Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-9 : PERISIAN MYMUWAQQIT PEMBIMBING MUSAFIR MUSLIM

BAYAN FALAK 3 01

 

Penggunaan aplikasi dalam membantu memudahkan pelaksanaan ibadah seharian merupakan salah satu keperluan masa kini. Antara aplikasi yang boleh digunakan ketika bermusafir menggunakan kapal terbang adalah aplikasi myMuwaqqit. Sebelum itu, isu berkaitan solat di dalam kapal terbang ini telah pun dijelaskan di Bayan Linnas pada siri yang ke 53. Oleh itu, bagi melaksanakan ibadah solat di atas kapal terbang ini, seorang individu itu perlu mengetahui waktu solat terlebih dahulu. 

 
Aplikasi penentuan waktu solat dalam penerbangan yang dinamakan myMUWAQQIT ini telah ditubuhkan oleh Persatuan Falak Syar’i Malaysia (PFSM). Aplikasi myMUWAQQIT telah dibangunkan dengan sokongan Penerbangan Malaysia Berhad (MAB), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pembangunan perisian myMUWAQQIT ini telah diketuai oleh Ahli Jawatankuasa PFSM, Abdul Rohany Mohd Yusof selepas beliau menghasilkan 52 set data meliputi 45 penerbangan bersama MAB mulai tahun 2011 sehingga 2012. 
 
Inisiatif ini telah tercetus disebabkan kegusaran umat islam mengenai waktu solat ketika berada dalam penerbangan disebabkan ketiadaan panduan yang tepat. Maka, perisian khas myMUWAQQIT ini diharapkan dapat membantu para musafir muslim mengetahui waktu solat dengan tepat ketika berada di dalam kapal terbang. 
 
Pastinya, perisian myMUWAQQIT ini telah melalui proses yang begitu  panjang dan benar-benar teliti sebelum ianya dilancarkan kepada orang awam. Bagi mendapatkan parameter yang diperlukan untuk perkiraan waktu solat di ketinggian penerbangan pesawat, pihak PFSM telah menggunakan gabungan tenaga saintis dan ulama tempatan untuk melakukan kajian terhadap fenomena langit dan matahari dalam penerbangan jarak jauh. 
 
Mulai tahun 2009 sehingga 2012, kajian telah menghasilkan set data yang meliputi 45 penerbangan. Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) telah menaja pengkaji daripada PFSM sebanyak dua puluh penerbangan yang meliputi hemisfera Utara dan Selatan yang merangkumi kesemua musim. Seterusnya, dua puluh lima set data telah diterima oleh juruterbang MAS yang telah membantu melakukan pencerapan ketika dalam penerbangan. Cerapan yang dibuat adalah untuk melihat perbezaan di dalam sudut zenith (sekiranya ada) dan pembiasan (bergantung kepada musim dan hemisfera).
 
Penerbangan yang dibuat juga mengikut empat musim yang merangkumi hemisfera Utara dan Selatan serta adanya elemen “redundancy” sekiranya berlaku perkara yang tidak diduga di dalam penerbangan seperti perubahan cuaca. Kemudian, hasil data telah dianalisa bagi mendapatkan sudut zenith untuk fenomena falak dan waktu bagi mulanya fajar, syuruk, ghurub dan isyak serta pembiasan yang berkaitan pada ketinggian penerbangan pesawat yang kebiasaannya di antara 35000 sehingga 39000 kaki di udara.
 
Perisian ini juga mendapat kerjasama dan sokongan yang baik dari agensi kerajaan. Antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu iaitu YB Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom yang menyokong pihak JAKIM memberikan projek ini kepada PFSM untuk melaksanakannya. Begitu juga dengan Kementerian Pengangkutan yang terlibat dalam mendapatkan kerjasama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dalam menjayakan projek ini. Maklumat ringkas mengenai cara menggunakan perisian ini adalah seperti berikut:
1. Masukkan maklumat pesawat (nombor penerbangan)
2. Masukkan tarikh penerbangan (pilih daripada kalender)
3. Tekan butang “TERUSKAN”
4. Jika berlaku kesilapan, tekan butang “SEMULA” dan masukkan maklumat yang dikehendaki seperti di atas.
 
Selain daripada aplikasi myMUWAQQIT ini, terdapat juga aplikasi lain yang menyediakan fungsi yang sama dalam menentukan waktu solat di dalam kapal terbang. Antaranya, perisian Halal Trip, ‘Ard dan Sky Prayers. Para pengguna hanya perlu memasukkan maklumat penerbangan seperti yang diminta untuk mengetahui waktu solat tersebut. Ada di antara aplikasi tersebut yang memerlukan bayaran dan ada juga yang disediakan secara percuma.
 
Mudah-mudahan dengan bantuan aplikasi yang telah dikongsikan ini, ia boleh memberi kemudahan kepada para musafir muslim mengerjakan solat walaupun di atas kapal terbang. Semoga Allah meredai setiap langkah kita dalam menjalani kehidupan ini dan sentiasa mendapat keberkatan daripadaNya. Amin.
Wallahua’lam. 
 
Rujukan
 

Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+