
MENOKTAHKAN MISKIN TEGAR DALAM MENELADANI KISAH UMAR ABDUL AZIZ
Program Rancakkan MADANI telah melabuhkan tirainya pada 7 December 2025. Dalam ucapan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hala tuju negara mesti dibina atas asas ketamadunan yang seimbang antara pembangunan material dengan pemerkasaan insan. Melihat kepada konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang sedang berusaha menoktahkan kemiskinan tegar, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim meyatakan kadar kemiskinan tegar negara hanya tinggal 0.09 peratus. Berkaitan hal ini, pendekatan Umar Abdul Aziz dalam menekankan beberapa model yang wajar diambil sebagai teladan terutamanya dalam meneruskan perancangan MADANI dalam menoktahkan kemiskinan tegar.
Umar bin Abdul Aziz juga digelar Imam al-Adil kerana kejayaannya memulihkan ekonomi umat, menutup jurang antara kaya dengan miskin serta mengembalikan keadilan dalam pentadbiran negara hanya dalam tempoh lebih kurang dua tahun pemerintahannya. Sumber-sumber sejarah menyebut bahawa pada zaman pemerintahan beliau hampir tidak ada lagi penerima zakat kerana semua keperluan rakyat telah dipenuhi. Kejayaan ini bukan bersifat ajaib tetapi dibina atas dasar tadbir urus, integriti dan keberkesanan pengagihan kekayaan. Antara metodologi yang digunakan oleh Umar bin Abdul Aziz adalah:
- Keutamaan kepada integriti pentadbiran dan ‘good governance’. Umar Abdul Aziz memulakan reformasi dengan membersihkan pentadbiran daripada ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Beliau mengembalikan harta-harta yang diambil secara zalim, menghentikan pembaziran dan memperketatkan amanah penjawat awam. Sebagai contoh, Umar Abdul Aziz menuntut setiap pegawai mengelakkan pembaziran walaupun pada perkara sekecil penggunaan alat tulis kerana setiap sen daripada harta Baitulmal wajib diurus dengan penuh amanah dan ketelusan
- Pemerkasaan Institusi Zakat, Baitulmal dan Dana Sosial. Di zaman Umar Abdul Aziz, zakat diagihkan secara meluas kepada fakir miskin, anak yatim, golongan berhutang malah untuk membiayai pendidikan dan pembangunan modal insan. Beliau memerintahkan amil zakat turun ke lapangan dan mengenal pasti satu persatu yang memerlukan bantuan.
- Menjamin Akses Ekonomi dan Peluang Sama Rata. Umar Abdul Aziz menghapuskan cukai-cukai menindas, memulangkan tanah kepada rakyat, menyokong petani dan membantu mereka mendapat modal, benih serta peralatan. Beliau membina ekosistem kompetitif yang membuka peluang kepada rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.
- Melahirkan Masyarakat yang Mampu Berdikari. Umar Abdul Aziz percaya bahawa bantuan kewangan hanyalah alat sementara. Fokus utama ialah memberdayakan rakyat sehingga mereka mampu hidup berdikari.
- Menjaga Harga Barang, Keseimbangan Pasaran dan Kos Sara Hidup. Pentadbiran Umar Abdul Aziz terkenal dengan pendekatan mengawal manipulasi pasaran, melindungi pengguna dan memastikan harga tidak melampaui kemampuan rakyat.
Sebagai kesimpulan, kepemimpinan Umar bin Abdul Aziz amat relevan untuk dijadikan model pentadbiran berasaskan integriti, keadilan dan keberkesanan pembangunan ekonomi. Kejayaan Umar Abdul Aziz dalam membasmi kemiskinan melalui tadbir urus yang bersih, pemantapan institusi zakat dan Baitulmal, jaminan akses ekonomi yang saksama, pemberdayaan rakyat serta kawal selia kos sara hidup membuktikan bahawa pembaharuan yang berpaksikan amanah dan kebajikan mampu membawa perubahan besar dalam waktu yang singkat. Pelaksanaan prinsip-prinsip ini dalam kerangka Malaysia MADANI diyakini dapat memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memastikan pembangunan negara berjalan dengan lebih adil, mampan dan inklusif serta dapat menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia.
Wallahu’alam