اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN SANTUNI MASYARAKAT TAMAN PELANGI SEMENYIH MENERUSI CERAMAH PERDANA

BERANANG, 24 Oktober 2026 – Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menyampaikan Ceramah Perdana bertemakan “Memperkasa Masjid dan Surau Sebagai Nadi Ummah, Benteng Akidah dan Jati Diri Islam” bertempat di Surau Al-Mukhlisin, Taman Pelangi Semenyih, selepas solat Maghrib.

Dalam ceramah tersebut, Sahibus Samahah telah mengupas konsep kemampuan (istita'ah) dalam menunaikan ibadah haji yang merupakan salah satu syarat wajib bagi umat Islam. Kemampuan tersebut bukan sahaja melibatkan aspek kewangan, malah turut merangkumi tahap kesihatan, keselamatan perjalanan dan persediaan ilmu. Selain itu, beliau turut menyentuh kepentingan peranan wanita dalam memartabatkan Islam melalui penglibatan aktif dalam alam pekerjaan. Sumbangan golongan wanita dalam pelbagai bidang profesional dan sektor pekerjaan dilihat sebagai antara elemen penting dalam memperkukuh pembangunan ummah, di samping memperlihatkan nilai serta prinsip Islam melalui budaya kerja yang berintegriti, amanah dan berakhlak mulia.

Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat dengan kerjasama Surau Al-Mukhlisin ini turut menjadi wadah memperkukuh hubungan antara institusi keagamaan dengan masyarakat setempat. Penganjuran majlis ilmu seumpama ini diharapkan dapat menyemarakkan budaya ilmu, mengimarahkan institusi surau serta memperkukuh kefahaman agama dan jati diri Islam dalam kalangan masyarakat.