
ETIKA PENYEWAAN: MENANGANI TREND RUMAH SEWA BERCAMPUR JANTINA
Mukaddimah
Fenomena trend rumah sewa bercampur jantina (mix gender) atas alasan lokasi yang dekat dengan tempat kerja tidak seharusnya mengatasi nilai malu dan batasan syariat. Sementara, kos sewa tinggi juga antara alasan segelintir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk berkongsi rumah beramai-ramai sehingga tidak kisah bercampur jantina lelaki dan perempuan bukan mahram. Realitinya, ramai anak muda berhijrah ke bandar bagi menuntut ilmu atau membina kerjaya menghadapi kekangan mencari tempat tinggal sehingga keterpaksaan memilih unit -unit yang menawarkan sewaan rumah bercampur (mix gender). Sikap memandang enteng pergaulan bebas perlu dibendung kerana bertentangan dengan prinsip Islam, malahan ia menjurus kepada fitnah dan mengundang kepada perbuatan zina. Tinta kali ini memfokuskan penulisan etika penyewa dan tuan rumah merangkumi tanggungjawab moral yang perlu dinyatakan dalam perjanjian sewaan, termasuk syarat dan peraturan yang selari dengan prinsip Islam khususnya yang menekankan pemeliharaan maruah dan kehormatan diri.
Konsep Etika Penyewaan dalam Islam
Setiap urusan muamalat termasuk penyewaan rumah tidak terkeluar daripada garis panduan syariah yang bertujuan menjaga maslahat (kebaikan) dan mencegah mafsadah (kemudaratan). Etika penyewaan bukan sekadar melibatkan akad dan bayaran sewa semata-mata malah merangkumi tanggungjawab moral dan pemeliharaan batas pergaulan antara penyewa.
Isu penyewaan rumah dalam kalangan individu berlainan jantina yang bukan mahram dilihat boleh menimbulkan pelbagai implikasi yang negatif terutamanya dari sudut agama dan akhlak jika tidak dikawal dengan ketat. Hal ini boleh membuka ruang dan peluang yang luas untuk berlakunya pergaulan bebas dan keadaan yang menghampiri khalwat. Dalam konteks ini, Islam melarang umatnya untuk menghampiri zina sebagai pencegahan awal terhadap perbuatan maksiat selari dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢﴾
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Ayat ini menjadi asas dan panduan bahawa segala perkara yang boleh membawa kepada zina termasuk tinggal serumah tanpa batas pergaulan yang jelas wajib dielakkan. Hal ini disebabkan oleh wujudnya risiko dorongan kepada khalwat, fitnah dan pelanggaran nilai moral. Rasulullah SAW juga bersabda:
أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ.
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Imam al-Nawawi berkata sekiranya seorang lelaki berkhalwat bersama-sama dengan perempuan ajnabi tanpa ada orang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama.[1] Tidak dinafikan kebarangkalian berlaku khalwat apabila tinggal sebumbung antara lelaki dan wanita kerana halusnya bisikan syaitan terhadap godaan nafsu. Keadaan ini membuka jalan kepada kerosakan dan kemudaratan yang boleh membawa kepada kemaksiatan.
Garis Panduan Serta Peranan Tuan Rumah dan Penyewa
Bagi menangani isu ini, penyediaan garis panduan yang teratur dan jelas kepada tuan rumah dan penyewa memainkan peranan yang penting untuk memastikan urusan penyewaan berjalan dengan tertib dan selamat serta selari dengan tuntutan syariah.
Tuan rumah menjadi pihak yang paling utama dan berkepentingan dalam menetapkan syarat penyewaan yang jelas seperti:
- Tuan rumah hendaklah menetapkan syarat bahawa penyewa lelaki dan perempuan bukan mahram tidak dibenarkan tinggal serumah kecuali dalam kalangan keluarga yang sah.
- Tuan rumah perlu memantau keadaan rumah secara berkala dan mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran syarat yang ditetapkan.
- Iklan sewaan yang ditawarkan perlu jelas dengan menyatakan syarat jantina bagi setiap bilik yang disediakan dalam rumah tersebut.
Penyewa pula bertanggungjawab mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh tuan rumah dan menjaga akhlak dan batas pergaulan sepanjang tempoh penyewaan termasuklah:
- Penyewa dilarang membawa masuk rakan berlaianan jantina secara bebas atau membenarkan individu berlainan jantina yang bukan mahram bermalam di dalam rumah bagi mengelakkan situasi khalwat.
- Penyewa hendaklah menjaga tingkah laku, aurat dan menghormati norma agama dan budaya sepanjang tempoh menyewa.
- Penyewa hendaklah menghormati ruang peribadi penghuni lain dan memastikan keselamatan kediaman sentiasa terjaga.
Selain itu, kedua-dua pihak perlu:
- Menyediakan perjanjian bertulis yang menyatakan syarat penyewaan termasuk peraturan berkaitan pergaulan, penggunaan ruang dan disiplin penghuni.
- Memastikan segala aktiviti dan peraturan penyewaan tidak bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang semasa.
Kesimpulan
Trend penyewaan rumah yang bercampur antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan pemeliharaan maruah dan batas pergaulan. Amalan ini berisiko tinggi membawa kepada fitnah, khalwat dan menjurus kepada perbuatan zina. Oleh itu, penetapan garis panduan yang jelas kepada tuan rumah dan penyewa dalam setiap urusan penyewaan perlu selari dengan kehendak syariah yang bertujuan untuk menjaga maslahat (kebaikan) dan mencegah mafsadah (kemudaratan).
Keseluruhan etika penyewaan ini merupakan manifestasi kepada maqasid syariah khususnya dalam memelihara agama dan keturunan demi menjamin kemaslahatan ummah daripada terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan. Ia bukan sekadar garis panduan sosial bahkan menjadi benteng nilai yang memelihara maruah, selamat dan selari dengan keindahan serta kesempurnaan syariat Islam sekaligus menutup pintu-pintu kemungkaran dan memastikan kehidupan bermasyarakat berada dalam keadaan harmoni.
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
19 SYAWAL 1447H / 8 APRIL 2026
[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Syarh Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, cet.2, 1392H) 9:109.
إِنَّ الْحَدِيثَ مَخْصُوصٌ أَيْضًا بِالزَّوْجِ فَإِنَّهُ لَوْ كَانَ مَعَهَا زَوْجُهَا كَانَ كَالْمَحْرَمِ وَأَوْلَى بِالْجَوَازِ وَأَمَّا إِذَا خَلَا الْأَجْنَبِيُّ بِالْأَجْنَبِيَّةِ مِنْ غَيْرِ ثَالِثٍ مَعَهُمَا فَهُوَ حَرَامٌ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ