Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

irsyad374

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan berkenaan kewajipan zakat. Seorang lelaki mempunyai simpanan harta yang telah melebihi nisab namun sebelum ia cukup haulnya, dia memberikan harta tersebut kepada ahli keluarganya yang lain seperti saudaranya dengan tujuan tidak mahu mengeluarkan zakat. Soalan saya di sini, apakah hukum seseorang itu berbuat demikian? Adakah dia masih dikenakan kewajipan zakat ataupun kewajipan tersebut gugur terhadapnya? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Sekian terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

﴿وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ﴾

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat,

Surah al-Baqarah (43)

Dan firman Allah S.W.T:

﴿خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ﴾

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah al-Taubah (103)

Kedua-dua ayat ini menjadi dalil kewajipan ke atas setiap individu muslim agar mengeluarkan zakat (setelah sampai nisab dan juga cukup haul) ke atas hartanya supaya dapat membesihkan hati daripada sifat-sifat keji. Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. [Lihat: Tafsir al-Mawardi; 2/398].

Kewajipan zakat ini hanya dikenakan ke atas orang Muslim yang memiliki nisab (jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi harta yang wajib dikeluarkan zakat) dan juga telah cukup tempoh setahun (haul) qamariah memiliki nisab berdasarkan dalil hadith Nabi Muhammad S.A.W:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.”

          Riwayat Abu Daud (1573)

Namun syarat tempoh setahun ini tidak terpakai ke atas tanaman, buah-buahan dan juga galian, yakni zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 2/16-17]. Maka, jika mereka enggan mengeluarkan zakat ke atasnya, kerana mengingkari akan kewajipannya, para ulama’ telah bersepakat bahawa mereka ini adalah kafir dan murtad. Ibn Hajar al-‘Asqalani ada berkata:

وأما أصل فرضية الزكاة فمن جحدها كفر

Maksudnya: “Adapun dalil kewajipan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir”.

[Lihat: Fath al-Bari; 3/262]

Dan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat kerana bakhil dan kedekut sedangkan mereka mengetahui kewajipannya, maka mereka ini orang yang fasiq, berdosa dan mendapat azab seksa di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

﴿وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (34) يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ﴾

Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu, rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.

Surah al-Taubah (34-35)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T menekankan bahawa barangsiapa yang menyimpan harta mereka (setelah diwajibkan ke atas mereka) dari mengeluarkan zakat, maka azab yang pedih lagi menyeksakan menanti mereka. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah S.A.W:

كُلُّ مَا أُدِّيَتْ زَكَاتُهُ فَلَيْسَ بِكَنْزٍ، وَكُلُّ مَا لاَ تُؤَدِّي زَكَاتَهُ فَهُوَ كَنْزٌ

Maksudnya: “Setiap harta yang dikeluarkan zakatnya, ia bukanlah simpanan, dan setiap harta yang tidak engkau keluarkan zakatnya, ia adalah simpanan”.

Riwayat al-Bukhari (4)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, maka di sini ia termasuk dalam perbuatan helah. Sebelum mengulas lanjut perkara ini, sebaiknya dilihat terlebih dahulu definisi helah dan pembahagiannya.

Definisi Helah

Helah mengandungi banyak makna antaranya ialah:

  1. Kemahiran menguruskan sesuatu seperti menukarkan sesuatu kepada sesuatu yang lain sehingga mencapai kepada tujuan.
  2. Apa yang sampai kepadanya satu keadaan yang diingini dalam sembunyi.
  3. Jalan atau cara tersembunyi yang membawa kepada perkara yang buruk dari segi syarak, akal dan juga adat.
  4. Jalan atau cara tersembunyi bagi menghalalkan sesuatu yang haram atau bagi menggugurkan kewajipan ke atasnya, dan kesemua helah termasuklah helak terhadap hak Allah S.W.T dan hak manusia.

[Lihat: al-Hiyal; hlm.109]

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, helah ialah akal, muslihat, tipu daya dan juga alasan yang dibuat-buat. Helah ini kebiasaannya berlaku pada perkara-perkara yang tidak baik, namun kadang-kadang ia membawa kepada hikmah juga. Helah terbahagi kepada dua iaitu helah yang dibenarkan dan helah yang diharamkan.

Helah yang dibolehkan ialah helah yang digunakan bagi melepaskan dirinya dari dosa untuk sampai kepada perkara yang halal atau kepada hak-hak atau untuk mencegah kebatilan dan helah ini tidak meruntuhkan dasar-dasar syariat atau bercanggah dengan maqasid dan juga maslahah.

Manakala helah yang diharamkan pula ialah helah yang digunakan untuk mencapai tujuan yang bertentangan dengan syarak atau membatalkan hak-hak atau memasukkan perkara yang syubhah. Kesemua helah jenis ini tidak khilaf lagi dalam kalangan para ulama’ terhadap pengharamannya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 18/330].

Helah dari Kewajipan Berzakat

Pada asalnya, apabila seseorang itu memiliki harta yang telah melebihi nisab dan juga telah cukup tempoh setahun milikannya, maka diwajibkan zakat ke atasnya. Namun, hal yang berlaku ialah, apabila hampir sampai tempoh setahun (haul) harta tersebut, diberikannya kepada orang lain atau dijualnya atau dihadiahkannya atau bermacam cara lagi yang dilakukan dengan tujuan untuk melarikan diri dari melakukan kewajipan zakat.

Perkara ini seperti disebut di awal kalam ini, kami nyatakan bahawa ia termasuk dalam helah yang diharamkan, yakni kerana menggunakan helah untuk mencapai kepada tujuan yang tidak baik iaitu mengelak dari membayar zakat. Maka, hukum melakukan helah sedemikian adalah haram dan berdosa.

Imam al-Syafi’i bersama-sama dengan Imam Abu Hanifah berkata:

إنَّ مَنْ قَصَدَ الْفِرَارَ مِنْ الزَّكَاةِ فَوَهَبَ مِنْ مَالِهِ شَيْئًا أَوْ بَاعَهُ ثُمَّ اشْتَرَاهُ قَبْلَ الْحَوْلِ سَقَطَتْ عَنْهُ الزَّكَاةُ وَإِنْ كَانَ مُسِيئًا عَاصِيًا

Maksudnya: Sesungguhnya barangsiapa yang berniat untuk melarikan diri dari kewajipan zakat, dengan cara dia menghadiahkan kepada seseorang sesuatu daripada hartanya atau menjualnya kemudian membelinya sebelum sampai kepada tempoh setahun (haul), maka gugur ke atasnya kewajipan zakat (disebabkan tidak cukup nisab hartanya bagi mewajibkan zakat) dan sesungguhnya perbuatan itu merupakan suatu dosa dan kemaksiatan.

[Lihat: Hasyiyah al-Bujairami ‘ala al-Khatib; 3/484]

Ini kerana dia berubah niat kepada niat yang tidak baik sebelum daripada hartanya hilang atau luput dari milikannya sebagai contoh sebelum dia menjualnya atau menghadiahkannya. Pengharaman ini juga dikuatkan lagi dengan kalam Syeikh al-Dimyati:

(قوله: وفي الوجيز يحرم) أي زوال الملك بقصد الفرار.

Maksudnya: Diharamkan iaitu menghilangkan milikannya dengan tujuan untuk melarikan diri (dari kewajipan zakat)

[Lihat: I’anatu al-Tolibin; 2/176, dan juga Fath al-Mu’in; 232]

Seterusnya, Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili juga ada membincangkan mengenai isu ini di dalam kitabnya, katanya:

“Haram melakukan helah bagi tujuan menggugurkan kewajipan zakat seperti contoh seorang lelaki (diwajibkan zakat ke atasnya) memberikan hadiah kepada seorang fakir kemudian membelinya semula daripadanya, ataupun menghadiahkan sebahagian daripada hartanya kepada kaum kerabatnya sebelum cukup tempoh haul kemudian memintanya semula setelah berlalu tempoh tersebut”.

[Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu; 3/1979]

Namun katanya lagi, jika seseorang itu melakukan helah dari mengeluarkan zakat, maka menurut mazhab Hanafi dan juga Syafi’i, tidak dikenakan kewajipan zakat ke atasnya yakni gugur ke atasnya kewajipan zakat kerana hartanya (nisab) telah berkurang sebelum cukup tempoh haul, maka tiada kewajipan zakat ke atasnya.

Hukuman ke atas mereka yang lari dari zakat

Wujudnya firman Allah S.W.T:

﴿وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ﴾

Maksudnya: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?"

Surah Ali-‘Imran (180)

Imam al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini diturunkan ke atas orang yang bakhil (kedekut) terhadap hartanya bagi melakukan infaq di jalan Allah S.W.T dan juga menunaikan zakat yang telah difardhukan ke atasnya. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 4/291]. Imam Ibrahim al-Nakha’i pula menyebut yang dimaksudkan dengan سَيُطَوَّقُونَ ialah Allah S.W.T akan menjadikan mereka (orang yang bakhil) pada Hari Kiamat kelak dibelenggu dengan api neraka. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 4/292].

Begitu juga hadith Nabi Muhammad S.A.W:

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ، مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ شُجَاعًا أَقْرَعَ، لَهُ زَبِيتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ، ثم يَقُولُ: أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ

Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari Kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.”           

Riwayat al-Bukhari (1338)

Hadith di atas juga menunjukkan perihal yang sama berkenaan betapa beratnya dosa bagi orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat ke atas harta mereka. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa dosa tersebut terpakai ke atas orang yang mengingkari kewajipan zakat dan juga terhadap orang yang bakhil. [Lihat: Fath al-Bari; 3/268].

Penutup

Kesimpulannya, melakukan helah supaya dapat melarikan diri dari kewajipan zakat adalah haram hukumnya dan juga perbuatan ini merupakan dosa dan juga maksiat terhadap Allah S.W.T. Kami menasihati orang ramai agar dapat mengeluarkan zakat ke atas harta mereka kerana ia bukan sahaja menyucikan harta mereka malah membersihkan juga hati mereka, di samping banyak hikmah yang boleh diperolehi di sebaliknya. Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kemudahan dan keikhlasan dalam diri kita untuk melakukan ibadah kepadaNya, selain memurahkan rezeki serta memberta segala amal kebajikan kita.

Wallahua’lam.