اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 53/2025: MELURUSKAN KEKELIRUAN BERKAITAN KONSEP BAIAH DALAM ISLAM

 

TintaMufti.jpg

 

MELURUSKAN KEKELIRUAN BERKAITAN KONSEP BAIAH DALAM ISLAM

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dalam situasi semasa akhir-akhir ini, isu baiah timbul sebagai isu politik yang telah mencetuskan perdebatan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam di Malaysia. Hal ini khususnya apabila ia dibicarakan tanpa pembezaan yang jelas antara baiah syar‘i, baiah tarekat dan organisasi. Oleh yang demikian, hal ini menuntut penjelasan ilmiah bagi meluruskan kekeliruan berkaitan perkara tersebut.

Berkaitan asal-usul baiah kepimpinan ini, di zaman Rasulullah SAW dan era Khulafa’ al-Rashidin baiah merupakan akad syar‘i yang berkait secara langsung dengan kepimpinan negara dan pemerintahan Islam, di mana umat Islam menyatakan ketaatan kepada Rasulullah SAW sebagai ketua agama dan negara. Manakala selepas kewafatan Baginda SAW, baiah diberikan kepada para khalifah yang memegang tampuk pemerintahan khilafah. Baiah ketika itu berfungsi sebagai asas kesatuan umat, kestabilan politik dan pelaksanaan syariah. Ia bukan sekadar ikrar sokongan moral atau keahlian organisasi.

Oleh sebab itu, pelanggaran atau pengkhianatan baiah dalam konteks tersebut dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara Islam dan kepentingan umat kerana ia menggugat keamanan, ketaatan umum dan tertib pemerintahan sebagaimana yang difahami oleh para sahabat dan ulama. Justeru, baiah pada era awal Islam mempunyai implikasi besar dari sudut siyasah syar‘iyyah dan tidak wajar disamakan dengan baiah jamaah atau pertubuhan moden yang tidak memiliki kuasa atau mandat pemerintahan. Oleh itu, konteks baiah kepada khilafah yang sah inilah menjadi rujukan kepada hadis Nabi SAW contohnya:

وَمَن مَاتَ وَليسَ في عُنُقِهِ بَيْعَةٌ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya: Sesiapa yang mati sedangkan di tengkuknya tidak ada baiah (kepada Khalifah), maka matinya seperti kematian jahiliah.

(Riwayat Muslim)

Justeru, baiah dari sudut ini membawa makna baiah untuk khilafah. Selain itu, terdapat juga baiah dari sudut berjihad, kewajipan agama dan seumpamanya. Bagi menjelaskan perkara ini, Ibn Khaldun menyatakan tentang maksud yang umum bagi baiah sebagai:

اعلم أنّ البيعة هي العهد على الطّاعة ‌كأنّ ‌المبايع ‌يعاهد ‌أميره على أنّه يسلّم له النّظر في أمر نفسه وأمور المسلمين لا ينازعه في شيء من ذلك ويطيعه فيما يكلّفه به من الأمر على المنشّط والمكره وكانوا إذا بايعوا الأمير وعقدوا عهده جعلوا أيديهم في يده تأكيدا للعهد فأشبه ذلك فعل البائع والمشتري فسمّي بيعة

Maksudnya: Ketahuilah bahawa baiah adalah janji untuk taat seolah-olah orang yang membaiah membuat perjanjian dengan pemimpinnya bahawa dia menyerahkan kepadanya urusan dirinya sendiri dan urusan umat Islam, tidak akan membantahnya dalam perkara itu, serta akan mentaati segala arahan yang diberikan kepadanya dalam keadaan suka atau terpaksa. Justeru apabila mereka membaiah seorang pemimpin dan mengikat janji kepadanya, mereka meletakkan tangan mereka di tangan pemimpin sebagai pengukuhan janji, yang menyerupai perbuatan penjual dan pembeli, maka ia dinamakan baiah.[1]

Namun, baiah pada zaman kini diluaskan sehingga juga merujuk kepada baiah dalam konteks tarekat yang pada asalnya merupakan ikatan (rabithah) kerohanian antara murid dan syeikh atau mursyidnya yang bertujuan membimbing perjalanan suluk menuju Allah SWT. Hal ini bukan suatu kontrak politik atau ikatan kenegaraan. Baiah ini berfungsi sebagai komitmen adab dan disiplin di mana murid berjanji untuk istiqamah dalam zikir, mujahadah al-nafs serta mematuhi bimbingan rohani gurunya selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah. Tujuan utamanya ialah menyucikan jiwa (tazkiyah al-nafs), pembentukan akhlak dan penghayatan ketaatan kepada Allah secara berperingkat dan tersusun. Namun begitu, ia bukanlah bertujuan melahirkan ketaatan yang mutlak kepada manusia atau menuntut kesetiaan organisasi yang bersifat mengikat akidah. Oleh itu, baiah tarekat bersifat tarbawi dan rohani, terhad kepada ruang pembinaan jiwa dan akhlak, serta tidak membawa implikasi hukum imamah, kuasa pemerintahan atau ancaman akidah sebagaimana baiah syar‘i yang hanya wujud dalam konteks kepimpinan negara Islam yang sah.

Seterusnya, konsep baiah telah mengalami perkembangan daripada ruang tasawuf yang bersifat rohani kepada ruang organisasi dan perjuangan khususnya dalam gerakan dakwah dan politik Islam, di mana baiah digunakan sebagai simbol komitmen, disiplin dan kesetiaan terhadap kepimpinan serta perjuangan jamaah. Pada tahap tertentu, pendekatan ini bertujuan mengukuhkan kesatuan saf, pengorbanan dan istiqamah ahli dalam menghadapi cabaran dakwah dan penindasan.

Namun demikian, peralihan ini turut membawa risiko penyalahgunaan istilah baiah, apabila ia diangkat seolah-olah memiliki kedudukan syar‘i yang setara dengan baiah pemerintah atau kenegaraan, lalu digunakan untuk menuntut ketaatan mutlak tanpa ruang muhasabah, nasihat dan teguran. Keadaan ini berpotensi menyalahi prinsip Islam yang menetapkan bahawa ketaatan kepada manusia adalah terikat dengan kebenaran dan keadilan, serta boleh mencetuskan kekeliruan akidah dan sikap taasub yang bertentangan dengan maqasid syariah dan prinsip kesederhanaan Islam.

Selain daripada itu, hadis-hadis yang menyebut ancaman mati dalam keadaan jahiliah atau terkeluar daripada jamaah perlu difahami dalam konteks sejarah dan siyasah syar’iyyah, bukan secara literal yang terpisah daripada maksud asalnya. Para ulama menjelaskan bahawa istilah jamaah dalam hadis tersebut merujuk kepada kesatuan umat Islam di bawah kepimpinan dan pemerintahan yang sah, iaitu negara atau imamah, bukan organisasi dakwah atau jamaah tertentu yang bersifat keahlian.

Oleh itu, ancaman dalam hadis berkenaan ditujukan kepada sikap memberontak, memecah-belahkan umat atau menolak autoriti pemerintahan Islam yang menjaga kepentingan umum dan bukannya kepada perbezaan pandangan, keluar daripada organisasi atau kegagalan mematuhi arahan kepimpinan jamaah. Justeru, tafsiran literal yang menakut-nakutkan sehingga mengaitkan pelanggaran baiah jamaah dengan kekufuran atau kerosakan akidah adalah tidak berpijak pada Maqasid Syariah, bahkan bercanggah dengan prinsip rahmah, keadilan dan kemudahan yang menjadi teras ajaran Islam.

.Oleh itu, bai‘ah yang diamalkan dalam konteks tariqat atau jamaah kontemporari tidak boleh disamakan dengan baiah kenegaraan yang membawa implikasi siyasah dan hukum awam. Baiah tersebut pada hakikatnya bersifat janji moral, disiplin tarbawi dan komitmen organisasi, yang bertujuan mengatur hubungan, adab dan tanggungjawab sesama ahli tanpa sebarang implikasi terhadap status iman atau akidah seseorang. Oleh yang demikian, melanggar atau meninggalkan baiah dalam konteks ini tidak menjadikan seseorang terkeluar daripada Islam atau tergolong dalam ancaman hadis kerana iman dan kufur ditentukan oleh akidah dan keyakinan terhadap Allah dan Rasul-Nya dan bukan oleh keahlian atau kesetiaan kepada mana-mana jamaah atau struktur organisasi.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, Pelanggaran janji atau kegagalan menunaikan komitmen, termasuk dalam konteks baiah organisasi atau ikrar keahlian ditangani oleh syariah melalui pendekatan islah dan tanggungjawab, seperti taubat, kaffarah sumpah atau pampasan yang setimpal berdasarkan firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Maidah: 89)

Pendekatan ini selari dengan prinsip ihsan yang mendidik hati, rahmah yang memelihara hubungan sesama manusia yang menjadi kaedah utama dalam memahami dan mengamalkan agama. Dengan pendekatan yang seimbang ini, Islam mendidik umat agar bertanggungjawab terhadap janji mereka tanpa menjerumuskan mereka ke dalam ketakutan, sikap ekstrem atau kefahaman agama yang keras dan tidak berasaskan maqasid al-tadayyun dan ‘umran.

WaAllahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

9 REJAB 1447H / 30 DISEMBER 2025

 

Rujukan: 

[1] Ibn Khaldun, Abd al-Rahman, Tarikh Ibn Khaldun (Beirut: Dar al-Fikr, 1981), jld. 1, hlmn. 261.