KAJANG, SELANGOR, 16 MAC 2025 - Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) bersama rakan strategik Persatuan Penduduk Desa Seri Saujana dan Ayam Gepuk Pak Gembus (AGPG) Sdn. Bhd. Ayamgepukmalaysia telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Tautan Madani bersama Pusat Jagaan Anak Yatim/ Miskin Muhammad Alfateh (MAFA) di Sungai Merab, Selangor semalam dengan kehadiran hampir 200 orang masyarakat setempat.
Majlis bermula dengan tazkirah ringkas Ramadan yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Majlis diteruskan dengan iftar perdana dengan kemeriahan bersama anak-anak daripada Pusat Jagaan Anak Yatim/ Miskin Muhammad Alfateh (MAFA) dan penduduk setempat. Seusai solat maghrib berjemaah, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan Ramadan berbentuk duit raya dan 50 kampit beras kepada Pusat Jagaan Anak Yatim/ Miskin Muhammad Alfateh (MAFA) yang disumbangkan oleh Persatuan Penduduk Desa Seri Saujana yang diketuai oleh pengerusi persatuan tersebut iaitu YBhg. Datuk Zohari Said dan Tuan Zulkarnain Mohd Yusof, Ketua Pegawai Operasi (COO) AGPG.
Majlis berakhir dengan solat terawih yang dipimpin oleh para pegawai JMWP. Jabatan ini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Persatuan Penduduk Desa Seri Saujana dan Ayam Gepuk Pak Gembus (AGPG) Sdn. Bhd. atas kerjasama dan sumbangan bagi menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini mendapat manfaat daripada Allah SWT.