Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN MENYANTUNI MASYARAKAT ORANG ASLI POS KUALA MU, SUNGAI SIPUT, PERAK

PERAK, 28 MAC 2023 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menganjurkan Program Khidmat Masyarakat PMWP pada 15 hingga 16 Mac 2023 bertempat di perkampungan orang asli Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak. Program ini diketuai oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan dengan penglibatan 30 pegawai dan kakitangan PMWP dengan kerjasama rakan strategik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tabung Haji dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Desa Seri Saujana Care (NGO DSS Care).

Program Khidmat Masyarakat ini memfokuskan kepada aspek dakwah dan kemasyarakatan melalui program-program penghayatan Islam di samping mengeratkan hubungan silaturrahim dan menanam sikap prihatin dalam kalangan masyarakat setempat. Antara pengisian menarik yang telah diadakan ialah beramah mesra melalui edaran bakul makanan kepada 230 ketua keluarga, tayangan filem patriotik Mat Kilau serta program-program yang membina silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat seperti acara bola sepak dan sukaneka  juga mengadakan aktiviti gotong royong membaik pulih surau serta mengecat rumah asnaf.

Di akhir program, SS Tuan Haji Jamali menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini serta menyatakan hasrat agar terus mengadakan program-program seperti ini pada masa akan datang. Majlis turut dihadiri Sahibus Samahah Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Semoga program-program seperti ini memberi manfaat dan pendekatan dalam membangkitkan penghayatan Islam kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia.