Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS AMANAT YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) DAN DISKUSI BERSAMA JAWATANKUASA DI BAWAH PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

SEPANG, SELANGOR, 26 APRIL 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) buat julung-julung kalinya mengadakan ‘Majlis Amanat YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dan Diskusi Bersama Jawatankuasa Di Bawah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan’ di Mövenpick Hotel & Convention Centre, Sepang pada 25 April 2022. Majlis telah dihadiri YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Daud bin Bakar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan menghimpukan (7) tujuh jawatankuasa di bawah PMWP serta warga kerja PMWP.

Majlis dimulakan dengan ‘Diskusi Bersama Jawatankuasa Di Bawah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan’ yang melibatkan 3 panel iaitu Sr Dato’ Dr. Azhari bin Mohamed, Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Dr. Yasmin Hanani binti Mohd Safian, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dan Dr. Nur A’thiroh Masyaa’ill Tan binti Abdullah @ Tan Ai Pao, Panel Konsultasi Akidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Dr. Syed Shahridzan bin Syed Mohamed, Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan) bertindak sebagai moderator. Diskusi tersebut telah membincangkan peranan dan sumbangan jawatankuasa serta harapan ahli panel kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. SS Datuk Mufti mengalu-alukan dan merakamkan ucapan terima kasih atas  kehadiran YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tetamu-tetamu kehormat, ketua-ketua atau wakil agensi, jawatankua-jawatankuasa PMWP dan para tetamu jemputan serta semua warga kerja PMWP ke majlis tersebut. Beliau juga merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PMWP Tahun 2021 dan berharap agar APC ini menjadi pendorong kepada semua warga kerja PMWP untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada perkhidmatan awam khususnya kepada PMWP pada masa akan datang.

Seterusnya, amanat daripada YB Senator Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekaligus merasmikan Majlis Amanat YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dan Diskusi Bersama Jawatankuasa Di Bawah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Antara inti pati dalam amanat beliau adalah dengan menyatakan hasrat kepada PMWP agar segera menangani isu-isu semasa berkaitan agama yang memerlukan kepada jawapan dan pencerahan dengan meraikan kepelbagaian pandangan pada masa yang sama meraikan uruf di Malaysia serta selari dengan maslahah umat Islam. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PMWP Tahun 2021 dan berharap agar PMWP terus cemerlang dan berjaya dalam merealisasikan visi untuk menjadi peneraju dalam pengurusan fatwa bertaraf dunia yang efisyen, profesional dan diyakini menjelang tahun 2025.

Sebelum mengakhiri majlis, penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PMWP Tahun 2021 kepada para penerima APC, PMWP Tahun 2021 dan watikah perlantikan kepada Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) lantikan kontrak telah disampaikan oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekaligus merasmikan pelancaran buku “Marhaban Ya Ramadan: Infografik Hukum dan Fatwa” dan Jurnal Fatwa Dan Turath Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan”. Majlis berakhir dengan jamuan berbuka puasa dan sesi beramah mesra YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama jawatankuasa-jawatankuasa di bawah PMWP yang hadir ke majlis tersebut.

 

 


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+