Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Soalan-Soalan Lazim Falak

WAKTU SOLAT

1. Soalan: Bagaimana penentuan waktu solat dibuat?

Jawapan: Penetapan waktu solat adalah berdasarkan kepada sumber asal iaitu al-Quran dan al-Hadith. Berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan, para fuqaha’ (ahli feqah) telah membuat tafsiran supaya waktu solat dapat diamalkan oleh masyarakat dengan lebih mudah. Kemudian tafsiran fuqaha’ disesuaikan dengan ilmu astronomi (falak) supaya boleh ditentukan dengan kaedah kiraan (hisab).

Waktu Matahari Istiwa

Matahari istiwa (rembang/transit) adalah ketika pusat matahari melintasi satah Meridian Samawi Tempatan. Meridian Samawi Tempatan adalah unjuran Longitud Stesen Tempatan. Waktu istiwa boleh ditentukan secara fizikal dengan melihat pergerakan bayang-bayang sesuatu tiang yang tegak.

Ketika istiwa, bayang tiang berada pada ukuran paling pendek. Sebelum bayang tiang ini berpindah ke sebelah timur adalah menandakan waktu istiwa. Stesen rujukan di bumi adalah ditetapkan berdasarkan satu sistem koordinat geografi yang parameternya ialah latitud (garis lintang) dan longitud (garis bujur).

Waktu Solat Zohor

Masuk waktu solat Zohor adalah ketika matahari gelincir ke arah barat daripada kita iaitu ketika pinggir timur matahari melintasi Meridian Samawi Tempatan.

Waktu Solat Asar

Mengikut Mazhab Shafie, masuknya waktu solat Asar adalah apabila panjang bayang sesuatu tiang melebihi panjang tiang tersebut. Secara fizikal, waktu Asar boleh ditentukan dengan menggunakan tiang tegak yang sama dengan yang digunakan pada waktu istiwa.

Waktu Asar bermula apabila panjang bayang yang ditunjukkan oleh tiang tegak melebihi ukuran tiang itu sendiri dan dicampurkan dengan panjang bayang sewaktu istiwa.

Waktu Solat Maghrib

Mengikut hukum fekah, masuknya waktu solat Maghrib adalah apabila semua badan matahari terbenam di bawah ufuk barat.

Waktu Solat Isyak

Menurut syarak, masuknya waktu solat Isyak adalah apabila mega merah di ufuk barat hilang.

Waktu Solat Subuh

Awal waktu solat Subuh mengikut syarak adalah bila fajar benar (sadiq) terbit di ufuk timur.

 

2. Soalan: Siapakah pihak yang berautoriti mengeluarkan takwim waktu solat?

Jawapan: Di Wilayah Persekutuan pihak yang berautoriti mengeluarkan takwim waktu solat adalah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Takwim waktu solat yang dkeluarkan adalah mengambil kira kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Hitungan yang digunakan adalah berpandukan kepada Almanak Falak Syarie dan perisian yang telah disediakan oleh pihak Jakim. Waktu solat juga dihitung berasaskan kepada konsep zon waktu solat. Waktu solat akan disemak dan diperakui oleh Jawatankuasa Falak Syarie Wilayah Persekutuan sebelum edaran dibuat.

 

3. Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan zon waktu solat?

Jawapan: Konsep Zon Waktu Solat telah diperkenalkan bertujuan bagi menyelaraskan pengiraan waktu solat di setiap negeri berdasarkan titik rujukan tertentu. Titik rujukan ini dipilih merujuk kepada kedudukan titik yang paling barat di dalam zon tersebut. Ini adalah mengikut kriteria yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti mana yang telah dipersetujui oleh semua Jabatan Agama Negeri-negeri di Malaysia. Selain itu, turut dititikberatkan dalam pembahagian zon adalah perbezaan waktu solat di antara titik rujukan yang paling timur dan barat mestilah tidak lebih dua minit. Manakala bagi kawasan tanah tinggi dan pulau, ia akan membentuk zon waktu solat yang berasingan. (Mohamad Saupi Che Awang, 2001).

Di Wilayah Persekutuan Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan pada 21 Oktober 2015 telah bersetuju bahawa titik rujuk zon waktu solat bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah seperti berikut :-

Zon 1: Kuala Lumpur dan Putrajaya
            Kg. Gedangsa 
            Latitud : U 3˚ 44΄
            Longitud: T 101˚ 23
            (Waktu Syuruk : Keramat AU KL)
            Latitud : U 03˚ 11΄ 24’
            Longitud: T 101˚ 45΄ 30’

Zon 2: Labuan
            (Pulau Kuraman) 
            Latitud : U 5˚ 14΄ 53’
            Longitud: T 115˚ 08΄ 23’
            (Waktu Syuruk : Pulau Daat)
            Latitud : U 5˚ 17΄ 23’
            Longitud: T 115˚ 20΄ 34'

4. Soalan : Bagaimana proses permohonan waktu solat?

Jawapan: Permohonan waktu solat boleh dipohon melalui emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. @ juga boleh diperolehi di portal PMWP https://muftiwp.gov.my/ms/falak/taqwim/jadual-waktu-solat-wilayah-persekutuan-kuala-lumpur-putrajaya-labuan.

CERAPAN HILAL & PENENTUAN AWAL BULAN HIJRI

1. Soalan : Kenapa perlu mencerap hilal untuk menentukan puasa dan hari raya?

Jawapan: Asas penentuan awal Ramadan dan Syawal dari sudut syarak, ia merujuk kepada panduan yang telah diterangkan oleh Allah SWT dan junjungan besar nabi Muhammad SAW kepada kita iaitu al-Quran dan Sunnah.

i. Dalil al-Quran.

Surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa..”.

ii. Dalil hadis Rasulullah SAW.

Maksudnya:

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda; “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu,maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari)”.

(Riwayat Imam Muslim)

2. Soalan : Kenapa bulan-bulan lain tidak memerlukan kepada cerapan sepertimana tarikh-tarikh hari raya dan sebagainya?

Jawapan: Kebiasaannya cerapan rasmi dilaksanakan bagi penetuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Walaubagaimanapun, cerapan bagi bulan-bulan lain masih dilaksanakan bagi tujuan kajian dan semakan data bagi cerapan hilal berkenaan.

 

3. Soalan : Bagaimana proses penyediaan takwim hijriah di Malaysia?

Jawapan: Penyediaan takwim hijriah di Malaysia adalah dibawah selian unit falak Jakim.dengan menggunakan rujukan Almanak Falak Syarie Malaysia.

Hitungan dibuat secara manual untuk menentukan kedudukan hilal dan matahari bagi stesen rujukan iaitu stesen paling timur Malaysia di Kampung Ateamu, Sabah dan paling barat Malaysia di Tanjung Chinchin, Langkawi, Kedah. Apabila semua hitungan selesai, hasilnya disemak dan kriteria Imkanur-Rukyah diguna pakai. Sekiranya hitungan pada hari ke-29 setiap bulan hijriah memenuhi syarat Imkanur-Rukyah, maka keesokan harinya adalah awal bulan baru. Sebaliknya jika ia tidak memenuhi syarat Imkanur-Rukyah, maka bulan itu akan menjadi 30 hari.Takwim disediakan apabila selesai semakan dilakukan bagi tahun yang diperlukan.

Hasil hitungan ini kemudiannya dibawa ke Mesyuarat Panel Pakar Falak Jakim untuk semakan dan disahkan sebelum diedarkan kepada Jabatan/Pejabat Mufti Negeri dan agensi kerajaan berkaitan untuk hebahan kepada umum.

 

4. Soalan : Apakah jenis takwim hijrah yang digunapakai diseluruh dunia?

Jawapan: Pada asasnya Takwim Hijriah berdasarkan kepada peredaran bulan,tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim yang akan mempengaruhi penentuan awal bulan hijri seperti berikut:-

Takwim Istilahi

  • Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli 30 dan 29 hari menjadikan 354 hari setahun.

Takwim Ijtimak Hakiki

  • Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan hijrah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki. Apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.

Takwim Wujudul Hilal

  • Takwim yang berasaskan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.

Takwim Imkanur-Rukyah

  • Takwim Imkanur-Rukyah adalah di mana penentuan bagi setiap awal bulan hijriah yang berdasarkan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

 

5. Soalan: Bagaimanakah kaedah penentuan awal Ramadan Syawal dan Zulhijjah dan apakah maksud Imkanur-rukyah (kebolehnampakan hilal)?

Jawapan: Penentuan awal bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah di Malaysia adalah berdasarkan satu kriteria kebolehnampakan hilal atau disebut sebagai Imkanur-rukyah Kriteria Imkanur-rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan baru, apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam berada dalam keadaan yang kemungkinan kenampakannya dan hilal dianggap dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:

a) Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung (bulan-matahari) tidak kurang daripada 3°.

ATAU

b) Ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimah berlaku).

Walau bagaimanapun tarikh sebenar permulaan Ramadan (Puasa), Syawal (Hari Raya Puasa) dan Zulhijjah (Hari Raya Korban) adalah berdasarkan perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia selepas mendapat laporan keseluruhan cerapan yang dilaksanakan pada tarikh melihat anak bulan (29hb) bulan sebelumnya.

 

6. Soalan: Bilakah tarikh sebenar puasa sunat Arafah?

Jawapan: Umat Islam di Malaysia yang ingin berpuasa sunat arafah hendaklah mengikut tarikh 9 Zulhijjah yang telah ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia selaras dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan.

 

7. Soalan: Perbezaan penentuan hari raya di Malaysia dan Arab Saudi?

Jawapan:

i. Penentuan hari raya di Malaysia dan Arab Saudi adalah tidak sama kerana kaedah penentuan yang digunakan adalah berbeza dan butirannya dalah seperti berikut:

   a) Malaysia : Rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria Imkanur-rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan hilal.

   b) Arab Saudi: Hanya menggunakan kaedah Rukyah (melihat hilal) sahaja.

ii. Terdapat perbezaan matlak yang jauh di antara Malaysia dan Arab Saudi. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara ialah lima jam. Oleh itu ketika Hilal dilihat di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut berada pada kedudukan 1.25° lebih tinggi di Matla' Malaysia.

iii. Bagi rakyat negara Malaysia yang bermazhab Syafie, mereka perlu memahami bahawa setiap negara di dunia ini mempunyai matla' atau kawasan lingkungannya sendiri. Oleh itu Malaysia tidak harus mengikut keputusan cerapan hilal yang dilaksanakan oleh Arab Saudi.

KIBLAT

1. Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan arah kiblat?

Jawapan: Kiblat menurut bahasa adalah arah hadap dan kiblat yang dimaksudkan adalah Kaabah. Manakala menurut ilmu falak kiblat merujuk kepada arah menghadap ke Kaabah di atas glob bulatan bumi mengikut jarak yang terdekat. Para ulamak sepakat menyatakan bahawa menghadap ke kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah solat melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan dan solat sunah dalam keadaan bermusafir. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 150 yang bermaksud :

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya..

Berijtihad arah Kiblat adalah perlu dilakukan bagi menentukan arah Kiblat masjid, surau dan tempat-tempat yang hendak didirikan solat. Mengikut keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, menghadap Kiblat menjadi syarat sah solat. Bagi Mazhab Syafie terdapat tiga kaedah berhubung dengan syarat sah menghadap Kiblat iaitu:-

i. Bagi seseorang yang berada di dalam Masjidil Haram sama ada nampak Baitullah (Kaabah) atau tidak, wajib ia menghadap dan menghalakan dirinya ke Baitullah dengan penuh yakin. Kewajipan tersebut boleh dipastikan terlebih dahulu dengan melihat atau menyentuhnya bagi cacat penglihatan atau dengan cara lain yang boleh dipastikan, asalkan ada keyakinan. Menentukan Kiblat dengan cara ini dinamakan "Kiblat Yakin".

ii. Bagi seseorang yang jauh dari Baitullah (Kaabah) iaitu yang berada di luar Masjidil Haram dan di sekitar Tanah Suci Makkah hendaklah menghadap ke arah Masjidil Haram dengan tujuan ke arah Kaabah secara dzanni sahaja dan bergantung kepada ijtihadnya. Oleh yang demikian cara ini dinamakan "Kiblat Dzanni". Kaedah ini boleh diketahui melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Makkah.

iii. Bagi seseorang yang berada di luar Masjidil Haram dan di luar tanah suci Makkah hendaklah menghadap ke arah tanah suci Makkah dengan tujuan menghadap Masjidil Haram atau Kaabah. Cara ini memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika mendirikan solat dan ibadat-ibadat lain.

Bagi tempat yang jauh seperti di Malaysia, ijtihad arah Kiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak atau astronomi dengan menggunakan peralatan yang bersesuaian seperti kompas, teodolit dan juga mata angin. Arah Kiblat juga boleh ditentukan berdasarkan kepada kedudukan matahari dan bintang. Kaedah-kaedah yang tersebut di atas digunapakai oleh umat Islam di seluruh dunia sehingga kini.

 

2. Soalan: Apakah azimuth (darjah) kiblat yang diguna pakai di Malaysia?

Jawapan: Azimuth (darjah) kiblat yang diguna pakai di Malaysia adalah di antara 291° hingga 293°.

 

3. Soalan: Bolehkah penentuan arah kiblat berpandukan piring astro?

Jawapan: Kita perlu ambil perhatian bahawa piring Astro tidak mengadap tepat ke arah kiblat. Ianya hanya boleh dijadikan panduan setelah kita membuat semakan arahnya dan dibuat pembetulan dari arah kiblat sebenar. Pengesahan arah kiblat yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di masjid, surau dan premis-premis awam tidak boleh dibuat perbandingan dengan piring Astro yang berbeza-beza di setiap lokasi. Pengesahan kiblat di premis-premis tersebut menggunakan kaedah, pengiraan, peralatan dan kemahiran yang khusus.

 

4. Soalan: Bolehkah penentuan arah kiblat berpandukan aplikasi telefon pintar?

Jawapan: Aplikasi telefon pintar yang digunakan bagi penetuan arah kiblat kebiasaannya menggunakan konsep kompas. Walaubagaimanapun, cara menggunakannya perlu betul kerana alat tersebut amat sensitif dengan tarikan magnetik seperti besi, arus elektrik, alat elektronik dan sebagainya dan kegunaannya adalah untuk peribadi sahaja.

 

5. Soalan: Bolehkah menjadikan arah terbenamnya matahari sebagai ukuran untuk penentuan arah kiblat?

Jawapan: Secara umum merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah-ubah dari azimuth 235° hingga 295°. Walaubagaimanapun sebagai salah satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan sekiranya diketahui perbezaan sudut di antara arah matahari terbenam dengan arah kiblat. Anggaran perbezaan sudut antara arah kiblat dengan matahari terbenam bagi kegunaan di Malaysia dinyatakan secara purata dalam Jadual I seperti berikut:

Jadual I: Anggaran perbezaan sudut di antara arah Kiblat dengan matahari ketika terbenam di Malaysia

Bulan Anggaran Arab Kiblat Dan Matahari Terbenam
Januari ke kanan 45°
Februari ke kanan 40°
Mac ke kanan 25°
April ke kanan 15°
Mei ke kanan 5°
Jun ke kiri 1°
Julai ke kanan 1°
Ogos ke kanan 5°
September ke kanan 15°
Oktober ke kanan 30°
November ke kanan 40°
Disember ke kanan 45°

 

6. Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan istiwa A`dzam?

Jawapan: Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun. Fenomena ini berlaku pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang (mengikut waktu piawai Malaysia). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah Kiblat. Lihat Rajah 1.

Rajah 1: Kedudukan matahari di atas Kaabah yang menyebabkan bayang-bayang tegak di seluruh dunia membetuli arah Kiblat.

 

7. Soalan: Bolehkan permohonan semakan arah kiblat untuk rumah-rumah persendirian dibuat.

Jawapan: Pejabat Mufti wilayah Persekutuan mengambil tanggungjawab dalam menentukan arah kiblat bagi masjid-masjid, surau-surau, musolla dan tanah perkuburan Islam; tidak termasuk rumah-rumah persendirian. Bagi rumah-rumah persendirian, permohonan boleh dibuat kepada Persatuan Jurufalak Syarie yang ada menyediakan perkhidmatan menentukan arah kiblat rumah-rumah persendirian.

 

UMUM

1. Soalan: Kenapa bulan islam mempunyai 29 dan 30 hari?

Jawapan: Di Malaysia, penentuan awal bulan hijriah adalah secara rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria Imkanur-rukyah. Kaedah ini berhubungkait di antara satu sama lain dalam urusan penentuan awal bulan hijriah di Malaysia. Sekiranya hitungan pada hari ke-29 setiap bulan hijriah memenuhi syarat Imkanur-Rukyah, maka keesokan harinya adalah awal bulan baru. Sebaliknya jika ia tidak memenuhi syarat Imkanur-Rukyah, maka bulan itu akan menjadi 30 hari.

 

2. Soalan: Apa beza bulan hijri dan bulan qamari?

Jawapan: Di antara bulan hijri dan bulan qamari tiada perbezaan dan pada asasnya takwim hijriah berdasarkan kepada peredaran bulan. Bulan qamariah dalam setahun adalah 12 bulan iaitu Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bilangan hari bagi setiap bulan qamariah mengandungi 29 atau 30 hari bergantung kepada bila berlakunya ijtimak dan kewujudan/kenampakan hilal pada penghujung bulan qamariah hari ke-29 setiap hijriah mengikut syarat-syarat tertentu.

 

3. Soalan : Bila bermulanya hari baru dalam takwim hijri?

Jawapan: Hari baru dalam takwim hijri bermula pada waktu maghrib (matahari terbenam) hari kelihatan hilal.

 

4. Soalan: Kenapa perlu ditentukan waktu imsak untuk berpuasa?

Jawapan: Waktu imsak untuk berpuasa ditentukan sebagai waktu ihtiati (berjaga-jaga/berwaspada) agar tidak tergopoh-gapah bersahur hingga masuknya waktu subuh. Waktu imsak juga adalah sebaik-baik waktu bagi seseorang itu berhenti makan/minum ketika bersahur bagi membolehkannya bersiap-siap untuk menantikan masuknya waktu subuh. Walaubagaimanapun mereka yang makan/minum selepas waktu imsak tidaklah membatalkan puasanya selagi mana tidak sampai masuknya waktu subuh.

 

5. Soalan: Perlukah solat sunat gerhana apabila berlaku gerhana penumbra?

Jawapan: Buat masa ini, Panel kajian Syariah (PKS) Jakim menetapkan hukum solat gerhana bulan penumbra adalah diharuskan.

 

6. Soalan: Apakah maksud gerhana penumbra?

Jawapan: Maksud gerhana bulan penumbra adalah seperti berikut:

i. Gerhana Bulan Penumbra Penuh:

  • Ia berlaku apabila keseluruhan kedudukan bulatan piring bulan berada di dalam bayang penumbra, namun ia tidak menyentuh langsung bayang umbra bumi.

ii. Gerhana Bulan Penumbra Separa:

  • Gerhana Bulan Penumnba Separa pula berlaku apabila sebahagian kedudukan bulatan piring bulan berada di dalam bayang penumbra bumi dan sebahagian lagi berada di luar bayang penumbra.

 

7. Soalan: Bilakah bermulanya waktu Dhuha?

Jawapan: Berdasarkan takwim waktu solat jabatan mufti negeri-negeri, waktu dhuha adalah 28 minit selepas waktu syuruk.

Kaedah hitungan yang diaplikasikan menurut JAKIM adalah:

Waktu Dhuha = Waktu syuruk + 1/3 
(tempoh masa daripada waktu fajar hingga waktu syuruk)

Berdasarkan beberapa buah kitab falak dalam bab hitungan waktu solat menggunakan rubuk mujayyab, permulaan waktu dhuha ditakrifkan sebagai keadaan dimana kedudukan matahari berada 5˚ daripada ufuk timur.