PUTRAJAYA, 20 MAC 2025 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi imam yang mewakili Majlis Hukama’ Muslimin dalam usaha mengeratkan silaturahim serta memperkukuh kerjasama dalam bidang keilmuan Islam. Kunjungan ini turut bertujuan untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa umat Islam serta inisiatif dakwah yang boleh diperluaskan di peringkat antarabangsa.
Delegasi tersebut disambut mesra oleh Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak membincangkan kepentingan kesatuan umat Islam serta peranan institusi keagamaan dalam menangani cabaran semasa, khususnya berkaitan kefahaman Islam yang sederhana dan inklusif.
Turut hadir dalam pertemuan ini ialah YBrs. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, serta pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang turut serta dalam sesi perbincangan. Diharapkan pertemuan ini dapat mengukuhkan jalinan kerjasama antara institusi keagamaan serta membuka peluang bagi usaha dakwah yang lebih berkesan demi kemaslahatan umat Islam sejagat.