Sesungguhnya itu merupakan petanda kepada pendapat yang baik dan kekuatan berfikir. (Lihat Taysir al-Latif al-Mannan, hlm. 50)

Menerusi kaedah ini, para ulama amat berhati-hati agar tidak mengeluarkan sesuatu hukum kecuali setelah benar-benar meneliti realiti yang berlaku. Ini kerana, ketepatan dalam mengeluarkan sesuatu hukum bergantung kepada ketepatan dalam memahami isu, realiti atau hakikat sesuatu yang dihukumkan. Dalam hal ini, Mufti Mesir, Syeikh Dr. Shauqi ‘Allam Hafizhahullah mengatakan seperti berikut:

إن تنزيل الأحكام الشرعية وتطبيقها على واقع الناس أمر دقيق، لا بد معه من إدراك الواقع، والإحاطة به، من خلال منظومة كاملة من العلوم، وتحرى الواقع الاجتماعي والفكري، ومعرفة عالم الأشياء والأشخاص والأحداث والأفكار، وعلاقات تلك العوالم بعضها بالبعض، فمن كان معزولًا عن الواقع، أو لا يتابعه، أو يتابعه بصورة سطحية، فإن فهمه للشرع الشريف سيكون في المقابل منقوصًا ومشوَّهًا.

Maksudnya: “Mentanzilkan hukum-hakam syarak dan pelaksanaannya ke atas realiti keadaan manusia merupakan perkara yang mendalam. Tidak boleh tidak dengannya mengenalpasti realiti dan menguasainya menerusi gugusan ilmu pengetahuan yang komprehensif. Perlu mengkaji realiti kemasyarakatan dan pemikiran. Pengetahuan terhadap alam pelbagai perkara, tokoh-tokoh, peristiwa-peristiwa dan pemikiran-pemikiran dan hubungan antara satu alam dengan yang lain. Sesiapa yang terasing daripada realiti sebenar dan tidak mengikutinya atau mengikuti secara dangkal, maka kefahamannya terhadap syariah akan menjadi tidak sempurna dan mengelirukan.”[1]

Berkenaan isu lesbian yang tular baru-baru ini, amat penting sekali untuk melihat kepada sejauh mana realiti masalah ini sedang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Ia bagi menjamin tindakan yang diambil adalah bersesuaian dengan fenomena yang sedang berlaku. Dalam hal ini Mufti Iraq, Syeikh Dr. Mahdi al-Samaida’i ketika menjawab persoalan mengenai gejala lesbian telah menegaskan:

وهكذا اتفقت كلمة العلماء على ضرب من وقعتا في السحاق بالتقدير الذي يراه القاضي ، يقضي بذلك شدة أو خفة بحسب ما يبدو له من قرائن الأحوال وانتشار الفاحشة في المجتمع ، وذلك كاف في تحقيق الردع والتخويف المناسب لحفظ المجتمعات..

Maksudnya: “Demikianlah para ulama telah bersepakat untuk menghukum sebat pasangan wanita yang terlibat dalam perbuatan lesbian berdasarkan apa yang dipertimbangkan oleh hakim. Diadili yang demikian dengan hukuman berat atau ringan bergantung kepada apa yang terlihat kepadanya daripada bukti-bukti sekeliling dan penularan perkara keji tersebut dalam masyarakat. Demikian itu memadai untuk mencapai maksud pencegahan dan memberi ancaman yang bersesuaian demi memelihara masyarakat.”[2]

Justeru itu, amat penting untuk memahami isu ini dengan melihat kepada realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat itu sendiri secara lebih holistik. Adalah tidak memadai jika ia sekadar dibincangkan dengan hanya berpandukan satu kes yang telah diputuskan di mahkamah.

Dalam konteks Malaysia, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan telah menyatakan kebimbangan terhadap penularan fenomena perilaku seks songsang iaitu Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender atau lebih dikenali sebagai LGBT. Dalam dunia perubatan, perilaku seks ini seringkali dikaitkan dengan istilah Gender Identity disorder (GID).

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), masalah perilaku seks di luar tabii ini sering mengundang pelbagai jenis penyakit seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV), Sexually Transmitted Disease (STD), chlamydia / Lymphogranuloma venereum (LGV), Hepatitis B, Herpes Simplex Virus, Human Papilloma Virus dan sebagainya. Melalui kajian Integrated Bio-Behavioral Surveillance (IBBS) yang dijalankan oleh KKM mendapati prevalens HIV adalah tinggi dalam kalangan homoseksual atau men having sex with men (MSM) berbanding dengan transgender. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa peratusnya adalah semakin meningkat dalam tempoh kajian dilaksanakan, 3.9% pada tahun 2009 kepada 8.9% pada tahun 2012. (Lihat Garis Panduan Pengendalian Masalah Kesihatan Gender di Klinik Kesihatan, hlm. iii)

Dari sudut statistik, tidak ada sebarang statistik khusus yang dicatatkan bagi mengenalpasti permasalahan ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian yang boleh dijadikan rujukan. Kajian oleh Dr. Teh Yik Koon pada tahun 1998 mendapati bahawa terdapat seramai 10 000 mak nyah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 70% - 80% adalah Melayu dan selebihnya adalah dari etnik Cina, India dan lain-lain etnik minoriti. Manakala hasil Dr. Yik pada tahun 2001 pula mendapati golongan mak nyah ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan diskriminasi terhadap seksualiti mereka. Secara umumnya lebih kurang 65% mak nyah di Malaysia bekerja sebagai pelacur, 25% bekerja sebagai penghibur kelab-kelab, salon kecantikan dan rambut serta butik, 2% adalah peniaga warung makanan dan 8% bekerja dengan syarikat swasta. Selain dari itu, kajian Teh menganggarkan terdapat 100,000 lelaki transeksual di Malaysia. Dari jumlah tersebut, 70 - 80% Melayu, selebihnya Cina, India dan golongan minoriti lain. Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Malaysian Population Family Survey pada tahun 2004 terhadap 1700 remaja mendapati 16.8% setuju dengan cara hidup homoseksual, 13.9% mengenali orang lain yang tertarik sesama jantina, 2.2% mengaku pernah melakukan hubungan seks, 0.3% pernah diperkosa / diliwat dan 0.9% pernah tertarik sesama jantina.

Melihat kepada maklumat statistik di atas, KKM berpendapat bahawa usaha ke arah pencegahan dan penularan penyakit wajar dikenalpasti dan dicegah dari peringkat awal. Kajian Integrated Biological and Behavioural Surveillance (IBBS) 2009-2014, KKM mendapati prevalen HIV semakin meningkat di kalangan MSM sepanjang tempoh tahun 2009-2014. Selain dari itu, penyakit lain yang dikenalpasti adalah kemurungan, kanser anus[3], kanser serviks[4], penyakit kardiovaskular[5], hepatitis A/B/C dan mangsa keganasan/kecederaan. (Garis Panduan Pengendalian Masalah Kesihatan Gender di Klinik Kesihatan, hlm. 6)

Bukti-bukti terbaharu juga telah menunjukkan kemungkinan pemindahan penyakit sesama wanita melalui seks, dimana virus dikesan hasil rembesan vagina sewaktu tempoh haid. Alat-alat seks juga berupaya meningkatkan risiko pemindahan HIV. (Rita Lee (2000), Health care problems of lesbian, gay, bisexual, and transgender patients, Jilid 172, June West J Med 407, hal. 403-408)

Menurut Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Datuk Dr Suhaini Kadiman, kajian terkini KKM menunjukkan 50 peratus daripada kes baru HIV yang direkodkan pada 2017 adalah berpunca dari aktiviti homoseksual dan biseksual. Jumlah tersebut 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu ambil dadah melalui suntikan. Menurutnya, kadar kes melibatkan golongan LGBT meningkat dengan mendadak setiap tahun daripada hanya 63 kes pada tahun 2000 kepada 1,697 kes pada tahun 2017.[6]

Berdasarkan realiti yang dibentangkan di atas, semua pihak sewajarnya menerima dengan insaf bahawa perlakuan golongan LGBT termasuk lesbian, bukan lagi suatu isu yang terpencil, tetapi ia telah menjadi fenomena yang sedang menular dalam masyarakat. Hal ini sudah tentu tidak boleh dipandang ringan memandangkan lesbian dan seumpamanya adalah termasuk dalam perkara yang bertentangan dengan agama, nilai budaya dan fitrah manusiawi. Bahkan, apa yang terjadi ini telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadith fitan. Antaranya hadith yang mengisyaratkan bahawa antara tanda-tanda Kiamat adalah berleluasanya kemaksiatan seperti zina.

Daripada Anas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ (وفي روايةٍ: يَقِلَّ) الْعِلْمُ، وَيَكْثُرَ الْجَهْلُ، وَيَكْثُرَ (وفي روايةٍ: وَيَظْهَرَ الجهل وَيَظْهَر) الزِّنَى، وَيَكْثُرَ شُرْبُ الْخَمْرِ، وَيَقِلَّ الرِّجَالُ، وَيَكْثُرَ النِّسَاءُ حَتَّى يَكُونَ لِخَمْسِينَ امْرَأَةً الْقَيِّمُ الْوَاحِدُ.

Maksudnya: “Antara tanda-tanda Hari Qiyamat bahawa diangkat ilmu, bertebaran kejahilan, tersebar penzinaan (dalam satu riwayat: terzahirnya kejahilan dan penzinaan), berleluasa minum arak, berkurangan lelaki dan bertambahnya wanita sehingga menjadi lima puluh orang wanita bersamaan seorang lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (no.2098)

Mulla Ali al-Qari mengatakan penularan zina berpunca daripada hilangnya sifat malu pada zaman tersebut. Rujuk Mirqat al-Mafatih (8/3428). Sedangkan lesbian dianggap kedudukannya seperti zina sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

السِّحَاقُ بَيْنَ النِّسَاءِ زِنًا بَيْنَهُنَّ

Maksudnya: “Perbuatan lesbian antara sesama perempuan adalah zina sesama mereka.”

Rujuk Majma’ al-Zawa’id (no.10548). Katanya, rijalnya thiqah. 

Terdapat juga hadith-hadith fitan dan athar yang mengisyaratkan tersebarnya perbuatan lesbian dan gay pada akhir zaman seperti hadith Anas, bahawa Baginda SAW bersabda:

إذا اسْتَحَلَّتْ أُمَّتِي خَمْسًا فَعَلَيْهِمُ الدَّمَارُ، إِذَا ظَهَرَ التَّلَاعُنُ، وَشَرِبُوا الْخُمُورَ، وَلَبِسُوا الْحَرِيرَ، وَاتَّخِذُوا الْقِيَانَ، وَاكْتَفَى الرِّجَالُ بِالرِّجَالِ، وَالنِّسَاءُ بِالنِّسَاءِ

Maksudnya: “Apabila umatku menghalalkan lima perkara, maka kehancuranlah ke atas mereka; apabila terzahir laknat melaknat, meminum arak, memakai sutera (bagi lelaki), mengambil penyanyi wanita, lelaki menjadi gay dan wanita menjadi lesbian.”

Riwayat al-Baihaqi (no. 5086) Katanya, hasan lighayrih.

Berasaskan realiti di hadapan mata, disokong dengan hadith-hadith fitan yang terang lagi nyata, fenomena penularan seks songsang seperti LGBT merupakan suatu fakta yang benar-benar sedang berlaku. Menyedari hal ini, maka adalah menjadi tanggungjawab kepada pihak yang berkuasa atau pemerintah untuk mengenakan tindakan atau hukuman atau polisi yang berkesan bagi menanganinya, demi memelihara agama, bangsa dan negara.

Begitu juga para ibubapa, pendidik, orang-orang yang berpengaruh dan masyarakat perlu memberi kecaknaan dan keprihatinan untuk sama-sama menangani isu ini dan memberikan kefahaman kepada semua pihak dengan sebaiknya.

 

Pengertian Sihaq atau Musahaqah

Ia berasal daripada “السحاق والمساحقة” yang memberi makna dan maksud perlakuan seorang wanita terhadap wanita yang lain seumpama gambaran yang dilakukan dengannya oleh lelaki. (Lihat Lisan al-Arab dan Qamus al-Muhit pada perkataan ‘سحق’. Lihat juga al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (24/251)

Perkataan lesbian dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perempuan yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya, perempuan homoseksual. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

 

Hukum Taklifi

Hukumnya adalah haram kerana ia merupakan perbuatan bersedap-sedapan (istimta’) dengan cara yang diharamkan. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Anas bin Malik R.A yang menyebut:

السِّحَاقُ زِنَى النِّسَاءِ بَيْنَهُنَّ

Maksudnya: “Sihaq merupakan zina perempuan antara mereka.

Riwayat Ibn Hibban (2/182), al-Aajurri dalam Dzamm al-Liwath (23) dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (6/269)

Daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَتِ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ فَهُمَا زَانِيَتَانِ

Maksudnya: “Apabila perempuan mendatangi perempuan (sihaq), maka keduanya dianggap sebagai penzina.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17490)

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾

Maksudnya: Dan mereka yang menjaga kehormatannya, - Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: - Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;

(Surah al-Mu’minun: 5-7)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759-760)

Beliau juga menerangkan makna kalimah al-‘adiin (العادين) dalam ayat “فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ” adalah sebagaimana amalan kaum Lut dalam firman Allah SWT:

أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٥﴾ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ ﴿١٦٦﴾

Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”

(Surah al-Syua’ra’: 165-166)

Syeikh Muhammad Abu Zahrah Rahimahullah berkata: “Isyarat kepada mereka yang mencari selain daripada halal dan isyarat kepada sifat padanya adalah keterangan bahawa ini merupakan illah hukum dan hukumnya adalah mereka yang melampau, zalim dan melebihi had sempadan halal kepada yang haram. Justeru, dia dianggap zalim kerana melakukan yang haram, zalim terhadap keturunannya, zalim terhadap masyarakat dan lain-lain. (Lihat Zahratu al-Tafasir, 10/5048)

Justeru, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah telah menyatakan bahawa hukum sihaq adalah termasuk dalam dosa besar. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtirafi al-Kaba’ir, 2/119)

Kami nyatakan di sini ibarat nas fuqaha’ berkenaan dengan pengharaman sihaq:

 

Hukuman Sihaq

Sepakat di kalangan ulama dan fuqaha bahawa tiada hukuman had atau hudud kepada perlakuan sihaq kerana ia bukanlah maksud zina yang sebenar tetapi wajib padanya dikenakan ta’zir kerana ia maksiat. (Lihat Fath al-Qadir, 5/42; Hasyiah al-Dusuqi, 4/316; Raudhah al-Talibin, 7/310; Syarh Raudh al-Talib, 4/126; Kassyaf al-Qina’, 6/95)

Mufti Iraq, Syeikh Dr. Mahdi al-Samaida’i berkata: “Demikianlah para ulama telah bersepakat untuk menghukum sebat pasangan wanita yang terlibat dalam perbuatan lesbian berdasarkan apa yang dipertimbangkan oleh hakim. Diadili yang demikian dengan hukuman berat atau ringan bergantung kepada apa yang terlihat kepadanya daripada bukti-bukti sekeliling dan penularan perkara keji tersebut dalam masyarakat. Demikian itu memadai untuk mencapai maksud pencegahan dan memberi ancaman yang bersesuaian demi memelihara masyarakat.”[7]

Ini bererti hukuman bagi pesalah lesbian bukan hudud, tetapi sepakat ulama bahawa ia adalah ta`zir, termasuklah dengan sebatan.

 

Hukum Wanita Lesbian Melihat Wanita Muslimah

Para fuqaha’ Syafi’iyyah telah khilaf berkenaan dengan hukum melihat seperti di atas.

Sebahagian ulama Syafieyyah hanya membenarkan membuka aurat yang zahir ketika bekerja sahaja yakni kepala, leher dan tengkuk, tangan hingga bahu dan kaki sehingga lutut. Wanita yang fasik dikategorikan bersama dengan wanita bukan Islam yang tidak aman wanita muslimah apabila bersama dengan mereka.

(Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 5/238; Hasyiah al-Dusuqi, 1/213; Nihayah al-Muhtaj, 6/194; Tuhfah al-Muhtaj, 7/200; Mughni al;-Muhtaj, 3/132; al-Qalyubi wa Umairah, 3/211; Hasyiah al-Jamal, 4/124; Syarah Raudh al-Talib, 3/111; dan Kassyaf al-Qina’, 5/15)

 

Pengertian Ta’zir dan Hukumannya

Kami nyatakan di sini berkenaan dengan hukum ta’zir dari segi pengertian dan hal berkaitan dengannya.

Ta’zir daripada perkataan “عزَّرَ يعزِّر تعزيرًا” merupakan masdar. Ia memberi maksud menolak atau menghalang. Dikatakan juga memberi sokongan dan membantu kerana seseorang itu menolak musuhnya daripada untuk menyakitinya. Ta’zir juga dengan makna menguatkannya dan juga dengan makna mengakhlakkannya atau mendisiplinkannya. Ia termasuk daripada asma’ al-adhdad (nama-nama yang ada bertentangan makna).

Dinamakan ‘uqubah atau hukuman dengan ta’zir kerana daripada sifatnya akan dapat menolak penjenayah dan menjarakkannya dari melakukan jenayah atau kembali kepada perbuatan tersebut.

Pada istilahnya pula, ta’zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadar oleh Syarak yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya. (Lihat al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina’, 4/72; Al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; Qalyubi, 4/205. Berkata al-Qalyubi, dhabit ini berdasarkan kepada ghalib. Kadang-kadang disyariatkan ta’zir sedangkan tiada dikira maksiat seperti mendidik kanak-kanak dan orang kafir. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/254)

Guru kami, Syeikh Mustafa Khin dan lain-lain menyebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/227-228): Ta’zir adalah suatu hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh Syara’. Hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta'zir.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:

لَيْسَ عَلَى الَّذِى يَأْتِى الْبَهِيمَةَ حَدٌّ

Maksudnya: “Tiada hukuman hudud bagi orang yang menyetubuhi haiwan.”

Riwayat al-Tirmizi (1455) dan Abu Daud (4465)

Mengikut jumhur ulama’, asal pada ta’zir adalah disyariatkan pada setiap maksiat yang tidak dikenakan hukuman hadd dan kaffarah. Tujuannya untuk mengislah dan membaikkan manusia. Al-Zaila’ie berkata, tujuan daripada ta’zir adalah pencegahan. Dinamakan juga dengan ta’zirat sebagai zawajir ghairu al-muqaddarah yang memberi maksud hukuman-hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 3/207)

 

Maksiat yang Disyariatkan Ta’zir

Perkataan maksiat memberi maksud perlakuan yang diharamkan atau meninggalkan yang difardukan. Ijma’ ulama’ dan fuqaha’ bahawa meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram adalah maksiat yang dikenakan ta’zir selama mana tiada di sana hukuman hadd yang telah ditetapkan. (Lihat Tabsiratul Hukkam, 2/366-367; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; al-Siyasah al-Syar’iyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 55; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 10)

Contoh kesalahan yang dikenakan ta’zir seperti:

 

Pemerintah Berhak Melakukan Ta’zir

Ta’zir adalah hukuman yang diserahkan kepada pendapat pemerintah. Inilah pendapat Malikiyyah, Syafi’iyyah, Hanabilah dan yang rajih di sisi Mazhab Hanafi.

Pemerintah boleh menentukan hukuman ta’zir dengan meraikan serta melihat kesan jenayah dan penjenayah. Adapun meraikan kesan jenayah, para fuqaha’ telah menyebut dalam nas yang banyak. Antaranya:

Adapun meraikan keadaan penjenayah atau pesalah maka kata al-Zaila’ie, ia perlu dilihat kepada keadaan pesalah tersebut.

Justeru, Ibn Abidin berkata, ta’zir adalah khilaf berdasarkan keadaan manusia. Makanya, tiada makna dalam memberi penentuan sedangkan terhasil maksud selain daripadanya. Hukuman yang diserahkan kepada qadhi atau hakim hendaklah dilaksanakan berdasarkan kepada kefahaman tentang maslahat yang terdapat padanya. (Lihat Hasyiyah Ibnu ‘Abidin, 3/183)

 

 

Ta’zir dengan Sebatan

Sebatan pada ta’zir adalah disyariatkan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

لاَ يُجْلَدُ أَحَدٌ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلاَّ فِى حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “Seseorang tidak boleh disebat lebih dari sepuluh kali sebatan, kecuali pada hukuman hudud.”

Riwayat Muslim (4557)

Pelaksanaan hukuman ta’zir telah dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan mereka yang datang selepasnya serta tiada seorang pun yang mengingkari. (Lihat Al-Mughni, 10/348; Tabsirah al-Hukkam, 2/200; dan al-Hisbah, hlm. 39)

Sebenarnya, isu kadar bilangan sebatan dalam kes ta’zir telah menjadi khilaf ulama’ berdasarkan jenayah dan kesalahan yang dilakukan. (Sila rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/265)

 

Definisi Sebat

Perkataan sebatan ini atau dalam Bahasa Arabnya al-jald diambil daripada perkataan al-jild yang membawa maksud kulit. Menurut Ibn Manzur Rahimahullah, perkataan al-jald adalah kata terbitan daripada perkataan asalnya yang membawa maksud pukulan atau deraan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 12/25).

Imam Ibn Qudamah Rahimahullah menjelaskan bahawa al-jald boleh difahami sebagai memukul dengan cemeti (al-sawt) (Lihat al-Mughni wa Yalihi Sharh al-Kabir, 10/28)

Kami sendiri pernah menyaksikan bentuk sebatan dan caranya seperti yang dijelaskan oleh mereka yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya di negara luar. Justeru, kami menyimpul bahawa terdapat perbezaan ketara antara sebatan syarak dan sebatan sivil. Sebatan dalam Islam bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan kesalahan.

Kriteria Alat Sebat

Di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan bahawa alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.[8]

 

Kaedah Sebatan

Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah  menjelaskan kaedah sebatan iaitu dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan). (Lihat al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah, hlm. 101)

Secara ringkasnya, dinyatakan beberapa syarat utama perlaksanaan kaedah sebatan itu sebagaimana yang terkandung di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560):

Selain itu, sebatan ditekankan agar tidak boleh mengenai muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit dan ianya secara sengaja tidak melukakan pesalah. Melihat kepada huraian di atas, dapat kita fahami bahawa sebatan dalam Islam adalah pukulan menggunakan alat yang tertentu dan dikhususkan tanpa menembusi isi serta tulang dengan menggunakan tenaga secara sederhana.

Ia sama sekali berbeza dengan sebatan sivil yang merupakan pukulan kuat yang terhasil daripada hayunan yang tinggi serta difokuskan kepada satu bahagian tubuh badan sahaja yang pastinya akan menembusi kulit.[9]

 

Kehadiran Menyaksikan Pelaksanaan Sebat

Di dalam al-Quran Allah SWT apabila menceritakan hukuman had ke atas pelaku zina iaitu sebatan sebanyak 100 kali, turut memerintahkan kepada kelompok kaum muslimin untuk sama-sama menghadiri proses perlaksanaan hukuman tersebut. Ini dapat dilihat di dalam firman-Nya yang menyebut:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: "...maka hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan)."

(Surah al-Nur: 2)

Kata Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur Rahimahullah (w.1393H) dalam tafsirnya:

“Allah SWT memerintahkan kelompok kaum muslimin untuk menghadiri perlaksanaan had zina sebagai tahqiq akan telah tertegaknya hukum had, juga sebagai ancaman ke atas sikap bermudah-mudahan dalam melakukannya. Ini kerana, sesuatu yang dilakukan secara tersembunyi adalah merupakan jalan untuk ia dilupakan. Sekiranya umat islam tidak menyaksikan perlaksanaan hukuman tersebut, boleh jadi mereka akan tertanya-tanya ke atas ketiadaan perlaksanaan tersebut.

... Pada arahan ini juga terdapatnya faedah lain iaitu, di antara maqasid hudud bersama-sama dengan hukuman ke atas penjenayah adalah supaya menimbulkan ketakutan ke atas orang lain. Dan dengan kehadiran sekumpulan orang beriman, maka yang hadir dapat mengambil peringatan serta menjauhinya (jenayah) serta akan tersebarlah bicara mengenainya apabila yang hadir menyampaikannya kepada yang tidak hadir.

Kelompok yang dimaksudkan di dalam ayat adalah:  sekelompok manusia. Namun para ulama berbeza pendapat tentang kadar bilangan manusia yang hadir tersebut. Pada zahirnya, ia adalah bilangan yang begitu ramai sehingga boleh menyebabkan maklumat tersebar dengan meluas dan ini berbeza berdasarkan tempat. Pendapat yang masyhur di sisi Imam Malik, jumlah khalayak yang hadir adalah dua orang ke atas. Pendapat lain pula mengatakan: 10 orang.”

Rujuk Al-Tahrir wa Al-Tanwir (19/252).

Imam Mujahid bin Jabr Rahimahullah (w.104H) berpendapat bahawa yang dituntut untuk hadir adalah seorang lelaki dan lebih dari itu sehingga ke jumlah seribu orang. Manakala Syeikh Ibn Zaid Rahimahullah pula berpendapat bahawa jumlah yang hadir menyaksikan perlaksanaan had itu mestilah seramai empat orang sebagai qiyas kepada saksi zina. Inilah juga pendapat Imam Malik dan Imam Al-Syafie Rahimahumallah. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 12/148).

Para fuqaha berbeza pendapat tentang perintah ke atas orang beriman untuk hadir ke perlaksanaan hudud daripada ayat tersebut, adakah ia membawa hukum wajib ataupun sunat. Berikut merupakan perincian terhadap isu tersebut: Zahir perintah dalam ayat tersebut menunjukkan akan kewajipan hadir.

Jumlah Kehadiran Saksi Hukuman Mengikut Mazhab

Para ulama’ telah khilaf dalam isu ini.

 

Kenyataan Ulama Tentang Kewajaran Hukuman Sebat

Berikut kami nyatakan kenyataan para cendekiawan tentang kewajaran hukuman sebat:

“Kita harus menyedari bahawa hukuman sebat (sivil) seperti yang dijalankan di penjara-penjara di Malaysia dan Singapura tidak mengikut undang-undang Islam dan mungkin tidak sesuai dengan kehendak undang-undang Islam. Tujuan undang-undang Islam bukan semata-mata hendak menyakitkan dan mencederakan seseorang akan tetapi tujuannya ialah memberi ajaran dan amaran kepada orang-orang yang melakukan jenayah dan juga orang ramai.”

Lihat kertas kerja Hukuman Sebat di dalam Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Awam di Malaysia (hlm. 28)

 “Kebanyakan pemerintah cuba menggagalkan perlaksanaan hukuman syarak terhadap penzina, peminum arak, pencuri dan penuduh zina atas dakwaan ianya kejam dan keras. Tindakan mereka ini pantas seperti mana usaha mereka menghalalkan sebatan ke atas tubuh dengan cemeti sehingga darah bercampur dengan daging.”

Rujuk Halal dan Haram dalam Islam (hlm. 512)

“Tidak boleh pukulan tersebut tertumpu pada satu tempat sahaja. Ini kerana ianya boleh membawa kepada luka dan koyaknya kulit…. Hukuman sebat tidak membawa kepada kebinasaan. Ini kerana ia adalah hukuman untuk mencegah bukan hukuman untuk membunuh… Apakah menjadi aib ketika mana ada individu yang mahu tunduk kepada undang-undang dan juga taat pada syarak? Siapa yang suka untuk mengkritik hukuman ini, maka katakanlah bahawa dunia ini salah (ketika mengaplikasikan hukuman ini) dan dia sahaja yang betul. Bahkan katakanlah apa yang dia mahu. Sesungguhnya tidak tidak mampu untuk membuktikan bahawa hukuman ini tidak diperlukan.”

Rujuk al-Tasyri` al-Jinai’i al-Islami (1/550 & 2/398-399)

 

Kes Sebatan di Terengganu

 

Kami bahagikannya kepada tiga:

 

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir (Terengganu) 2001 memperuntukkan seksyen-seksyen berikut bagi kesalahan musahaqah:

Seksyen 30. Musahaqah.

Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

 

Seksyen 59. Percubaan.

(1) Mana-mana orang yang cuba-

dan dalam percubaan itu melakukan apa-apa perbuatan ke arah pelakuan kesalahan itu hendaklah, jika tiada peruntukan nyata dibuat oleh Enakmen ini atau undang-undang bertulis lain itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, bagi hukuman percubaan itu, dihukum dengan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

(2) Apa-apa tempoh pemenjaraan yang dikenakan sebagai hukuman bagi suatu percubaan untuk melakukan suatu kesalahan atau untuk menyebabkan suatu kesalahan dilakukan tidak boleh melebihi satu perdua daripada tempoh maksimum pemenjaraan yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

 

Pada 8 September 2018, tuduhan ke atas kedua-dua Yang Kena Tuduh (nama-nama dirahsiakan), masing-masing adalah wanita yang berumur 32 dan 24 tahun,  telah didengar di dalam Mahkamah Terbuka, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu dalam kehadiran Pendakwa Syarie dari Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu. Kes didengar di hadapan Hakim Syarie, Yang Arif Tuan Haji Kamarulazmi bin Ismail. Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 59 (1) yang dibaca bersama dengan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir (Terengganu) 2001. Mahkamah menerima permohonan Pendakwa Syarie untuk membenarkan kes kedua-dua OKT didengar secara bersama kerana melibatkan kesalahan yang sama dan mereka ditangkap dalam kejadian yang sama secara berpasangan.

Kedua-dua OKT ditangkap pada 8 April 2018, kira-kira jam 1.50 petang kerana cuba melakukan perhubungan seks di Dataran Arena Square, Dungun, Terengganu oleh sepasukan Penguatkuasa Syariah Daerah Dungun, berdasarkan maklumat yang diterima. Kedua-dua OKT ditangkap dalam kereta yang bercermin gelap dan diparkir secara mencurigakan. Kedua-dua OKT, bagaimana pun, memberikan kerjasama apabila diarahkan pintu dibuka dan pihak penguatkuasa menemui alat kemaluan lelaki tiruan berada di bawah belakang kerusi pemandu dan sehelai seluar dalam wanita. Mereka kemudian dibawa kepada Pejabat Agama Daerah Dungun.

Pada 29 Julai 2018, Mahkamah menerima pengakuan daripada kedua-dua OKT setelah pertuduhan dibacakan sekali lagi kepada kedua-dua OKT. Mahkamah sebelum menerima pengakuan tersebut mencelah dengan bertanya kedua-dua OKT sama ada mereka berdua ingin menukar pengakuan kepada pengakuan bersalah atau ingin dibicara, ada sebarang unsur paksaan, ugutan atau pun dorongan untuk membuat pengakuan. Mereka mengesahkan bahawa tiada unsur-unsur demikian dalam pengakuan mereka dan pengakuan itu dilakukan secara sukarela tanpa pengaruh luar. Mahkamah juga mencelah dengan soalan meminta kepastian keadaan diri OKT secara mental dan fizikal semasa membuat pengakuan dan kedua-dua OKT mengesahkannya. Mahkamah juga telah memaklumkan kepada kedua-dua OKT peringatan bahawa setiap kesalahan yang disabitkan melalui pengakuan salah, rayuan tidak boleh dibuat melainkan tentang kadar hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah sahaja. Mereka masing-masing faham dan mengekalkan pengakuan mereka.

Mahkamah kemudian membacakan ringkasan fakta kes dan meminta pengakuan daripada OKT. Kedua-dua mereka bersetuju dan tidak mempunyai bantahan terhadap fakta kes. Mereka kemudian dibawakan barang-barang kes yang dijumpa semasa tangkapan. OKT 1 mengaku memiliki satu set alat kelamin lelaki tiruan dan OKT 2 mengaku memiliki seluar dalam wanita yang ditemui sewaktu tangkapan. Mahkamah sekali lagi bertanya kepada kedua-dua OKT sama ada mahu mengekalkan pengakuan atau menarik balik. Mereka masing-masing mengekalkan pengakuan bersalah mereka.

Mahkamah meneruskan prosiding dengan sesi rayuan terhadap hukuman (mitigation). Mahhkamah mendengar rayuan mereka secara inquisitorial bagi mendapatkan gambaran dan hal keadaan kedua-dua Pesalah untuk memastikan keadilan ditegakkan. Masing-masing Pesalah membuat rayuan hukuman yang dibuat atas faktor kedudukan sosioekonomi, dan penyesalan. Mereka juga mengakui bahawa kejadian itu benar-benar membuat mereka insaf dan bertaubat. Mereka juga sudah mula bersolat sedangkan sebelum itu mereka cuai daripada menjalankan peraturan agama Islam. Mengikut sumber yang dipercayai, kedua-dua Pesalah telah diberikan kaunseling agama oleh ustazah yang dilantik pihak autoriti untuk membimbing mereka ke arah fitrah Islam setelah tangkapan dibuat dan sebelum prosiding.

Pada 28 Ogos 2018, Hakim menghukum sabit bersalah ke atas kedua-dua Pesalah masing-masing dengan hukuman denda RM3,300.00 dan dikenakan hukuman sebat sebanyak 6 kali sebatan.

 

 

Perlaksanaan hukuman sebat bagi kedua-dua Pesalah berlangsung pada 3 September 2018 dan dilakukan secara tertutup di Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dengan dihadiri 100 orang terdiri daripada wakil media, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil persatuan peguam tanpa sebarang keizinan jua kebenaran diberikan untuk dibawa masuk bersama mereka kamera dan telefon bimbit.

 

Kronologi Hukuman Sebat: [10]

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Reaksi Tokoh-Tokoh

 

Pengamal Undang-Undang

“Janganlah anggap dua pesalah wanita ini hina, orang yang buruk dan jelik kerana apabila mereka bersedia menerima hukuman ia adalah tanda sudah insaf dan sedar atas kesilapan….Sebatan dalam syariah bukan untuk mencederakan, menyeksa, dan mengazabkan pesalah. Mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam dan memberi gambaran bagaimana hukuman syariah itu adalah satu hukuman yang berbentuk mendidik dan bukan untuk menyeksa,”[11]

 

Kelantan sudah pun mengenakan hukuman sebatan secara terbuka terhadap 13 individu yang menyalahi undang-undang di bawah  Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 sejak diperkenalkan di negeri ini. Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 10 kes termasuk kesalahan mukadimah zina dan minum minuman yang memabukkan seperti arak. Menurutnya, enakmen ini diamalkan bermula tahun 1985 dan sejak itu hukuman sebatan secara terbuka sudah dikuatkuasakan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan syariah di negeri ini. Sebatan ini pula dijalankan di dalam penjara dengan disaksikan lebih 10 orang termasuk pegawai penguat kuasa dan orang ramai. "Sebatan juga boleh dilakukan di dalam mahkamah terbuka, tertakluk kepada hakim yang memiliki bidang kuasa untuk menentukan di mana-mana tempat perlaksanaannya. Cuma kalau dibuat di padang terbuka, perlu diambil kira soal keselamatan kerana lebih ramai orang akan melihatnya.”[12]

 

Beliau bersetuju dengan hukuman yang dilaksanakan di Terengganu dan menceritakan permulaan undang-undang digubal oleh jawatankuasa teknikal dan juga sejarah undang-undang-undang tersebut diqanunkan.[13]

 

“Sebatan syariah amat berbeza dengan rotan di mahkamah sivil yang mencederakan pesalah sivil sudah pasti ada yang akan pengsan..Amat tidak benar dan mengelirukan jika mengatakan sebatan syariah adalah kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah…Sebatan dijatuhkan oleh mahkamah sivil memang tidak dibenarkan terhadap wanita disebabkan sifatnya yang kejam dan mencederakan. Sepatutnya apa yang perlu dilakukan ialah menuntut sebatan ini dimansuhkan. Mungkin ada golongan tertentu yang beranggapan kerana ia hanya dikenakan kepada lelaki, maka tidak apalah hukuman tersebut walaupun ia amat kejam dan menyakitkan. Pendekatan ini amat pelik.”[14]

 

Ashab al-Samahah Mufti-Mufti

 

“Pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita di Terengganu perlu dinilai dari hikmah undang-undang Islam dan bukannya berdasarkan perspektif politik. Berbeza sudut politik, undang-undang Islam menilai hukuman berkenaan sebagai satu pengajaran bukan sahaja kepada pelaku tetapi orang ramai. Istilah bengis hanya sekiranya terdapat sebarang bentuk cakaran atau bunuh, bagaimanapun hukuman dilaksanakan itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan. Mana-mana pihak juga tidak perlu mempertikaikan hukuman dijalankan secara terbuka kerana sememangnya perlu dilakukan dikhalayak agar dapat dijadikan pengajaran dan didikan.”[15]

 

“Perkara sebegini tak perlu dipertikai kerana hukuman dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Kena hormatilah kerana hukum tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan yang ada dalam Islam…Dalam Islam, memang ada dalil yang membenarkan hukuman dijalankan di depan khalayak supaya menjadi pengajaran kepada yang lain. Jadi usah kita pertikai kerana perkara ini bukan rekaan manusia…Apabila Allah menetapkan sesuatu, sudah tentu ada pengajaran yang amat besar di sebaliknya. Hakim yang menjatuhkan hukuman itu juga sudah tentu memiliki ilmu agama yang tinggi dan mempunyai kelayakan secukupnya…Bagi mereka yang tidak memahami, itu lain cerita tetapi buat individu yang sedar dan tahu tetapi masih mahu mempertikai, tindakan itu mampu membawa implikasi besar kepada akidah mereka.”[16]

 

“Perbuatan lesbian tidak termasuk di dalam kategori kesalahan hudud, justeru ia hanya dikenakan hukuman ta'zir yang diserahkan kepada budibicara mahkamah atau pihak kerajaan untuk menentukannya sama ada sebatan, penjara, denda atau cara-cara lain yang difikirkan wajar dan sesuai supaya menjadi pengajaran kepada pelakunya dan juga kepada masyarakat…Tindakan sebat yang dilaksanakan itu mesti disokong oleh semua pihak demi untuk mencegah perbuatan keji dan terkutuk ini daripada merebak di dalam masyarakat yang akhirnya mampu mengheret bangsa dan negara ke jurang keruntuhan…Malah dilihat dari perspektif Islam, mecegah perbuatan keji dan tidak bermoral adalah sebahagian daripada tanggungjawab pihak berkuasa seperti mana yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an, surah Al-Haj: 61.”[17]

 

“Tak perlu dikaji semula proses sebatan pesalah undang-undang syariah…Langkah terbabit tidak wajar dilihat semula memandangkan pelaksanaan hukuman itu tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada…Hukuman sebatan yang berlaku di Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam adalah mengikut undang-undang syariah yang ditetapkan…Sekiranya hukuman sebat yang dijalankan bercanggah dengan undang-undang, maka ia wajar di kaji semula….Namun, jika kajian semula yang ingin dijalankan adalah bagi tujuan penambahbaikkan, mungkin ia boleh dilakukan.”[18]

 

“Saya berpendapat hukuman sebat itu lebih berperikemanusiaan berbanding sebat dalam undang-undang sivil, ia tidak mencederakan sebaliknya hanya bersifat mendidik, memberi peringatan kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan dilarang Allah contohnya hubungan sejenis seperti lesbian…Saya rasa mereka yang membantah itu lebih baik mengkritik terlebih dulu hukuman sebat dalam undang-undang sivil yang lebih memudaratkan seperti merosakkan anggota badan.”[19]

 

“Rata-rata hari ini orang Islam tidak mengetahui apa yang ada dalam syariat sehingga menganggap hukuman itu (hukuman sebat) sengaja diada-adakan. Sepatutnya orang Islam sudah tahu hukum sejak mula baligh, kena belajar dan akhirnya tidak akan timbul masalah dan salah faham…Mereka yang rasa begitu (hukuman sebat beri imej buruk kepada Islam) kerana mereka jahil tentang hukum Islam sedangkan hukum Allah lebih cantik. Malah dalam kes di Terengganu, pesalah sendiri reda, mengaku salah dan tidak bantah hukuman dijalankan. Disebabkan kejahilan, orang Islam sendiri memandangnya tidak adil dan tidak berperikemanusiaan. Di mana tidak adil dan tidak berperikemanusiaan itu, saya tidak tahu.”

Berkenaan terdapat pandangan bahawa perlakuan LGBT adalah hak individu, jawab beliau “LGBT adalah jenayah dalam Islam, ada kisah umat Nabi Lut yang Allah murka, tetapi sampai hari ini ada yang kata kasihan kepada golongan itu. Ramai yang menganggap mencuri, membunuh, mencedera dan memukul orang sahaja jenayah. Tetapi mereka tak sedar homoseksual dan lesbian juga jenayah dalam Islam.” [20]

“Pihak kami berpandangan hukuman itu mestilah dihormati oleh semua pihak kerana ia dibuat berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang di Negeri Terengganu. Tidak timbulnya ianya satu hukuman zalim kerana melibatkan hukuman sebat.”

“Kenapa pula mereka mempertikaikan cara syariah ini, sedangkan mereka tidak mempertikaikan cara sebatan pada kesalahan di mahkamah sivil yang jelas bercanggah dengan syariat dan tidak berperikemanusiaan? Mereka sepatutnya berusaha mengubah bentuk sebatan itu supaya selaras dengan kehendak syariat yang lebih mementingkan pengajaran daripada mencederakan pesalah dalam hal sebatan itu.”[21]

 

Menjawab Kekeliruan “Hukuman Pesalah Lesbian Bertentangan Dengan Al-Quran Kerana Melibatkan Intipan Dan Dosa Peribadi.”

Pada asasnya, suatu kesalahan syariah itu mestilah dizahirkan untuk memberi kuasa kepada pegawai  amar makruf nahi munkar (dalam bahasa semasa ialah pegawai penguatkuasa) untuk menangkap seterusnya dibawa ke hadapan hakim untuk dibicarakan. Orang awam, bahkan pegawai penguatkuasa, dilarang mengintip dan mencari-cari kesalahan yang dibuat secara sembunyi. Ini kerana Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah al-Hujurat: 110)

Berkata Imam Fakhruddin al-Razi mengenai larangan mengintip dalam ayat ini:

“Kemudian Allah SWT berfirman, “Janganlah kamu mengintip,” untuk menyempurnakan mesej sebelum itu apabila Allah Taala berfirman, “Jauhilah kebanyakan dari sangkaan…” Ini memberi kefahaman bahawa perkara yang diambil kira adalah keyakinan. Jika seseorang berkata: “ana aksyifu fulanan” (aku  tentang seseorang,” ertinya “aku berilmu tentangnya secara yakin dan aku mengetahui tentang aibnya secara penyaksian. Lalu aku segan dan aku hindarinya,” Allah melarang mengikut-ikut prasangka ertinya jangan kalian bersungguh-sungguh mencari secara yakin akan aib-aib manusia.” Rujuk Mafatih al-Ghayb (28/110)

Pun begitu, terdapat pengecualian yang ulama tetapkan bagi larangan mengintip itu. Perkara ini diulas oleh Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur dalam tafsirnya:

“(Perbuatan mengintip) itu adalah pencerobohan terhadap persaudaran atas dasar Islam. Ini kerana ia memiliki elemen penyamaran. Apabila mangsa intipan itu mengetahui perbuatan pengintipnya, maka itu akan menyakitinya dan timbullah perasaan benci kepada pengintip itu. Kemudian akan berlaku pencerobohan lain pula daripada pihak yang diintip dan berterusanlah dendam antara saudara seislam. Mulanya larangan mengintip itu hanyalah dikira larangan kecil jika dikaitkan semata-mata dengan intipan, tetapi ia menjadi dosa besar apabila mengakibatkan mafsadah yang meluas. Ini termasuklah jenis intipan ke atas orang-orang Islam dengan niat mendatangkan mudarat kepada mereka. Justeru, intipan yang dilarang ialah intipan yang tidak mendatangkan manfaat kepada orang Islam atau menghilangkan suatu mudarat daripada mereka. Maka, larangan intipan ini tidak termasuk intipan kepada musuh (Islam) dan intipan pihak polis terhadap para penjenayah dan perompak.”

Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir (26/254).

Maka, daripada sudut fiqh, kita boleh lihat para ulama membenarkan intipan dan penyiasatan khususnya dalam kes yang melibatkan intihak al-hurmah (pencerobohan kehormatan seseorang). Tentang perkara ini, Syeikh Abdul Qadir Audah berbahas seperti berikut:

“Ini kerana bagi rumah-rumah manusia itu ada kehormatan; bagi setiap individu itu juga ada kehormatana. Maka tidak boleh seseorang mencabul kehormatan tersebut (dengan mengintip) sebelum maksiat itu dizahirkan… Pengharaman perbuatan mengintip, mencari-cari aib menuntut seseorang insan itu agar jangan mencuri dengar daripada rumah orang lain untuk mendengar bunyi nyanyian dan muzik (yang diharamkan); jangan juga untuk memcium-cium bau untuk mendapatkan bau arak dan ganja. Tidak boleh juga untuk meraba-raba pakaian orang untuk mengetahui apa yang disembunyikan di bawahnya. Tidak boleh memasuki rumah orang untuk mencari apa-apa yang disorok di dalamnya. Bahkan tidak boleh dia bertanya kepada jiran seseorang untuk mengetahui kegiatan jirannya.

Akan tetapi, sekiranya kuat pada prasangka seseorang itu akan cubaan menyembunyikan maksiat oleh seseorang, berdasarkan bukti-bukti yang menunjukkan kepada itu, atau berdasarkan pengkhabaran seseorang yang disangka yang kuat adalah seorang yang jujur seperti dia terbau ganja yang datang daripada rumah seseorang, atau dia mengkhabarkan mendengar bunyi tembakan atau jeritan meminta tolong, atau daripada khabar seseorang yang memang dipercayai kejujurannya bahawa seorang lelaki sedang berkhalwat dengan seorang wanita untuk berzina dengannya atau dengan lelaki untuk membunuhnya, maka dibenarkan dalam keadaan itu untuk mengintip, mencari-cari dan menyiasat, sebagai langkah berhati-hati daripada luputnya suatu kehormatan yang tak mungkin didapati semula dan daripada berlakunya perkara-perkara yang dilarang.” (Rujuk al-Tasyri` al-Jinaie al-Islami, 1/503-504).

Pengecualian ini begitu banyak disebut dalam kitab ulama silam seperti Raudhah al-Tolibin (10/220) oleh Imam al-Nawawi; Asna al-Matolib (4/180) oleh Syeikhul Islam Zakariyyah al-Ansari, bahkan beliau menaskan sebagai wajib untuk diintip; Mughni al-Muhtaj (6/11) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini dan Ghayah al-Bayan (hlm.21) oleh Imam Syamsuddin al-Ramli.

Kami kemukakan di sini beberapa hadis yang menunjukkan amalan para salaf tentang bagaimana mereka memahami larangan intipan di dalam al-Quran dan pengecualiannya. Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةَ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا , فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسِتْرِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَلْيَتُبْ إِلَى اللهِ ، فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ كِتَابَ اللهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Jauhilah kamu sebarang perbuatan keji yang dilarang Allah. Barangsiapa melakukannya maka hendaklah dia bersembunyi dengan tirai Allah (Sitr di sini membawa maksud tirai atau tabir, yakni bersembunyi dengan pengetahuan Allah atau perbuatan Allah yang tidak membongkarkan perbuatan kita) dan bertaubatlah kepada Allah, kerana sesungguhnya orang yang mendedahkan kepada kami safhah (sijil atau rekod kesalahannya), kami akan laksanakan hukuman (hadd) ke atasnya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17601, 17602) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8158). Beliau berkata hadis mengikut syarat Syaikhan.

Hadis ini memberikan istifadah, antaranya:

 

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِه وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan);

(Surah al-Syura: 25)

فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ كِتَابَ اللهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: …kerana sesungguhnya orang yang mendedahkan kepada kami safhah (sijil atau rekod kesalahannya), kami akan laksanakan hukuman (hadd) ke atasnya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17601, 17602) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8158). Beliau berkata hadis mengikut syarat Syaikhan.

Adapun hadis:

أَقِيلُوا ذَوِى الْهَيْئَاتِ عَثَرَاتِهِمْ

Maksudnya: “Maafkanlah ketergelinciran dzawil hai’ah (orang-orang yang baik namanya).”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (465), Abu Daud (4377) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17089).

Imam al-Syafi’i berkata’, aku mendengar ulama’ menafsirkan hadis ini dengan berkata: “Iaitu hukuman terhadap lelaki yang bermaruah boleh diringankan selama mana bukan masalah hadd atau hudud.”

Imam al-Mawardi dalam menafsirkan al-‘asarat (العثرات) berkata padanya terdapat dua wajah:

Pertama: Dosa-dosa kecil.

Kedua: Maksiat pertama yang dilakukan oleh seseorang yang taat.

Sesuatu yang disepakati dalam kalangan manusia bahawa dzawil hai’at (orang-orang yang baik namanya) ialah mereka yang mempunyai tingkah laku yang terpuji, yang memelihara maruah dan akhlak-akhlak yang mulia.

Berikut kami bawakan beberapa contoh hukuman sebat yang pernah dijatuhkan pada zaman para sahabat sebagai ta’zir dalam kes-kes percubaan. Antaranya adalah seperti berikut:

رُفِعَ إلى النُّعْمَانِ بن بَشِيرٍ رَجُلٌ أَحَلَّتْ له امْرَأَتُهُ جَارِيَتَهَا فقال لأَقْضِيَنَّ فيها بِقَضِيَّةِ رسول اللَّهِ لَئِنْ كانت أَحَلَّتْهَا له لأَجْلِدَنَّهُ مِائَةَ جَلْدَةٍ وان لم تَكُنْ أَحَلَّتْهَا له لأَرْجُمَنَّهُ قال فَوَجَدَهَا قد أَحَلَّتْهَا له فَجَلَدَهُ مِائَةً

Maksudnya: “Diangkat kepada al-Nu’man bin Basyir bahawa terdapat seorang lelaki yang isterinya telah menghalalkan hamba sahayanya untuknya. Lalu al-Nu’man berkata: Aku akan menghakiminya dengan penghakiman Rasulullah SAW. Jika isterinya telah menghalalkan hamba sahayanya untuknya maka aku akan menyebatnya seratus kali sebatan, jika isterinya tidak menghalalkannya baginya maka aku akan merejamnya. Lalu al-Nu’man mendapati bahawa isterinya telah menghalalkannya untuknya maka al-Nu’man telah menyebatnya seratus kali.”

Riwayat Ahmad dalam Musnad-nya (no.18421)

 

عن ظبيان بن عمارة قال أُتِيَ عَلِيٌّ بِرَجُلٍ وَامْرَأَةٍ، قَالَ رَجُلٌ: إِنَّا وَجَدْنَاهُمَا فِي لِحَافٍ وَاحِدٍ، وَعِنْدَهُمَا خَمْرٌ وَرَيْحَانٌ، قَالَ عَلِيٌّ: «مَرْئِيَّانِ خَبِيثَانِ، فَجَلَدَهُمَا، وَلَمْ يَذْكُرْ حَدًّا»

Maksudnya: Daripada Zibyan bin Imarah, beliau berkata: Ali telah didatangi dengan seorang lelaki dan wanita. Lalu berkata lelaki (yang lain): Kami temui kedua-duanya dalam satu selimut dan di sisi kedua-duanya arak dan bau arak. Lalu Ali berkata: Dua pemandangan yang buruk. Maka beliau menyebat kedua-duanya tanpa menyebut hudud.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (no.28334)

 

عن أبي روح أَنَّ امْرَأَةً تَشَبَّهَتْ بِأَمَةٍ لِرَجُلٍ، وَذَلِكَ لَيْلًا فَوَاقَعَهَا وَهُوَ يَرَى أَنَّهَا أَمَتُهُ قَالَ فَرُفِعَ ذَلِكَ إِلَى عُمَرَ قَالَ فَأَرْسَلَ إِلَى عَلِيٍّ فَقَالَ اضْرِبِ الرَّجُلَ حَدًّا فِي السِّرِّ وَاضْرِبِ الْمَرْأَةَ فِي الْعَلَانِيَةِ

Maksudnya: “Daripada Abi Ruh bahawa seorang wanita telah menyerupai hamba sahaya bagi seorang lelaki. Demikian itu pada waktu malam lalu lelaki itu menyetubuhinya kerana menyangka ia adalah hamba sahayanya. Lalu diangkat demikian itu kepada Umar. Umar berkata: Hantarkan ia kepada Ali. Ali berkata: Sebatlah lelaki itu dengan hudud secara tertutup dan sebat wanita itu secara terang-terangan.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (no.28336)

 

عن جَعْفَرُ بن مُحَمَّدٍ عن أبيه عن عَلِيٍّ أَنَّهُ كان إِذَا وُجِدَ الرَّجُلُ مَعَ الْمَرْأَةِ جُلِدَ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةً

Maksudnya: “Daripada Ja’far bin Muhammad daripada bapanya daripada Ali bahawa sesungguhnya apabila Ali mendapati seorang lelaki bersama dengan seorang perempuan dalam satu selimut, beliau akan menyebat kedua-duanya seratus kali setiap orang.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (no.28332)

 

عَنِ الْقَاسِمِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: أُتِيَ عَبْدُ اللهِ بْنَ مَسْعُودٍ بِرَجُلٍ وُجِدَ مَعَ امْرَأَةٍ فِي لِحَافٍ «فَضَرَبَهُمَا كُلَّ وَاحِدٍ أَرْبَعِينَ سَوْطًا، وَأَقَامَهُمَا لِلنَّاسِ» فَذَهَبَ أَهْلُ الْمَرْأَةِ، وَأَهْلُ الرَّجُلِ فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ عُمَرُ لِابْنِ مَسْعُودٍ: مَا يَقُولُ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: قَدْ فَعَلْتُ ذَلِكَ، قَالَ: أَوَرَأَيْتَ ذَلِكَ؟ قَالَ: نَعَمْ، فَقَالُوا: أَتَيْنَاهُ نَسْتَأْدِيهِ فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُهُ "

Maksudnya: “Daripada al-Qasim bin Abdul Rahman daripada bapanya berkata: Abdullah bin Mas’ud telah didatangi seorang lelaki didapati bersama seorang wanita dalam satu selimut. Lalu kedua-duanya telah disebat empat puluh kali dan ia melakukan terhadap kedua-duanya di hadapan orang ramai. Lalu keluarga perempuan dan lelaki itu pergi mengadu hal itu kepada Umar bin al-Khattab. Umar berkata kepada Ibn Mas’ud: Apa yang mereka perkatakan? Ibn Mas’ud menjawab: Aku telah melakukan itu. Umar bertanya: Adakah kamu berpendapat sedemikian? Ibn Mas’ud: Ya. Lalu mereka berkata: Kita menemuinya untuk meminta bantuannya, tiba-tiba dia pula yang bertanya kepadanya (Ibn Mas’ud).”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir  (no.9694)

عن سَعِيدِ بن الْمُسَيِّبِ وَرُوِّينَاهُ أَيْضًا عَنِ ابْنِ شِهَابٍ قال إنَّ عُمَرَ بن الْخَطَّابِ ضَرَبَ رَجُلاً دُونَ الْمِائَةِ وُجِدَ مع امْرَأَةٍ في الْعَتَمَةِ

Maksudnya: “Daripada Ibn Syihab berkata, bahawa Umar bin al-Khattab menyebat seorang lelaki tidak lebih daripada seratus sebatan yang didapati bersama dengan seorang wanita pada waktu tengah malam.”

Rujuk al-Muhalla (11/403)

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ رَاشِدٍ قَالَ: سَمِعْتُ مَكْحُولًا، فَحَدَّثَ، أَنَّ رَجُلًا وُجِدَ فِي بَيْتِ رَجُلٍ بَعْدَ الْعَتْمَةِ مُلَفَّفًا فِي حَصِيرٍ: «فَضَرَبَهُ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مِائَةً»

Maksudnya: “Daripada Muhammad bin Rasyid berkata: Aku mendengar Makhul menceritakan bahawa seorang lelaki ditemui (bersama seorang wanita) di rumah seorang lelaki selepas tengah malam, bergulung di dalam tikar, lalu Umar bin al-Khattab menyebatnya seratus kali.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (no.13638)

عبد الرزاق عن بن جريج عن رجل عن الحسن  أَنَّ رَجُلًا وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلًا قَدْ أَغْلَقَ عَلَيْهِمَا ، وَقَدْ أَرْخَى عَلَيْهِمَا الْأَسْتَارَ " فَجَلَدَهُمَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مِائَةً ، مِائَةً 

Maksudnya: “Daripada Hasan bahawa seorang lelaki menemui  isterinya bersama seorang lelaki yang telah bertutup atas kedua-duanya dan dilabuhkan kain penutup atas kedua-duanya lalu Umar bin al-Khattab menyebat kedua-duanya seratus seratus.” (HR Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya, 13636)

Jelas daripada riwayat-riwayat di atas bahawa apabila terdapat syubhah terhadap perlakuan zina, maka tiada hukuman hudud yang dikenakan. Namun, pemerintah berhak untuk mengenakan ta’zir bagi mereka yang didapati cuba untuk berzina, atau kesalahan yang dikategorikan seumpamanya seperti musahaqah dan liwat.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Selepas menekuni isu ini dan mentelaahnya dengan mendalam di samping mengadakan muzakarah dengan ashab al-fadilah dan ahli ikhtisas dalam bidang masing-masing, maka kami nyatakan berkenaan dengan isu ini seperti berikut:

لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ ، لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ

Maksudnya: Kalaulah agama berdasarkan akal semata-mata, maka di bawah khuf itu lebih utama disapu daripada atasnya.

Riwayat Abu Daud (140) dan al-Baihaqi
dalam al-Sunan al-Kubra (1438)

 

 

رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

 

Penutup

Sesungguhnya daripada sepenting usul dan dasar masyarakat Islam (Nizam Ijtima’i Islami) ialah mentahqiqkan kehidupan yang baik lagi mulia dalam kalangan manusia yang menghimpunkan  kebaikan dunia dan akhirat dan ditegakkan padanya binaan amalan yang soleh sama ada bersifat maadi atau maknawi. Ini kerana kesolehan amal memberi kesan yang besar untuk meraih kebaikan yang sempurna, kebahagiaan dan nikmat terhadap individu dan masyarakat. Benarlah firman Allah SWT:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

(Surah al-Nahl: 97)

Maksud dengan hayah tayyibah (حَيَاة طَيِّبَة) ialah kesempurnaan, kebahagiaan, kesenangan, sifat qana’ah dan cukup daripada bergantung kepada yang lain sebaliknya sentiasa mengharapkan kepada Allah SWT. Begitu juga jauh daripada kesempitan jiwa dan keletihan. Abdullah al-Tustari berkata: “Kehidupan yang baik di mana seorang hamba dicabut daripada terbelenggu dengan urusannya sendiri tetapi kembali kepada Allah Rabb al-‘Alamin.”

Peranan kerajaan dalam mentahqiqkan kehidupan yang baik terzahir dengan perancangan yang rapi untuk menyempurnakan ketenangan, kemewahan dan kesenangan iqtisadi melalui usaha pembinaan kilang, perniagaan, pertanian yang menjadi seutama pekerjaan dalam Islam. Begitu juga membuka ruang seluas-luasnya harapan dan cita-cita untuk memberi peluang pekerjaan supaya dapat menghilangkan pengangguran.

Tambahan pula diluaskan skop pengajaran dan pendidikan agama serta akhlak sehingga para penduduk telah merasa tsiqah, aman dan tenang kerana dapat menolak sebarang bentuk musuh, menghukum dan mendidik pelaku kesalahan serta setiap mana-mana pintu fitnah dan juga godaan yang membawa kepada penyelewengan. Kerajaan hendaklah menutup sebarang bentuk pintu kejahatan dan kerosakan sebagaimana yang telah diserlahkan dalam sirah Khulafa’ al-Rasyidin dan pada zaman era kegemilangan negara Islam. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/6395-6397)

Syed Qutb dalam isu zina berkata: “Di sini Islam mengikut jalan dan caranya dalam membersihkan masyarakat. Dalam tindakan pertamanya, Islam memilih cara mengasingkan perempuan-perempuan yang melakukan kejahatan-kejahatan seks dan menjauhkan mereka dari masyarakat apabila mereka thabit melakukan kejahatan itu dan menyeksakan lelaki-lelaki yang melakukan kejahatan seks yang abnormal, iaitu melakukan perbuatan liwat atau hubungan sejenis (homoseks).

Di sini al-Quran tidak menentukan jenis dan kadar penyeksaan itu. Kemudian selepas itu Islam memilih cara menghukumkan perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki itu dengan satu hukuman yang sama sahaja iaitu hukuman zina sebagaimana telah diterangkan di dalam ayat Surah al-Nur iaitu hukuman sebat dan sebagaimana telah diterangkan oleh al-Sunnah iaitu hukuman rejam. Matlamat akhir dari kedua-dua hukuman ini ialah memelihara masyarakat dari kecemaran seks dan memeliharanya agar sentiasa bersih dan mulia.

Dalam setiap keadaan dan dalam setiap hukuman, undang-undang Islam mengadakan jaminan-jaminan supaya tidak berlaku kezaliman, kesilapan dan mempersalahkan seseorang berdasarkan prasangka dan kekeliruan di dalam hukuman-hukuman yang berat yang memberi kesan yang berat di dalam kehidupan manusia. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 3/217-218)

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman Islam yang sebenarnya dan menjadikan negara kita Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Amin.

 

Akhukum fillah,

SS Dato' Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

21 September 2018 bersamaan 11 Muharram 1440H

 

 

[1] Lihat al-Masr al-Yaum (https://www.almasryalyoum.com/news/details/1298423)

[2] Lihat Dar al-Ifta’ al’Iraqiyyah, fatwa no. 558 (http://www.h-iftaa.com/2018/03/%D9%81%D8%AA%D9%88%D9%89-%D8%B1%D9%82%D9%85-558/)

[3] Kanser yang menyerang usus besar iaitu kolon dan rektum

[4] Kanser yang tumbuh pada sel-sel di leher rahim

[5] Kanser yang menyerang sistem peredaran jantung dan pembuluh darah

[6] Lihat Sinar Harian (http://www.sinarharian.com.my/nasional/kes-hiv-libatkan-lgbt-naik-mendadak-1.867680). Lihat juga dapatan kajian oleh Dr. Mohd Izwan bin Md. Yusof dalam tesis PHD beliau bertajuk Perspektif Komuniti Lesbian, Gay dan Transgender Muslim di Malaysia Terhadap Perlakuan Homoseksual dan Konsep Perkahwinan dalam al-Qur’an, UKM pada 2016.

[7] Lihat Dar al-Ifta’ al’Iraqiyyah, fatwa no. 558 (http://www.h-iftaa.com/2018/03/%D9%81%D8%AA%D9%88%D9%89-%D8%B1%D9%82%D9%85-558/)

[8]http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/f530051ba32316ff48257082000815c1?OpenDocument 

[9] Sahabat kami, Dr. Sabri Awang, salah seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pernah menyaksikan sendiri hukuman sebat di Arab Saudi dan Yaman. Boleh lihat pelaksanaan dan perbandingan antara kedua-duanya.

[10] https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/09/469228/lesbian-menangis-ketika-jalani-hukum-sebat

[11] https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/09/469374/jangan-hina-aibkan-pesalah-hakim-syarie

[12] http://www.sinarharian.com.my/nasional/kelantan-sudah-sebat-13-individu-1.876328

[13] Kenyataan beliau ini adalah pada 21 September 2018, di bilik Mesyuaart Syura Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

[14] http://www.utusan.com.my/rencana/agama/hukuman-sebatan-syariah-tak-kejam-1.745054

[15] http://www.sinarharian.com.my/nasional/sebat-jangan-nilai-ikut-politik-1.877340

[16] http://www.utusan.com.my/berita/nasional/usah-pertikai-hukuman-sebat-mufti-kedah-1.742207#ixzz5QVmKBkpD

[17] http://mufti.penang.gov.my/index.php/en/keratan-akhbar/366-sebat-lesbian-bukan-hukum-hudud-sinar-harian-7-september-2018

[18] https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/09/374278/tak-perlu-kaji-proses-sebatan-mufti-kelantan

[19] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/470688/hukuman-sebat-syariah-lebih-berperikemanusiaan

[20] http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jahil-punca-bantah-sebat-1.744433

[21] https://www.ismaweb.net/2018/09/08/sebatan-sivil-lebih-mengaibkan-berbanding-hukuman-syariah/

[22] Kami telah mengunjungi Penjara Kajang pada 18 September 2018 untuk mendapatkan maklumat dan gambaran yang jelas berkenaan dengan hukuman sebat. Terdapat tiga jenis hukuman yang dilaksanakan iaitu:

Menariknya, sebahagian daripada kami telah merasakan sendiri sebatan Syariah dan tidak mengalami kesakitan yang berlebihan.