Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM WACANA FATWA SEMASA PERINGKAT KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

PUTRAJAYA, 23 JUN 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) melalui Bahagian Sumber Maklumat (BSM) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  telah menganjurkan Program Wacana Fatwa Semasa Peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Kristal, KPKT. Program dihadiri seramai 200 orang warga KPKT. Penganjuran program ini adalah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat awam berkaitan perkara yang melibatkan hukum syarak dan membincangkan tajuk-tajuk terpilih berkaitan isu-isu Islam semasa dan kefatwaan yang relevan serta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu tersebut

Program dimulakan dengan penyampaian ceramah bertajuk “Islam dan Cabaran Islam” daripada YBhg. Prof Madya Dr. Yasmin Hanani binti Mohd Safian, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Dalam ceramah tersebut, beliau menghuraikan beberapa cabaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam terutamanya di Malaysia antaranya kejahilan umat Islam, ancaman liberalism, anti establishment, cabaran terhadap keluarga Islam dan Islamophobia. Program diteruskan dengan pembentangan berkaitan “Fatwa-fatwa Semasa di Wilayah Persekutuan” yang telah dibentangkan oleh SF Ustaz Najmuddin bin Abdul Karim, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Fatwa), PMWP.

Program berakhir dengan tausiah dan penutupan yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan mewakili Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan. Turut hadir dalam majlis tersebut, YBrs. Tuan Muhammad Razman bin Abu Samah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) dan Puan Nor Akmar bin Abdul Karim, Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, KPKT. Semoga program ini dapat memberi manfaat dan menambah ilmu serta meningkatkan kesedaran tentang isu dan fatwa semasa kepada semua yang hadir.

 

 


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+