SHAH ALAM, 3 JUN 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melaksanakan Bengkel Penggubalan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) pada 1 - 3 Jun 2022 di Hotel Concorde, Shah Alam. Selain ahli mesyuarat program, turut dihadiri panel jemputan iaitu YBhg. Datuk Abdul Rahman Putra bin Dato’ Taha, Penasihat Undang-Undang Istana Negara, YBhg. Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, JAKIM dan YBrs. Tuan Zainor Rashid bin Hassin, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) hadir bersama-sama menjayakan bengkel tersebut.
Pelaksanaan bengkel tersebut bertujuan untuk membuat semakan secara menyeluruh Draf Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Undang-Undang Syarak dan Sivil. Draf tersebut telah dirangka oleh ahli Jawatankuasa Penggubalan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) melalui mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Penggubalan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) bagi menyahut hasrat dan aspirasi YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk dibentangkan di Parlimen.
Penyediaan Draf Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) ini telah dipertanggungjawabkan kepada JAKIM melalui Bahagian Undang-Undang, JAKIM dengan mengambil kira pandangan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berdasarkan persetujuan dan keputusan Mesyuarat Pasca Kabinet Bil. 19 Tahun 2021 pada 20 September 2021. Bengkel tersebut berakhir dengan penyampaian naskhah bahan terbitan PMWP kepada ahli yang hadir.