Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS PENGISLAMAN SAUDARA BARU NOOR NETUSHA NUSAYBAH

PUTRAJAYA, 17 JANUARI 2022 – Bertempat di Dewan Syura, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah diadakan Majlis Pengislaman Saudara Baru yang disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Saudari Noor Netusha Nusaybah binti Abdullah atau nama asalnya Netusha Naidu a/p Raju Naidu telah melafazkan dua kalimah syahadah dengan dipandu oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah. Turut hadir bersama majlis tersebut ialah YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Majlis pengislaman beliau turut disaksikan oleh ibu kandungnya Pn Nirmala Balakrishnan dan bapa saudaranya Pradeep Balakrishnan selain pegawai kanan PMWP, pegawai kanan JAWI serta rakan-rakan saudari Netusha. Beliau mula berminat mendalami Islam apabila melakukan kajian dalam sejarah pemikiran dan gerakan politik Islam di Asia Tenggara (Patani & Malaysia). Tuan Haji Zaidi Hassan adalah individu yang memperkenalkan saudari Netusha kepada Islam dengan lebih mendalam.

Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman memberikan nasihat dan panduan kepada saudari Netusha mengenai kehidupan sebagai seorang yang beragama Islam. Saudari Netusha digalakkan agar terus mendalami agama Islam di samping mengamalkan segala suruhan agama dengan sebaik dan semampunya. YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib turut memberi penerangan mengenai proses dokumentasi dan sokongan saudara baru yang akan diberikan.