Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN DAN BERBUKA PUASA BERSAMA ANAK YATIM DAN ASNAF ANJURAN PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN RAKAN STRATEGIK

PUTRAJAYA, 29 APRIL 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan kerjasama rakan strategik yang terdiri daripada Kedutaan Arab Saudi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Desa Seri Saujana Care, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Masjid Al-Imam Ash-Shafie dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Kasih Neelofa telah menganjurkanMajlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim Dan Asnaf’ yang diadakan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28 April 2022. Majlis telah disertai seramai 500 jemputan termasuk tetamu kehormat iaitu SS Datuk Dr.Luqman Hj.Abdullah,Mufti Wilayah Persekutuan, Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Rubai’an, Atase Kedutaan Arab Saudi, Datuk Zohari Said, NGO Desa Seri Saujana Care, Datuk Kamaruddin, Masjid Al-Imam Ash-Syafie dan Tuan Haji Md Kasim bin Harun, Penasihat NGO Pertubuhan Kasih Neelofa.

Di awal sesi majlis, beberapa orang pegawai penyelidik PMWP telah memberikan sedikit pengisian ringkas dan santai di samping menekankan salah satu aspek Mufti Care PMWP yang berteraskan kefatwaan, keilmuan, dakwah dan kemasyarakatan kepada anak-anak yatim dan asnaf yang hadir ke majlis tersebut. Majlis  diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan yang merakamkan ucapan penghargaan kepada tetamu kehormat, para tetamu jemputan dan anak-anak yatim dan asnaf yang diraikan atas kehadiran  ke Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim Dan Asnaf. SS Datuk Mufti juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang menghulurkan bantuan sumbangan dan derma kepada anak-anak yatim dan asnaf melalui majlis tersebut.

Seterusnya, SS Datuk Mufti mengakhiri ucapan dengan menyeru agar memperbanyakkan ibadat terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadan yang mana diberat sangka akan ada malam lailatul qadar. Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada para hadirin yang hadir dan menyeru agar sentiasa bersyukur kepada Allah SWT yang telah membalikkan semula nikmat suasana berhari raya yang normal walaupun masih berhadapan dengan endamik Covid-19. Majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Rubai’an. Beliau menzahirkan rasa kesyukuran dapat menyantuni anak-anak yatim dan asnaf melalui pelaksanaan majlis ini. Sheikh juga memberikan semangat kepada anak-anak yatim bahawa para ulamak dan tokoh-tokoh dunia termasuk Rasulullah S.A.W. yang terdiri sebagai anak yatim. Oleh itu, tidak mustahil sekiranya mereka berusaha dan belajar dengan tekun mereka juga berpeluang mencorak kejayaan dan kecemerlangan.

Sesi penyampaian sumbangan dan duit raya telah disampaikan Datuk Mufti, Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Rubai’an dan Puan Noor Razlina Noor Mohamed, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa kepada anak-anak yatim dan asnaf yang diiringi pengiring setiap rumah kebajikan yang hadir ke majlis tersebut. Majlis berakhir dengan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan asnaf dan solat maghrib berjemaah di Dewan Solat Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

 

 


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+