
HARAPAN TIDAK PERNAH PADAM: BERSAMA MENJADI SINAR BUAT YANG SIRNA
Dalam Persidangan Meja Bulat Belia: Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia yang diadakan secara tertutup yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) baru-baru ini di Putrajaya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berkongsi laporan berkaitan kes bunuh diri yang mencatatkan sebanyak 5,857 kes yang dilaporkan sepanjang tempoh 2020 sehingga Oktober 2025, yang 80% daripada kes tersebut adalah membabitkan golongan lelaki terutama dalam kalangan belia dan mereka yang bekerja.[1]
Laporan seperti ini jelas membimbangkan dan menuntut kita semua untuk memberikan perhatian sepenuhnya bagi mencari penyelesaian yang terbaik terhadap gejala ini. Kami juga turut mengambil kesempatan ini untuk menyokong penuh segala usaha Kerajaan dalam menangani isu ini, terutamanya komitmen yang ditunjukkan oleh Kementerian Belia dan Sukan KBS menerusi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang giat memperkukuh usaha pencegahan tingkah laku bunuh diri serta memastikan kesejahteraan mental belia melalui pendekatan kolaboratif seluruh ekosistem pembangunan belia.[2]
Tidak dapat dinafikan bahawa agama Islam memandang keras terhadap perbuatan membunuh diri dan menganggapnya sebagai satu perbuatan dosa besar. Hal ini umum diketahui oleh semua dan banyak ayat-ayat al-Quran[3] serta hadis[4] yang berkaitan dengannya. Namun, dalam konteks mencari penyelesaian terhadap permasalahan ini, kita mestilah tidak mudah menghukum seseorang, sebaliknya kita memberikan tumpuan ke arah menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Hal ini demikian kerana walaupun perbuatan membunuh diri adalah satu dosa yang besar, namun ada ketikanya perbuatan ini dimaafkan oleh Allah SWT terhadap pelakunya, terutamanya apabila perbuatan tersebut dilakukan dalam ketika seseorang yang dalam keuzuran dan tidak dapat berfikir secara waras dan rasional. Apatah lagi banyak kajian yang melaporkan kaitan rapat antara kes bunuh diri dan masalah penyakit mental.[5]
Ketika peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dahulu, ada seorang Sahabat yang bernama al-Ṭufayl bin ‘Amru yang turut serta berhijrah ke Madinah, dan bersamanya juga seorang lelaki daripada kaum beliau yang turut berhijrah bersama-sama beliau. Namun setibanya mereka di bumi Madinah, rakan beliau tersebut telah menghidapi satu penyakit yang sangat kuat sehinggakan dia bertindak melukakan tangannya yang akhirnya menyebabkan dia meninggal dunia disebabkan perbuatan tersebut.
Mungkin jika berlaku pada hari ini, ramai yang akan pantas menghukum tindakan ini sebagai perbuatan membunuh diri. Namun sebaliknya al-Ṭufayl selepas peristiwa tersebut telah bermimpi melihat rakan beliau dalam keadaan yang baik, melainkan tangannya sahaja yang dalam keadaan berbalut. Lalu perkara ini dikhabarkan kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda lantas berdoa:[6]
اللَّهُمَّ! وَلِيَدَيْهِ فَاغْفِرْ
Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah juga kedua tangannya”
Imam al-Nawawi ketika menghuraikan kisah ini menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa orang yang mati disebabkan perbuatan membunuh diri tidak dihukum sebagai kafir, dan juga tidak dihukum sebagai orang yang kekal di dalam neraka. Sebaliknya, keadaan mereka diserahkan kepada Allah SWT sama ada untuk mengampunkan mereka atau menghukum mereka.[7]
Justeru kami menyeru kepada seluruh masyarakat untuk sama-sama membantu dan memberi sokongan kepada seluruh anggota masyarakat, bagi mengenal pasti lebih awal individu-individu yang memerlukan bantuan, supaya keadaan mereka boleh dikawal lebih awal, dapat diberikan bantuan yang sewajarnya, dan tidak menyebabkan masalah yang lebih besar berlaku. Di sinilah pentingnya kita sentiasa mengambil perhatian terhadap manusia di sekeliling kita, seperti yang dianjurkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan:[8]
وَمَنْ لَمْ يَهْتَمَّ لِلْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
Maknanya: “sesiapa yang tidak mengambil berat tentang (urusan) kaum Muslimin, maka dia tidak layak untuk menjadi daripada kalangan orang-orang beriman yang sempurna imannya”
Selain itu, individu-individu yang mengalami tekanan dalam kehidupan dinasihatkan untuk mencuba sedaya upaya bagi mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak yang berautoriti.[9] Sesuatu ujian yang terasa menghimpit sebenarnya membawa rahmat yang belum terlihat. Ambillah ruang untuk bernafas, berbicara dengan seseorang yang dipercayai, dapatkan bantuan profesional, dan dekatkan diri kepada Allah SWT melalui doa, zikir serta amalan-amalan fardu, kerana Dia Maha Mengetahui isi hati hamba-Nya dan pasti tidak akan membiarkan mereka tanpa jalan keluar.
Semoga diringankan segala yang berat, didekatkan segala yang jauh, dan semoga segala urusan kita dipermudahkan oleh Allah SWT.
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Rujuk laporan Berita Harian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1476836/majoriti-kes-bunuh-diri-babitkan-lelaki
[2] Rujuk laporan rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di pautan: https://www.kbs.gov.my/pusat-media/berita/1466-persidangan-meja-bulat-belia-rtd-bantuan-awal-menangani-tingkah-laku-bunuh-diri-belia.html
[3] Lihat misalnya Allah SWT melarang sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan diri seperti di dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-195:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.
[4] Sebagai contoh, Thābit bin al-Ḍaḥḥāk meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ومَن قتَل نفسَه بشيءٍ عُذِّب به في نارِ جهنَّمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu, maka dia akan diazab dengan benda tersebut di dalam api Neraka Jahannam”.
[5] Lihat sebagai contoh kajian Danilo Arnone, et. al, yang berjudul “Risk of suicidal behavior in patients with major depression and bipolar disorder – A systematic review and meta-analysis of registry-based studies”, yang diterbitkan oleh Neuroscience & Biobehavioral Reviews (159), yang diterbitkan pada tahun 2024 di pautan: https://doi.org/10.1016/j.neubiorev.2024.105594
[6] Kisah ini dipetik daripada hadis yang dikeluarkan oleh Sahih Muslim (116), yang diriwayatkan daripada Jābir bin ‘Abdillah RA.
فَلَمَّا هَاجَرَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْمَدِينَةِ. هَاجَرَ إِلَيْهِ الطُّفَيْلُ بْنُ عَمْرٍو. وَهَاجَرَ مَعَهُ رَجُلٌ مِنْ قَوْمِهِ. فَاجْتَوَوْا الْمَدِينَة. فَمَرِضَ، فَجَزِعَ، فَأَخَذَ مَشَاقِصَ لَهُ، فَقَطَعَ بِهَا بَرَاجِمَهُ، فَشَخَبَتْ يَدَاهُ حَتَّى مَاتَ. فَرَآهُ الطُّفَيْلُ ابن عمرو في مَنَامِهِ. فَرَآهُ وَهَيْئَتُهُ حَسَنَةٌ. وَرَآهُ مُغَطِّيًا يَدَيْهِ. فَقَالَ لَهُ: مَا صَنَعَ بِكَ رَبُّكَ؟ فَقَالَ: غَفَرَ لِي بِهِجْرَتِي إِلَى نَبِيِّهِ صلى الله عليه وسلم. فَقَالَ: مَا لِي أَرَاكَ مُغَطِّيًا يَدَيْكَ؟ قَالَ قِيلَ لِي: لَنْ نُصْلِحَ مِنْكَ مَا أَفْسَدْتَ. فَقَصَّهَا الطُّفَيْلُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم "اللَّهُمَّ! وَلِيَدَيْهِ فَاغْفِرْ".
Maksudnya: “Setelah Nabi ﷺ berhijrah ke Madinah, Tufail bin ‘Amr turut berhijrah menemui baginda. Bersama beliau, seorang lelaki dari kaumnya juga berhijrah. Namun mereka berdua tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Madinah; lelaki itu jatuh sakit dan berasa tertekan. Lalu dia mengambil beberapa bilah anak panah kecil miliknya, dan memotong ruas-ruas jarinya sehingga kedua tangannya mengalirkan darah lalu dia pun meninggal. Tufail bin ‘Amr melihatnya dalam mimpi. Dia melihat lelaki itu dalam keadaan yang baik, namun kedua tangannya tertutup. Tufail bertanya kepadanya: “Apakah yang Tuhanmu lakukan terhadapmu?” Dia menjawab: “Dia mengampuniku kerana penghijrahanku kepada Nabi-Nya ﷺ.” Tufail bertanya lagi: “Mengapa aku melihat engkau menutup kedua tanganmu?” Dia menjawab: “Dikatakan kepadaku: Kami tidak akan memperbaiki apa yang telah engkau rosakkan sendiri.” Maka Tufail menceritakan hal itu kepada Rasulullah ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda:“Ya Allah! Ampunilah juga kedua tangannya.”.
[7] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (1392H), al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj, Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabiy, 2:131-132.
أَمَّا أَحْكَامُ الْحَدِيثِ فَفِيهِ حُجَّةٌ لِقَاعِدَةٍ عظيمة لِأَهْلِ السُّنَّةِ أَنَّ مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ أَوِ ارْتَكَبَ مَعْصِيَةً غَيْرَهَا وَمَاتَ مِنْ غَيْرِ تَوْبَةٍ فَلَيْسَ بِكَافِرٍ وَلَا يُقْطَعُ لَهُ بِالنَّارِ بَلْ هُوَ فِي حُكْمِ الْمَشِيئَةِ وَقَدْ تَقَدَّمَ بَيَانُ الْقَاعِدَةِ وَتَقْرِيرُهَا وَهَذَا الْحَدِيثُ شَرْحٌ لِلْأَحَادِيثِ الَّتِي قَبْلَهُ الْمُوهِمُ ظَاهِرُهَا تَخْلِيدَ قَاتِلِ النَّفْسِ وَغَيْرِهِ مِنْ أَصْحَابِ الْكَبَائِرِ فِي النَّارِ.
[8] Hadis riwayat Al-Hakim (7902). Imam al-Dhahabiy menyatakan bahawa terdapat kelemahan pada sanad hadis ini, iaitu pada dua orang perawi yang bernama Isḥāq bin Bishr dan Muqātil bin Sulaymān. Rujuk Mukhtaṣar Talkhīṣ al-Dhahabiy, karangan Imam Ibn al-Mulaqqin:
فيه إسحاق بن بشر، ومقاتل بن سليمان (1)، وليسا بثقتين، ولا صادقين.
[9] Misalnya melalui talian bantuan krisis kesihatan mental, iaitu HEAL 15555, yang menawarkan sokongan emosi dan kaunseling, yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikendalikan sepenuhnya oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling).