BAYAN LINNAS SIRI KE-264: LARANGAN SOLAT DI RUANG UTAMA KERANA MEMBAWA KANAK-KANAK

LARANGAN SOLAT DI RUANG UTAMA KERANA MEMBAWA KANAK KANAK

 

Peranan Masjid

Masjid memiliki kedudukan yang sangat istimewa dan penting dalam Islam. Segala urusan pentadbiran dan kenegaraan sehinggakan ketenteraan dikelolakan oleh Baginda Nabi SAW di masjid. Ini menunjukkan bahawa masjid merupakan pusat kehidupan dan seluruh kegiatan Islam ketika zaman Nabi SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanya orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah”.

Kanak-kanak dan Masjid

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, ini merupakan pepatah melayu yang sering digunakan sebagai nasihat dalam mendidik anak-anak bermula dari awal peringkat umur. Mendidik dengan membawa mereka ke masjid merupakan cara memupuk rasa cintakan masjid sejak dari kecil. Dalam masa yang sama pihak masjid juga memainkan peranan yang penting dalam menyantuni kanak-kanak yang datang agar mereka merasa lebih dekat dan selesa dengan masjid. Hadis yang menunjukkan kemesraan Nabi SAW dalam menyantuni kanak-kanak sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA, katanya:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkanya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”.

Dari sudut hukum syarak, terdapat dua pandangan dalam isu membawa kanak-kanak ke masjid.

جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ

Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian”

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”.

Dalam hadis yang lain juga yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik menyebut bahawa Nabi SAW meringkaskan solat apabila mendengar suara tangisan kanak-kanak. Imam Ibnu Hajar dan Imam al-Syaukani berpendapat bahawa dua hadis di atas menunjukkan bahawa hukum bagi kanak-kanak masuk ke masjid adalah dibenarkan harus.

Kanak-kanak menurut fuqaha syafi’iyyah memberi maksud kanak-kanak yang mumayyiz dan sunat membawa mereka untuk mengimarahkan masjid dengan mendirikan solat berjemaah. Berkaitan saf kanak-kanak yang telah mumayyiz dan orang dewasa, Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa saf kanak-kanak berada di belakang saf makmum dewasa. Namun, sekiranya mereka hadir terlebih dahulu dan masuk ke dalam saf yang pertama, maka mereka tidak boleh ditarik untuk ke saf belakang. Ini kerana mereka berhak untuk mendapatkan saf tersebut. Imam Mawardi berpendapat bahawa keutamaan bagi kanak-kanak yang mumayyiz untuk diletakkan bersama saf orang dewasa supaya mereka dapat mempelajari pergerakan solat.

Bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz dan tidak dapat berdikari melakukan solat, ibu bapa mereka berperanan dalam memastikan anak-anak mereka tidak menggangu jemaah lain yang sedang melakukan ibadah. Bahkan satu perkara yang baik sekiranya pihak masjid dapat menyediakan inisiatif dan fasiliti bersesuaian untuk mereka supaya tidak megganggu perjalanan ibadah solat di masjid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said menceritakan bahawa Nabi SAW pernah menegur seseorang yang membaca al-Quran dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang lain yang mengerjakan ibadah.[1]

Pun begitu, pihak masjid berhak menetapkan syarat dan etika tertentu terutamanya bagi kehadiran kanak-kanak agar tidak mengganggu dan menjamin perjalanan ibadat lebih selesa serta lebih fokus dan khusyuk. Hak individu untuk beribadah hendaklah dijaga supaya tidak terganggu dengan kehadiran kanak-kanak ke masjid. Bahkan Syiekh Abdul Rahman al-Jaziri menukilkan pandangan fuqaha Syafi’iyyah berpendapat bahawa haram membawa kanak-kanak di dalam masjid jika dengan kehadiran mereka menjadikan masjid termpat bermain dan memberi kemudaratan kepada para jemaah di dalamnya[2].

Kesimpulan

Setelah melihat perbahasan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum syarak membenarkan kanak-kanak datang ke masjid bagi mendekatkan mereka kepada masjid dan dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Justeru itu, pihak masjid sepatutnya mengambil peluang ini untuk menyantuni ibu bapa yang ingin membawa anak-anak mereka pergi ke masjid agar dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk cintakan masjid terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak.

Bagi kanak-kanak yang mumayyiz dan mampu berdikari melakukan solat, sebaiknya pihak masjid menyediakan saf yang khusus untuk mereka di belakang saf orang dewasa. Boleh juga kanak-kanak yang tidak mengganggu dan boleh melakukan solat dengan sempurna diletakkan bersama saf dewasa terutamanya di samping kedua ibu atau bapanya.

Manakala bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz, menjadi tanggungjawab ibubapa menjaga mereka agak tidak menggangu para jemaah yang lain. Sangat baik bagi pihak masjid sekiranya dapat menyediakan fasiliti yang bersesuaian dalam membantu menjaga kanak-kanak tersebut supaya tidak menggangu perjalanan ibadah.

Baik juga pihak masjid menyediakan inisiatif dengan melantik penyelia untuk mengawasi dan membimbing kanak-kanak dengan penuh kemesraan agar mereka dapat mempelajari gerak-geri solat di samping dapat mengawal keadaan dan kehormatan masjid. Malahan juga ibu bapa juga hendaklah mengambil tanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka tidak mengganggu jemaah lain yang sedang solat. Awasilah mereka dengan penuh sopan-santun agar dapat mendidik mereka dengan penuh kasih sayang. Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا

Maksudnya: Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua dari kalangan kami.

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Sunan Abi daud 1332

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، قَالَ ‏:‏ اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ ‏:‏ ‏"‏ أَلاَ إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلاَ يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلاَ يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ ‏"‏ ‏.‏ أَوْ قَالَ ‏:‏ ‏"‏ فِي الصَّلاَةِ ‏"‏ ‏.‏

[2]

الشافعية قالوا: يجوز إدخال الصبي الذي لا يميز والمجانين المسجد إن أمن تلويثه وإلحاق ضرر بمن فيه، وكشف عورته، وأما الصبي المميز فيجوز إدخاله فيه إن لم يتخذه ملعباً وإلا حرم.  -كتاب الفقه على المذاهب الأربعة-