اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 47/2025: GARIS PANDUAN DAN HUKUM-HAKAM BERKAITAN PENGLIBATAN MUSLIM DALAM PERAYAAN KRISMAS

TintaMufti.jpg

GARIS PANDUAN DAN HUKUM-HAKAM BERKAITAN PENGLIBATAN MUSLIM DALAM PERAYAAN KRISMAS

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Saban tahun terdapat pelbagai persoalan timbul berkaitan penglibatan dan penyertaan masyarakat Islam dalam perayaan Krismas. Tambahan pula, di negara yang majmuk seperti Malaysia ini, sesetengah umat Islam tidak dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam perayaan agama lain seperti Krismas memandangkan semua kaum yang mempunyai kepelbagaian agama hidup bersama dalam sebuah negara. Namun, keprihatian dan kecaknaan umat Islam tentang batas-batas yang perlu dijaga adalah penting bagi memastikan penyertaan muslim tersebut tidak melibatkan hal-hal yang melanggar syarak, apatah lagi melibatkan perkara menjejaskan hal berkaitan akidah. Oleh yang demikian, garis panduan dan beberapa hukum-hakam berkaitan penglibatan muslim dalam perayaan dilampirkan di sini agar dapat menjadi rujukan dan panduan umat Islam bagi perayaan yang disambut secara tahunan ini.

Secara umumnya, perayaan Krismas ialah salah satu daripada hari kebesaran agama bagi penganut yang beragama Kristian di Malaysia serta disambut dan dijadikan sebagai cuti umum di seluruh negara. Berkaitan hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut:

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam. Contohnya;

  1. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
  2. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
  3. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
  4. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
  5. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:

  1. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
  2. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
  3. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
  4. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:

  1. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
  2. Berpakaian yang menjolok mata;
  3. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
  4. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”. Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

  1. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
  2. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
  3. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
  4. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
  5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.[1]

Oleh yang demikian, setiap daripada garis panduan ini perlu dipatuhi dalam apa jua perayaan hari kebesaran agama bukan Islam secara umum. Manakala bagi perayaan Krismas secara khususnya, maka terdapat beberapa persoalan hukum berkaitannya yang telah dijawab oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikel-artikel yang dikeluarkan seperti berikut:

IRSYAD HUKUM SIRI KE-818: HUKUM ORANG ISLAM MENYERTAI CHRISTMAS CAROLLING

Penyertaan orang Islam dalam Christmas carolling adalah haram kerana aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada syiar dan ritual keagamaan Kristian yang mengandungi unsur pujian serta doktrin akidah yang bercanggah dengan akidah Islam. Penglibatan dalam aktiviti ini termasuk dalam larangan tasyabbuh iaitu perbuatan menyerupai amalan agama lain dan boleh menjejaskan akidah umat Islam. Namun begitu, Islam tetap membenarkan hubungan baik dan toleransi dengan penganut agama lain dalam perkara sosial dan kemanusiaan yang tidak melibatkan unsur keagamaan. Larangan ini khusus kepada penglibatan dalam ritual atau syiar agama lain, bukan terhadap sikap saling menghormati atau hidup bermasyarakat secara harmoni.[2]

AL-AFKAR 110 : HUKUM SEORANG MUSLIM MEMAKAI ATAU MENGGUNAKAN APA SAHAJA HIASAN BERKAITAN HARI KRISMAS

Hukum seorang Muslim memakai atau menggunakan hiasan yang berkaitan dengan Hari Krismas adalah haram apabila hiasan tersebut merupakan syiar khusus agama Kristian, seperti topi Santa Claus, pokok Krismas, loceng Krismas atau simbol yang jelas melambangkan perayaan tersebut. Larangan ini berasaskan kaedah pemeliharaan akidah dan larangan tasyabbuh iaitu menyerupai amalan dan syiar agama lain, kerana perbuatan tersebut boleh membawa maksud pengiktirafan atau sokongan terhadap perayaan yang berteras kepercayaan bercanggah dengan Islam. Walau bagaimanapun, sekiranya sekadar hadir di majlis yang diadakan oleh bukan Muslim seperti jamuan makan tanpa memakai simbol keagamaan tersebut, hukumnya dibenarkan sehingga kadar yang diperlukan sahaja tanpa menunjukkan sokongan atau pengiktirafan terhadap kepercayaan dan perayaan mereka.

Namun, sekiranya sesuatu hiasan itu bersifat umum dan tidak lagi menjadi simbol khusus keagamaan serta digunakan tanpa niat mengagungkan atau meraikan Krismas, maka ia tertakluk kepada penilaian konteks, adat setempat dan persepsi umum masyarakat. Walau bagaimanapun, sikap yang lebih selamat (ihtiyat) bagi seorang Muslim ialah mengelakkan sama sekali penggunaan hiasan yang dikaitkan secara langsung dengan Hari Krismas demi memelihara kejelasan identiti dan akidah Islam.[3]

IRSYAD HUKUM SIRI KE-760: HUKUM MENANAM POKOK PINUS UNTUK TUJUAN HIASAN

Hukum menanam pokok Pinus untuk tujuan hiasan bagi seorang Muslim adalah harus hanya untuk tujuan hiasan atau memperindah landskap kerana hukum asal menanam tumbuhan adalah dibenarkan dalam syarak selagi tiada dalil yang mengharamkannya. Pokok pinus sendiri merupakan salah satu jenis tumbuhan konifer semula jadi dan tidak berdosa ditanam tanpa niat atau tindakan yang bertujuan mengagungkannya sebagai simbol agama lain. Namun begitu, sekiranya pokok pinus itu dihias atau dimuliakan dengan cara yang sama seperti yang dilakukan oleh penganut agama lain, terutamanya semasa perayaan Krismas dan dengan niat mengikuti atau menyerupai simbol agama mereka, maka hukumnya menjadi haram kerana ia boleh membawa kepada tasyabbuh dengan orang bukan Islam dan menimbulkan kekeliruan terhadap identiti Muslim. Umat Islam juga dinasihati mengelakkan perkara yang berpotensi menimbulkan fitnah atau salah sangka oleh orang ramai.[4]

TAHQIQ AL-MASAIL 7: HUKUM MENGUCAPKAN ‘MERRY CHRISTMAS’ KEPADA MEREKA YANG BERAGAMA KRISTIAN

Hukumnya adalah harus dengan meraikan garis panduan yang dinyatakan. Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007’: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut. Garis panduan adalah seperti berikut:

  • Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
  • Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
  • Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.
  • Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.” Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38. Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak. Kami telah mengulas hukum menghadiahkan arak kepada non Muslim dalam artikel Al-Kafi 838: Hukum Menghadiahkan Arak Kepada Non-Muslim. Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.
  • Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.[5]

AL-KAFI #1506: HUKUM ORANG ISLAM MENGANJURKAN CHRISTMAS PARTY

Penganjuran Christmas Party dalam kalangan orang Muslim adalah tidak digalakkan bagi mengelakkan dari menyerupai orang Kristian dalam perayaan mereka serta perbuatan mengagungkan kesyirikan mereka serta membantu kekufuran mereka di samping melindungi diri dari perkara-perkara yang mungkar dan keji. Sehubungan dengan itu, dinasihatkan kepada orang ramai agar tidak meraikan perayaan agama lain sepertimana meraikan perayaan Islam iaitu Aidulfitri dan juga Aiduladha.[6]

Kesimpulan

Oleh yang demikian, garis panduan dan penjelasan hukum-hakam ini diharapkan dapat menyelesaikan persoalan yang sentiasa berlegar dalam kalangan masyarakat berhubung penglibatan orang Islam dalam perayaan Krismas. Di samping itu, kami menegaskan bahawa asas utama penetapan hukum adalah pemeliharaan akidah dan kejelasan identiti Muslim, selaras dengan Maqasid Umran yang menuntut pembangunan masyarakat berteraskan keimanan, kestabilan dan keharmonian. Penglibatan secara langsung dalam ritual, syiar dan simbol keagamaan Kristian seperti Christmas carolling, pemakaian hiasan khusus Krismas atau perbuatan yang membawa makna pengiktirafan terhadap kepercayaan tersebut adalah tidak dibenarkan kerana bercanggah dengan prinsip akidah dan termasuk dalam larangan tasyabbuh. Pendekatan ini bertujuan memastikan umat Islam kekal konsisten dengan asas kepercayaan mereka tanpa menimbulkan kekeliruan atau pencemaran akidah dalam konteks masyarakat majmuk.

Pada masa yang sama, kami juga ingin menasihatkan umat Islam agar menghayati nilai ihsan dan rahmah melalui istilah al-birr wa al-ihsan (berbuat baik dan berlaku ihsan) dengan penganut agama lain dalam hubungan sosial khususnya dalam urusan kemasyarakatan yang tidak melibatkan unsur keagamaan selari dengan pemaknaan fiqh al-ta`ayush/Co-Existence iaitu fiqh kewujudan bersama. Sikap saling menghormati, berakhlak mulia dan bekerjasama dalam perkara kebajikan merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam yang menyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan negara. Harapannya, umat Islam dapat menzahirkan keteguhan prinsip akidah bersama kebijaksanaan dan kelembutan akhlak agar keharmonian hidup bersama dapat dipelihara tanpa mengorbankan prinsip agama, seterusnya memperkukuh perpaduan nasional yang berteraskan kefahaman dan saling menghormati antara satu sama lain.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
27 JAMADILAKHIR 1447H / 18 DISEMBER 2025

Rujukan: 

[1] Rujuk: Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam, https://tinyurl.com/w7zc5m9a.

[2] Rujuk: https://tinyurl.com/yux62nff.

[3] Rujuk: https://tinyurl.com/2fy7j2w9.

[4] Rujuk: https://tinyurl.com/2re6rtwy.

[5] Rujuk: https://tinyurl.com/29a8armx.

[6] Rujuk: https://tinyurl.com/jn6by72e.