Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if297 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt, ust berkenaan isu penghinaan terhadap Rasulullah ﷺ dan Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah R.Anha yang kita cintai. Saya ingin bertanya; adakah halal darah mereka bagi kita orang Islam? Minta penjelasan. Kami sangat memerlukan jawapan daripada ulama dapat merancang tindakan yang patut kami ambil. Jazaakallahu khairan atas jawapan ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Isu penghinaan kepada Rasulullah ﷺ dan Ummul Mukminin Aisyah R.Anha adalah satu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dibawa main-main. Firman Allah ﷻ:

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Taubah, 61)

Syeikh al-Maraghi berkata dalam tafsirnya: “Menyakiti Rasulullah ﷺselepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”

Firman Allah ﷻ:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (melakukan perkara yang tidak diredai) Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina..”

(Surah al-Ahzab: 57)

Imam Ibn Katsir menyebut dalam tafsir: “Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.”

 

Mempertahankan RasulullahAdalah Kesempurnan Iman

Justeru, setiap umat Islam wajib mencintai Rasulullah ﷺ kerana mencintai baginda adalah kesempurnaan iman. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.”

Riwayat Bukhari (16) dan Muslim (43)

Antara cara menunjukkan keimanan dan kecintaan ini, seperti mana yang dilakukan oleh para sahabat dan Salaf al-Soleh dengan mempertahankan baginda sekalipun dengan kekerasan. Daripada Saidina Umar al-Khattab, bahawa pada suatu hari, dihadapkan kepadanya seorang lelaki yang mencaci Nabi ﷺ. Maka Saidina Umar pun menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Kemudian Saidina Umar berkata:

مَنْ سَبَّ ٱللّٰهَ أَوْ سَبَّ أَحَدًا مِنَ ٱلأَنْبِيَآءِ فَاقْتُلُوْهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencaci Allah, atau mencaci seseorang daripada para Nabi, maka bunuhlah dia.”

Rujuk al-Saif al-Maslul ‘ala Man Sabba al-Rasul ﷺ (hlm. 124) oleh Imam Taqiyuddin al-Subki

Daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin Abdul Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin Abdul Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin Abdul Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke al-Kunasah (tempat pembuangan sampah) mak engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang  itu mencela Rasulullah SAW.”

Lihat al-Muhalla  (14/434)

Kerajaan Berhak Menangkap dan Menghukum Pencela Rasulullah

Ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan menghina Rasulullah ﷺ. Kesimpulannya, pihak pemerintah mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menimbulkan fitnah dalam masyarakat dengan menghina Rasulullah ﷺ sehingga boleh merosakkan kerukunan masyarakat. Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (8/142) berkenaan tanggungjawab orang bukan Islam di dalam negara Islam: “Mereka hanya dibenarkan memperkatakan perkara yang baik tentang agama Islam. Jikalau mereka memburuk-burukkan al-Quran, Rasulullah SAW atau mencaci undang-undang Allah, mereka akan dihukum ta’zir.”

Hukuman ta`zir itu pada asalnya bermaksud ta`dib (mendidik) penjenayah dan masyarakat. Oleh itu, pihak pemerintah perlu menggunakan kuasa yang diberikan dalam Hukum Syarak ini dengan kebijaksanaan supaya kes-kes seperti ini tidak berulang lagi. Selain hukuman, perkara yang paling penting yang perlu dilakukan pemerintah dan umat Islam, ialah menyampaikan fakta yang sebenar tentang Rasulullah ﷺ dan menghilangkan syubhat tentang peribadi baginda. Boleh jadi mereka menghina dan mencaci kerana tidak pernah mengetahui ajaran sebenar Islam dan mendapat berita palsu. Memikirkan kesan atau natijah dari sesuatu pendekatan dakwah atau yang kita sebut sebagai Fiqh al-Ma’al dalam pendekatan hukuman dan dakwah adalah sangat penting. Antaranya, firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

(Surah al-An’am: 108)

Ibn Kathir berkata: “Allah melarang rasul-Nya dan orang yang beriman memaki tuhan kaum Musyrikin meskipun adanya maslahat. Ini kerana boleh menimbulkan mafsadah yang jauh lebih besar kerana mereka pasti memaki Tuhan orang yang beriman padahal Allah adalah Rabb yang tiada Tuhan selain Dia.”

Lihat Tafsir Ibn Kathir (3/272)

Nabi SAW bersabda:

لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ

Maksudnya: “Supaya orang ramai tidak bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (4905)

Hadis ini berkenaan isu orang-orang munafik yang dikepalai oleh Abdullah bin Ubai yang berkata: “Demi Allah jika kami pulang ke kota Madinah, nescaya akan mengeluarkan orang yang mulia daripadanya orang-orang yang hina.” Ini menyebabkan Saidina Umar meminta izin Rasulullah SAW untuk memenggal leher si munafik ini. Lantas Nabi SAW bersabda dengan hadis ini.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Ini kerana dibimbangi boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai liar dan takut untuk memeluk Islam.” Lihat Fath al-Bari (3/392)

 

Kesimpulan

Oleh itu, dalam konteks Malaysia di mana kita memiliki sistem undang-undang untuk mengekang perlakuan menghina agama Islam, hendaklah kita melaporkan kepada pihak berkuasa apa-apa ucapan, perlakuan dan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah ﷺ, supaya mereka diambil tindakan mengikut laras undang-undang. Tidak boleh kita mengambil tindakan sendiri untuk menghukum jika tidak mengikut tindakan undang-undang, apatahlagi dengan kekerasan, kerana boleh mendatangkan bahaya kepada imej Islam, umat Islam dan keharmonian negara, seperti yang disebut “boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai liar dan takut untuk memeluk Islam.”

Semoga penjelasan ini memberikan panduan dan kefahaman kepada penanya.