Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-17 : KAEDAH PENENTUAN WAKTU SOLAT

BAYAN FALAK 11 01 01

 

Pengenalan

Solat adalah ibadah fardu yang wajib didirikan dalam waktunya yang telah ditetapkan. Penetapan waktu solat adalah berdasarkan kepada sumber asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Surah al-Nisa’ (103)

Perincian terhadap batas-batas waktu solat telah dijelaskan oleh hadis Rasulullah SAW. Secara khususnya, batas-batas waktu solat ini adalah mengikut pergerakan matahari yang merujuk kepada satu titik tertentu. Seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ:‏"‏ وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرِ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبِ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلاَةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلاَةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتِ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنِ الصَّلاَةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَىْ شَيْطَانٍ".

Maksudnya: Daripada Abdullah ibni Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Waktu Zuhur ialah apabila matahari tergelincir sehingga bayang-bayang seseorang sama panjang dengan badannya selama waktu Asar belum tiba.Waktu Asar ialah selama cahaya matahari belum warna kekuningan.Waktu maghrib ialah selama mega merah belum lenyap, dan waktu Isyak ialah sehingga tengah malam kedua, sedangkan waktu Subuh bermula sejak terbit fajar hingga matahari terbit. Jika matahari terbit, maka hentikanlah solat kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.” 

Sahih Muslim (612)

Secara ringkasnya waktu subuh bermula ketika terbitnya fajar sadiq, iaitu munculnya warna putih yang mendatar (horizontal) di ufuk (horizon), sehingga terbitnya matahari. Manakala waktu Zuhur pula bermula dari tergelincirnya pinggir timur matahari dari garisan meridian (kedudukan zawal) ke barat hinggalah apabila bayang-bayang sesuatu objek menjadi sama panjang dengan objek tersebut.

(Mughni Muhtaj 1/121,122)

Seterusnya waktu asar akan bermula dari akhir waktu Zuhur sehinggalah matahari terbenam di kaki langit barat (keseluruhan badan matahari). Sementara waktu maghrib bermula apabila keseluruhan badan matahari terbenam di bawah ufuk (horizon) sehingga hilangnya mega merah di langit barat. Akhir sekali waktu isyak akan bermula sejurus hilang cahaya mega merah di langit barat sehingga terbitnya fajar sadiq pada esok paginya.

(Mughni Muhtaj 1/123)

Kaedah Hitungan dalam Penentuan Waktu Solat

Kaedah umum perhitungan waktu solat adalah bermula dengan menghitung waktu zawal (waktu transit di atas meridian pencerap) matahari pada hari tersebut. Seperti yang dinyatakan oleh Dr Nurul Huda dalam bukunya Ilmu Miqat dalam Astronomi menyatakan cara penentuan waktu-waktu solat untuk Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak dilakukan dengan menghitung sudut waktu matahari selepas transit yang kemudiannya ditambah kepada waktu zawal berkenaan. Waktu solat untuk Subuh pula dihitung dengan menolak nilai sudut waktu daripada waktu zawal. Jelasnya daripada kaedah ini, perubahan kedudukan seseorang khususnya dalam arah (longitud) Timur-Barat, akan memberi kesan kepada hitungan waktu zawal dan hitungan waktu solat[1].

Matahari istiwa

Matahari istiwa (rembang/transit) adalah ketika pusat matahari melintasi satah Meridian Samawi Tempatan. Meridian Samawi Tempatan adalah unjuran Longitud Stesen Tempatan. Waktu istiwa boleh ditentukan secara fizikal dengan melihat pergerakan bayang-bayang sesuatu tiang yang tegak[2].

Ketika istiwa, bayang tiang berada pada ukuran paling pendek. Sebelum bayang tiang ini berpindah ke sebelah timur adalah menandakan waktu istiwa. Stesen rujukan di bumi adalah ditetapkan berdasarkan satu sistem koordinat geografi yang parameternya ialah latitud (garis lintang) dan longitud (garis bujur).

Menurut Almanak Falak Syarie keluaran JUPEM 2021, stesen rujukan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam menentukan bermula dan berakhirnya waktu solat adalah dengan menggunakan koordinat rujukan di Kg. Gedangsa iaitu pada latitud U 3° 44’ dan longitud T 101° 23’ manakala pada waktu syuruk menggunakan titik koordinat rujukan Cheras, KL pada nilai latitud U 3° 11’24’’ dan longitud T 101° 45’ 30’’. Sementara di Wilayah Persekutuan Labuan adalah di Pulau Kuraman dengan latitud U 5° 14’ 53’’ dan longitud T 115° 08’ 23’’ serta waktu syuruk di Pulau Daat dengan nilai latitud U 5° 17’23’’ dan longitud T 115° 20’ 34’’[3].

Kesimpulan

Perubahan altitud matahari ketika istiwa menyebabkan perubahan waktu istiwa dalam erti kata lain ia mengakibatkan perubahan kepada waktu-waktu solat dari hari ke hari. Oleh itu, berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan, para fuqaha’ telah membuat tafsiran supaya waktu solat dapat diamalkan oleh masyarakat dengan lebih mudah. Semua kaedah tersebut telah disesuaikan dengan ilmu astronomi (falak) supaya boleh ditentukan dengan kaedah kiraan (hisab). Ianya juga telah dipermudahkan dalam bentuk paparan “Jadual Waktu Solat” untuk panduan masyarakat umum sesuai dengan uruf penggunaan jam pada zaman ini.

Rujukan

[1]Zaki, N. A., & Zainuddin, M. Z. (2012). Ilmu Al-Mīqāt Pentakrifan, Sejarah dan Kepentingannya. Jurnal Usuluddin, 36, 75-108.
[2]Zaki, N. A., Nawawi, M. S. A., Wahab, R. A., & Niri, M. A. (2019). Cerapan Istiwa'Matahari Dalam Penentuan Arah Kiblat di Malaysia. Sains Humanika, 11(2).
[3]Almanak Falak Syarie Malaysia Tahun 2021 terbitan JUPEM