Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-21 : HUKUM MENUNAIKAN SOLAT GERHANA TANPA MELIHATNYA

BAYAN FALAK 15 01 01

 

Soalan:

Adakah disunatkan solat sunat gerhana bagi tempat yang tidak berlaku gerhana walaupun di tempat lain berlaku gerhana?

Jawapan:

Majoriti Ulama berpendapat hukum menunaikan solat sunat gerhana matahari adalah sunat muakkad sama ada bagi mereka yang sedang bermusafir atau tidak, lelaki mahupun perempuan. Solat gerhana tidak disyariatkan melainkan pada tempat di mana fenomena gerhana ini dapat dilihat dengan mata kasar.

(Majmu Fatawa Ibn Taimiyah 24/254)

Dr. Saif Rajab Kazamil, seorang professor Undang-undang Islam di Universiti Al-Azhar menyatakan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ ‌الشَّمْسَ ‌وَالْقَمَرَ مِنْ آيَاتِ اللهِ، وَإِنَّهُمَا لَا يَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، وَلَا لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَكَبِّرُوا، وَادْعُوا اللهَ ‌وَصَلُّوا ‌وَتَصَدَّقُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Gerhana ini tidak terjadi kerana kematian seseorang atau lahirnya seseorang. Oleh itu jika melihat perkara ini maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, kerjakanlah solat dan bersedekahlah.”

(Sahih Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawasanya Rasulullah SAW memerintahkan kepada kaum muslimin yang melihat gerhana untuk mendirikan solat sunat, berzikir dan berdoa. Maka, persoalan kepada keperluan menunaikan solat sunat gerhana tanpa melihatnya ialah berbalik kepada Sunnah yang telah dianjurkan di dalam hadis tersebut.

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah berpegang kepada sunnah dan berusaha untuk mengamalkannya di samping menjauhi perkara yang bertentangan dengan sunnah. Oleh itu, jelaslah amalan melaksanakan solat sunat gerhana dengan hanya berpandukan berita tanpa melihatnya ini telah termasuk dalam perkara yang bertentangan dengan Sunnah.

Sheikh Ibn Baz berkata, tidak disyariatkan bagi penduduk di negara yang tidak berlakunya gerhana untuk solat kerana Rasulullah SAW mengaitkan perintah solat ini dengan penampakan gerhana itu sendiri bukanlah semata-mata mendengar khabar daripada orang lain atau disebabkan berlaku di negara lain.

(Fatwa Syeikh Ibn Baz 13/30)

Justeru, secara kesimpulannya tidak disyariatkan untuk melaksanakan solat sunat gerhana bagi penduduk yang tidak berlakunya fenomena gerhana ini di negara mereka. Hal ini demikian kerana perintah Rasulullah SAW untuk melaksanakan solat sunat gerhana telah dikaitkan dengan rukyah (melihat) bukanlah apabila mendengar daripada orang lain atau berlaku di negara lain.   

Sepertimana firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

Maksudnya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.

Surah al-Hasyr (7)

Begitu juga seperti yang disebutkan di dalam surah al-Ahzab:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.

Surah al-Ahzab (21)

Dan diakhiri dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Nur:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Surah al-Nur (63)

Rujukan

1. حكم أداء صلاة الكسوف بدون رؤيته.. أزهري يجيب - الوطن (elwatannews.com)

2. الموقع الرسمي للشيخ محمد صالح المنجد - حكم صلاة الكسوف إذا لم يكن الكسوف واضحا (almunajjid.com)


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+