اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 1/2025: KEGIATAN MENOLONG ORANG KURANG BERKEMAMPUAN

 

 

logo_tinta_mufti.png

 

 

KEGIATAN MENOLONG ORANG KURANG BERKEMAMPUAN

 

Kegiatan menolong orang kurang berkemampuan merupakan satu amalan murni yang wajar diterapkan dalam kehidupan seharian. Konsep tolong-menolong dalam masyarakat dapat dipupuk melalui aktiviti seperti memberi bantuan kewangan, makanan, menyumbang pakaian, atau membantu mereka yang memerlukan dari segi tenaga dan masa. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Surah al-Maidah (2)

Islam menggalakkan umatnya saling membantu tanpa mengharapkan balasan, kerana setiap bantuan yang ikhlas pasti akan dibalas oleh Allah SWT. Nilai ini sangat penting dalam membentuk masyarakat yang saling menjaga kebajikan antara satu sama lain. Selain itu, ia juga termasuk dalam amalan yang akan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta diganjari dengan pahala yang besar serta keberkatan hidup. Dalam sepotong hadis Nabi SAW yang bersabda:

مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”

(Riwayat Muslim)

Hal ini menunjukkan bahawa bantuan yang dihulurkan kepada orang lain bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah membuka pintu rezeki dan keberkatan kepada pemberi bantuan itu sendiri. Justeru, kegiatan ini merupakan pelaburan untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, bahawa seorang lelaki berjumpa Rasulullah SAW, lalu bertanya perihal manusia yang paling dicintai oleh Allah SWT dan amalan yang paling disukai oleh-Nya. Maka Rasulullah SAW bersabda:

وَأَحَبُّ اأَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللهِ أَنْفَعَهُمْ لِلنَّاسِ،لْأَعْمَالِ إِلَى اللهِ سُرُورٍ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ، أَوْ تَكْشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دِينًا، أَوْ تُطْرَدُ عَنْهُ جُوعًا

Maksudnya: “Manusia yang paling dicintai Allah SWT adalah orang yang paling bermanfaat kepada manusia lain, dan amalan yang paling dicintai Allah SWT adalah kebahagiaan yang kamu masukkan ke dalam diri orang muslim atau kamu menghilangkan kesulitannya atau kamu melunaskan hutangnya atau menghilangkan laparnya”.

Dalil-dalil berikut menunjukkan bahawa syariat sangat menggalakkan umatnya untuk saling bantu membantu dan bersedekah dalam segenap aspek kebajikan terutamanya kepada orang yang kurang berkemampuan dan sangat memerlukan. Setiap Muslim digesa untuk menghulurkan bantuan mengikut keadaan dan kemampuan masing-masing. Usaha ini akan membentuk satu peradaban masyarakat yang luhur serta melahirkan manusia yang memahami tanggungjawab sosial.

Kegiatan menolong orang kurang berkemampuan merupakan satu amalan mulia yang harus diterapkan dalam kehidupan setiap individu. Kegiatan ini bukan sahaja dapat meringankan beban golongan yang memerlukan, malah mampu memupuk nilai tolong-menolong, kasih sayang dan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Dalam konteks Islam, amalan ini selari dengan konsep ta‘awun serta prinsip maqasid syariah yang secara umumnya bertujuan menjaga kemaslahatan dan menghindarkan kemudaratan.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

19 ZULHIJAH 1446H / 16 JUN 2025